Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Japan Railway lancar lebih banyak pilihan khidmat bagasi buat pelancong

Jul 6, 2025 | 5:30 AM
Perkhidmatan simpan bagasi dijangka dapat mengurangkan kesesakan disebabkan bagasi besar yang mengambil ruang di dalam kereta api dan di tempat pelancongan.
Perkhidmatan simpan bagasi dijangka dapat mengurangkan kesesakan disebabkan bagasi besar yang mengambil ruang di dalam kereta api dan di tempat pelancongan. - Foto AFP

TOKYO: Lebih banyak syarikat logistik dan laluan rel menawarkan khidmat simpanan bagasi di Jepun.

Memandangkan ini membolehkan pengunjung asing bersiar-siar dan membeli-belah tanpa perlu mengangkut beg berat bersama mereka, ini dijangka merangsang permintaan dan mengurangkan kesesakan disebabkan bagasi besar yang memakan ruang dalam kereta api dan tapak tarikan pelancong.

Pada Mei, sistem transit Tokyo Metro memperkenalkan khidmat Tokyo Metlocker Plus, di stesen Oshiage, yang terhubung langsung dengan Tokyo Skytree, dalam kawasan Sumida di bandar itu.

Perkhidmatan itu menyimpan bagasi di dalam lokar dan menghantarnya ke hotel selewat-lewatnya 7 malam pada hari yang sama jika ia diterima sehingga 2 petang.

Syarikat kereta api itu merancang menubuhkan lokar, Metlockers, di 20 stesen menjelang akhir 2025.

“Perkhidmatan ini bukan hanya semakin memudahkan pelancong, bahkan membantu mengurangkan kesesakan di kereta api,” kata jurucakap Tokyo Metro.

East Japan Railway dan Seibu Railway telah menawarkan perkhidmatan serupa menggunakan lokar syiling sejak September 2024.

Pada Mei 2025 pula, syarikat penghantaran, Yamato Transport, memulakan perkhidmatan yang membolehkan pengunjung asing menghantar cenderahati dan bagasi mereka di kira-kira 40,000 lokasi di Jepun, termasuk kedai serbaneka, dan menerimanya di rumah mereka di luar negara.

Perkhidmatan itu menggunakan telefon pintar untuk memudahkan tugas seperti menulis alamat dan mengurus prosedur kastam bagi pihak pengunjung.

Ia kini tersedia bagi alamat di Hong Kong dan Britain, dengan rancangan untuk berkembang ke Taiwan dan tempat lain pada masa hadapan.

Dengan bagasi dikurangkan, pelancong mungkin ingin membeli lebih banyak barang.

Lantas perjalanan tanpa bagasi akan membantu mengurangkan kesesakan di kawasan pelancongan dan di dalam kereta api.

Central Japan Railway, syarikat hartanah Mitsui Fudosan, dan syarikat pengangkutan, Sagawa Express, telah sama-sama melancarkan perkhidmatan penghantaran beg pada hari yang sama untuk tetamu yang menginap di hotel Mitsui di Tokyo, Kyoto dan Osaka, menggunakan ruang kosong di kereta api laju Tokaido Shinkansen.

Perkhidmatan itu dijangka dapat mengelakkan masalah seperti rak bumbung yang dipenuhi bagasi besar, atau ruang simpanan yang ditempah digunakan oleh orang yang tidak menempah ruang tersebut.

Biro Pengangkutan Daerah Kinki di Kementerian Tanah, Prasarana, Pengangkutan dan Pelancongan dan lain-lain telah menjalankan eksperimen di Kyoto pada musim luruh 2023.

Ia mendapati lebih 90 peratus pengunjung yang menggunakan khidmat simpanan bagasi sementara di stesen Kyoto Japan Rail berkata rangkaian kegiatan mereka telah berkembang.

Bilangan rekod pengunjung iaitu 36,869,900 telah berkunjung ke Jepun pada 2024, naik 47.1 peratus dari tahun ke tahun, berdasarkan angka anggaran Pertubuhan Pelancongan Nasional Jepun.

Pemerintah telah menetapkan sasaran 60 juta pengunjung menjelang 2030.

“Pelancongan tanpa bagasi bukan sahaja mengurangkan beban pengunjung bahkan menawarkan faedah yang ketara kepada penduduk tempatan, seperti mengurangkan kesesakan,” kata Ketua Penganalisis Penyelidikan Perniagaan Korporat Toray dan pakar industri pelancongan, Cik Tomomi Nagai.

“Masih terdapat ruang yang besar untuk membangunkan perkhidmatan baru, dan lebih banyak syarikat mungkin berusaha menonjolkan diri mereka daripada pesaing mereka pada masa hadapan.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg