Kaki Jalan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Konnichiwa’, masih tak jelak walau sudah 14 kali lawat Jepun

Juruvideo jatuh cinta dengan bumi matahari terbit sejak pertama kali berkunjung pada 2017, niat teroka kesemua 47 wilayah
Mar 2, 2025 | 5:30 AM
Encik Muhamad Fariqqin Anuar berkunjung ke terusan Otaru di Hokkaido, Jepun pada Februari 2023. Terusan itu dibina pada 1923 untuk membolehkan kapal kecil membawa barangan ke gudang.
Encik Muhamad Fariqqin Anuar berkunjung ke terusan Otaru di Hokkaido, Jepun pada Februari 2023. Terusan itu dibina pada 1923 untuk membolehkan kapal kecil membawa barangan ke gudang. - Foto ihsan MUHAMAD FARIQQIN ANUAR

Darahnya Melayu tetapi jiwa Encik Muhamad Fariqqin Anuar, 35 tahun, bak warga Jepun.

Saking ‘kemaruk’ dengan bumi matahari terbit itu, beliau bukan sahaja giat menguasai bahasa Jepun, malah sudah 14 kali berkunjung ke sana.

Biarpun begitu, tidak sekali hatinya rasa jemu, malah beliau tidak akan berhenti terbang ke sana bagi menyelesaikan misinya – untuk melancong secara solo ke semua 47 wilayah Jepun.

View post on Instagram
 

Setakat ini, beliau sudah melawat 43 wilayah di serata Jepun dan merancang ke sana Mei ini (2025) untuk meneroka baki empat wilayah lain – Kochi, Ehime, Ishikawa, dan Fukui.

“Meneroka seluruh Jepun merupakan pencapaian yang sangat jarang didengar, terutamanya bagi seseorang yang tidak menetap di situ.

“Ia pencapaian yang besar walau dalam kalangan orang Jepun. Saya telah bertemu dengan ratusan individu Jepun dan masih belum jumpa seseorang yang telah selesai teroka Jepun,” ujar juruvideo tersebut.

Ditanya apa rancangan seterusnya setelah beliau berjaya jejakkan kaki di semua wilayah, Encik Fariqqin tersenyum sambil menjawab dengan yakin bahawa beliau tetap akan kembali ke Jepun untuk menjelajah dengan lebih mendalam tempat yang masih belum diterokai dalam wilayah berbeza itu.

APA YANG MEMPESONAKAN TENTANG JEPUN?

Encik Muhamad Fariqqin Anuar mengambil swafoto bersama rusa di dalam taman Nara pada Januari 2023.
Encik Muhamad Fariqqin Anuar mengambil swafoto bersama rusa di dalam taman Nara pada Januari 2023. - Foto ihsan MUHAMAD FARIQQIN ANUAR

Ditemui Berita Minggu (BM), Encik Fariqqin berkongsi bahawa minatnya terhadap budaya Jepun sudah wujud sejak kecil setelah beliau kerap menonton anime, mendengar muzik rok Jepun (J-rok) dan menonton kegiatan sukan gusti Jepun.

Setelah berkunjung ke Jepun buat pertama kali pada 2017, beliau semakin jatuh cinta dengan negara itu lalu menanamkan hasrat untuk bermastautin di sana.

Namun, cita-citanya itu kerap terhalang.

Pada mulanya, sekatan pergerakan pandemik Covid-19 menyebabkan sempadan negara ditutup.

Dan setelah sekatan diangkat, Encik Fariqqin terpalit dalam satu penipuan yang menyebabkannya hilang wang simpanan berjumlah lebih $30,000, yang sepatutnya digunakan bagi menanggung perbelanjaan hariannya setelah berpindah ke sana.

Menggelar tempoh tersebut sebagai yang “paling gelap” dilaluinya, beliau enggan membiarkan dirinya terus terjerat dalam kemurungan lantas memulakan misi untuk berkunjung ke semua 47 wilayah Jepun pada Januari 2023.

Ditanya khusus tentang budaya Jepun yang beliau dapati sangat mempesonakan, Encik Fariqqin berkata:

“Budaya mereka berasaskan kebersihan dan sifat saling menghormati.

“Saya selalu rasakan jika ada orang Jepun yang beragama Islam, mereka adalah contoh yang terbaik kerana mereka benar-benar menjaga kebersihan mereka.

“Di sana, setiap kali saya hilang barang, tidak pernah berlaku keadaan saya tidak dapat balik barang tersebut.

“Ini sangat berbeza dengan negara lain yang saya pernah kunjungi dengan kita perlu berhati-hati dengan dompet kita kerana takut dicuri, tetapi di Jepun saya tidak ada ketakutan yang mencengkam itu.”

SANGGUP GARAP BAHASA JEPUN

Encik Muhamad Fariqqin Anuar gigih mempelajari bahasa Jepun dan mengamalkan penulisan ‘Kanji’.
Encik Muhamad Fariqqin Anuar gigih mempelajari bahasa Jepun dan mengamalkan penulisan ‘Kanji’. - Foto MUHAMAD FARIQQIN ANUAR

Dek terdorong mahu menyelami budaya Jepun, Encik Fariqqin juga mempelajari bahasa tersebut dan tekun mengasah penguasaannya selama satu setengah tahun.

“Saya berusaha gigih sekali sehinggakan sebelum saya tidur, saya akan mendengar berita Jepun supaya bahasa itu dapat meresap ke dalam otak saya.

“Apabila saya naik kereta api untuk ke kerja, saya akan mempraktikkan penulisan ‘Kanji’ (aksara Jepun),” katanya.

