Topic followed successfully
Go to BHkuJamu ibu tercinta dengan hidangan istimewa
Jamu ibu tercinta dengan hidangan istimewa
Lima tempat makan pilihan buat rai Hari Ibu
Jamu ibu tercinta dengan hidangan istimewa
Hari Ibu bakal tiba pada 11 Mei dan Kaki Makan mengetengahkan lima tempat makan menarik yang sesuai untuk meraikan insan tersayang.
Daripada dim sum dari Loong Dim Sum yang dimasak segar hingga ke piza sourdough yang rangup dan pengalaman menikmati hotpot di rumah.
Loong Dim Sum
Jika ibu anda pencinta dim sum atau penggemar makanan Cina, Loong Dim Sum, ialah destinasi sesuai untuk sambutan Hari Ibu.
Terletak di bangunan empat tingkat yang elegan di North Canal Road, restoran ini menawarkan pengalaman makan mewah tetapi mesra keluarga, sesuai untuk meraikan insan paling istimewa.
Loong Dim Sum mengetengahkan konsep à la minute, iaitu apabila dim sum akan disediakan sejurus sahaja ia dipesan.
Ia sekali gus menawarkan kesegaran berbanding dengan hidangan yang dibekukan.
Dengan itu, setiap hidangan terasa lebih istimewa dan tersendiri, seiring dengan semangat Hari Ibu yang menekankan nilai penghargaan dan memberikan perhatian kepada setiap aspek meskipun kecil.
Menunya memuatkan pelbagai pilihan yang pasti disukai sang ibu dari semua peringkat usia.
Antaranya ialah Har Gao (ladu udang) dengan kulit kenyal dan inti manis; Siew Mai ayam dan udang yang padat, serta Truffle Crystal Mushroom Dumpling dengan aroma cendawan bersama trufel.
Bagi mereka yang mahu menikmati rasa lebih premium, cuba hidangan istimewa, Loong’s Signature Juicy Bao (versi halal xiao long bao) dan Lobster Broth Pumpkin Dumpling, satu hidangan gorengan yang rangup di luar dan berinti sup labu udang karang.
Alamat: 10 North Canal Road, Tingkat 1, Singapura 048823
Harga: Dari $4.80 hingga $20.80 untuk Dim Sum
Brunch @ Legundi
Sambutan Hari Ibu di Brunch @ Legundi di Sembawang menawarkan lebih daripada sekadar hidangan lazat.
Terletak di 8 Jalan Legundi, kafe ini menggabungkan suasana tenang dengan sajian kreatif.
Dengan perabot kayu dan pencahayaan lembut, ruang di kafe ini menawarkan persekitaran bak percutian santai.
Menu di Brunch @ Legundi menggabungkan pengaruh Melayu dan Indonesia dengan hidangan sarapan tengah hari klasik.
Antara pilihan terbaik ialah, Salmon Benedict, ikan salmon salai dengan telur rebus carak bersama sos hollandaise; roti celup telur, French Toast; dan Pasta Rendang yang menggabungkan cita rasa tradisional dengan sentuhan moden.
Paella gaya tempatan iaitu nasi kunyit dengan makanan laut, adalah pilihan yang sesuai untuk dinikmati bersama keluarga.
Alamat: 8 Jalan Legundi, #01-05, Singapura 759274
Harga: Pasta Rendang, $19 dan Salmon Benedict, $21
Small Batch
Jika ibu anda gemar menikmati suasana alam semula jadi dan santai, Small Batch di Taman Kanak-Kanak Jacob Ballas, di Kebun Bunga, mungkin sesuai untuk merayakan Hari Ibu.
Dengan reka bentuk berkonsep terbuka dikelilingi kehijauan taman, kafe ini menawarkan pengalaman makan di luar yang tenang dan menyegarkan.
Kafe ini turut menggabungkan ciri-ciri buat si kecil yang ceria dengan warna kuning terang, menjadikan suasananya lebih hidup dan mesra keluarga.
Small Batch memperkenalkan konsep brunch boards, yang membolehkan pelanggan menyusun hidangan sarapan tengah hari pilihan mereka sendiri.
Menu yang pelbagai, meliputi pilihan roti sourdough; telur orak arik atau scrambled egg yang dimasak dengan keju Feta, serta pilihan protein seperti ikan salmon salai dan sosej ayam.
Bagi penggemar manisan, hidangan seperti roti bakar Perancis dengan krim vanila atau kek lobak merah akan memikat hati.
Alamat: 1H Cluny Road, #01-K1, Taman Kanak-Kanak Jacob Ballas, Kebun Bunga, Singapura 259604
Harga: ‘Brunch boards’ bermula daripada $15.90++ untuk tiga hidangan; dan $24.90++ untuk lima hidang
HaHa Hotpot
HaHa Hotpot membawa pengalaman makan hotpot yang istimewa, bukan hanya di restoran malah terus ke rumah anda.
Konsep penghantaran yang mudah membolehkan pelanggan menikmati hidangan hotpot yang penuh dengan rasa autentik Sichuan dalam keselesaan ruang tamu mereka.
Dengan pilihan menu yang luas, termasuk sup mala yang terkenal, pelanggan dapat menikmati hidangan bersama keluarga atau rakan-rakan tanpa perlu keluar rumah.
Konsep hotpot ini mempromosikan kebersamaan, apabila setiap orang berkumpul dan berkongsi hidangan.
Dengan lebih 70 bahan pilihan, termasuk daging wagyu premium dan makanan laut segar, HaHa Hotpot menjanjikan pengalaman menjamu selera yang menyenangkan untuk semua peringkat umur.
Pelanggan hanya perlu membuat pesanan dalam talian dan HaHa Hotpot akan menghantar semua keperluan hotpot, termasuk kuali, dapur gas mudah alih dan bahan-bahan segar.
Setelah selesai makan, mereka akan kembali untuk mengambil semula periuk dan dapur gas.
Ini menjadikan HaHa Hotpot pilihan yang mudah dan selesa untuk merayakan Hari Ibu.
Alamat: 9 Jalan Pisang, Singapura 199076
Harga: Set HaHa Hotpot untuk lapan orang menawarkan 13 pilihan jenis daging; sembilan jenis makanan laut; 10 jenis sayur; lapan mi; sos; dan tiga jenis sup, pada harga $199.90.
Goldenroy
Restoran piza, Goldenroy Sourdough Pizza adalah pilihan sempurna untuk meraikan Hari Ibu, menawarkan pengalaman makan yang unik dan memikat hati setiap anggota keluarga.
Piza mereka, yang disajikan dalam bentuk segi empat, menjadikan ia sesuai untuk dikongsi bersama insan tersayang.
Keistimewaan Goldenroy terletak pada penggunaan doh sourdough yang ditapai selama 48 jam, menghasilkan kerak yang rangup dengan rasa yang berbeza berbanding piza biasa.
Piza yang dihidang di restoran ini termasuk Mushroom Pesto Sourdough, piza yang berperisa cendawan; dan Clam and Garlic Sourdough, piza yang berperisa kepah bersama bawang putih menawarkan gabungan rasa yang unik dan menarik, pasti memikat hati ibu yang suka mencuba hidangan baru dan kreatif.
Selain itu, ia turut menyediakan rasa berbeza bagi memenuhi pelbagai selera.
Alamat: 125 Desker Road, Singapura 209642
Harga: Sekotak piza bermula daripada $30 sesuai untuk dikongsi dua orang.