Berkat usaha beliau, Encik Fariqqin kini lancar berbicara dalam bahasa Jepun dan lidahnya tidak kekok melafazkan lenggoknya.

“Ia kemahiran yang sangat penting kerana apabila anda menjelajah kawasan pinggir bandar, penduduk di situ tidak begitu mahir berbahasa Inggeris.

“Setiap kali saya buka mulut dan berbahasa Jepun, warga tempatan selalunya tercengang.

“Dan sebaik sahaja mereka tahu bahawa anda warga asing yang boleh berbahasa Jepun, mereka akan tunjukkan rasa hormat kerana mereka tahu bahasanya sukar untuk dipelajari.

“Ia kemudian menjadi perkara yang mencetuskan perbualan mesra,” kongsinya.

PENGALAMAN MELANCONG SOLO

Encik Muhamad Fariqqin Anuar ditimbus dalam spa pasir yang bertujuan menyegarkan diri di pantai Beppu, wilayah Kyushu pada Februari 2023. Mandian pasir itu dipanaskan dengan menggunakan air mata (air natrium klorida), yang dipercayai menggalakkan kesihatan baik.
Encik Muhamad Fariqqin Anuar ditimbus dalam spa pasir yang bertujuan menyegarkan diri di pantai Beppu, wilayah Kyushu pada Februari 2023. Mandian pasir itu dipanaskan dengan menggunakan air mata (air natrium klorida), yang dipercayai menggalakkan kesihatan baik. - Foto ihsan MUHAMAD FARIQQIN ANUAR

Sebagai pelancong solo Muslim, Encik Fariqqin berkongsi bahawa ia sukar elak kedai makan yang menjual daging babi, apatah lagi mencari kedai halal, terutama di kawasan pinggir bandar.

Apabila berdepan situasi begitu, beliau hanya makan roti dan makanan laut bagi mengisi perut.

Bagaikan pelancong ‘bajet’, Encik Fariqqin hanya berbekalkan satu beg galas dan satu beg sandang kecil dan kerap mencuci baju sendiri untuk digunakan semula.

“Menerusi penerokaan solo saya, terdapat masa ia menjadi sedikit berbahaya, contohnya apabila saya terperangkap di jalan raya yang sudah bertimbun dengan salji dan jauh daripada pengangkutan awam. Mujur saya dapat mengatasi keadaan tersebut.

“Saya juga pernah melalui bencana alam seperti taufan dan gempa bumi tetapi dapat juga mencipta kenangan manis menyelami budaya berbeza di serata Jepun,” katanya.

Beliau berharap individu lain dapat juga mengongsi kegembiraan dan kepuasan seperti yang beliau raih menerusi pengalamannya menjelajah Jepun.

“Saya tahu sesetengah individu yang baru sekali berkunjung ke Jepun sudah terpegun dan ingin kembali.

“Mereka belum lagi mengalami Jepun yang sebenarnya, dan hanya merasakan secebis daripadanya.

“Kini semua orang ‘tergilakan’ Gunung Fuji, tetapi di Jepun sebenarnya banyak lagi gunung yang sangat indah, antaranya gunung merapi Sakurajima, gunung di Iwate. Jadi banyak tempat lain yang jika orang ramai kunjung, mereka pasti akan semakin terpesona,” tambahnya lagi.

Encik Muhamad Fariqqin Anuar berkunjung ke mata air panas Chinoike Jigoku, atau ‘Blood Pond Hell’ di Beppu, Jepun pada Januari 2023. Ia terlalu panas untuk manusia berendam.
Encik Muhamad Fariqqin Anuar berkunjung ke mata air panas Chinoike Jigoku, atau ‘Blood Pond Hell’ di Beppu, Jepun pada Januari 2023. Ia terlalu panas untuk manusia berendam. - Foto ihsan MUHAMAD FARIQQIN ANUAR

Tip berkunjung ke Jepun:

1) Sentiasa bawa beg plastik tambahan dalam beg atau kocek anda. Pasar raya atau ‘konbini’ selalunya mengenakan caj untuk beg dan ia juga cara yang baik untuk membuang sampah sehingga anda jumpa tong sampah yang jarang didapati di Jepun.

2) Untuk elak bersempit-sempit di kereta api, usah naik pengangkutan ketika waktu sibuk iaitu 7.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 5.30 petang hingga 7.30 malam.

3) Navitime, Jorudan atau Google Maps sangat berharga apabila merancang laluan perjalanan. ‘Shinkansen’ atau kereta api laju mempunyai waktu perjalanan berbeza untuk laluan yang sama jadi ia penting untuk periksa kereta api mana yang akan membantu anda sampai ke destinasi dengan paling cepat.

4) Penting tahu istilah kereta api yang berbeza contohnya, ekspres, ekspres terhad, laju, tempatan (express, limited express, rapid, local). Bergantung kepada perjalanan kereta api, beberapa kereta api tidak akan berhenti di lokasi dan perhentian tertentu. Lebih baik untuk anda periksa aplikasi atau tanya kakitangan kereta api sekiranya kereta api yang anda naiki itu akan berhenti di destinasi anda.

5) Bawa pasport anda ke mana jua anda pergi. Ia merupakan sebahagian undang-undang dan warga asing perlu mempunyai pasport bersama mereka sepanjang masa. Anda juga perlukannya jika ingin membeli-belah tanpa cukai!

“Dan sebaik sahaja mereka tahu bahawa anda warga asing yang boleh berbahasa Jepun, mereka akan tunjukkan rasa hormat kerana mereka tahu bahasanya sukar untuk dipelajari. Ia kemudian menjadi perkara yang mencetuskan perbualan mesra.”
Encik Muhamad Fariqqin Anuar, yang telah 14 kali berkunjung ke Jepun.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg