Tekad pelakon asal Singapura, Shah Iskandar Mahfuz, kini adalah bagi memperbaiki dirinya dalam bidang lakonan dan demi menghiburkan penonton di samping sentiasa mengingati peminat dan keluarganya.
Selepas sedekad berlakon, Shah, 42 tahun, kembali ke pentas gemilang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dengan merangkul piala Pelakon Pembantu TV Popular pada edisi ke-36 majlis gilang-gemilang itu pada 11 Oktober.
Shah bahkan menewaskan Azhan Rani, Mierul Aiman, Nadhir Nasar dan Wanns Ahmad.
Sebelum ini, beliau pernah meraih piala Pelakon TV Lelaki Popular dua tahun berturut-turut iaitu pada ABPBH 2013 dan 2014.
“Kalau lihat senarai calon lain, memang bukan ‘kaleng-kaleng’ (calang-calang) kerana ada antara mereka pernah tular dengan drama lakonan mereka.
“Jujurnya, sampai sekarang saya masih lagi tertanya-tanya siapa yang undi saya selain keluarga dan rakan-rakan.
“Saya teringin nak tahu kerana tak mahulah orang buat andaian kemenangan saya ini kata saya beli undi.
“Selepas ini kelab peminat saya akan dihidupkan kembali. Kawan saya yang akan kendalikannya,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Kemenangan ini membuktikan Shah masih relevan.
Watak sebagai Adam Zikri yang dibawa dalam drama, Ku Akad Kau Dengan Bismillah, yang disiarkan TV3, cukup berkesan hingga menarik perhatian ramai.
Shah mula berkecimpung dalam bidang lakonan pada 2006 ketika menuntut dalam bidang perfileman di Politeknik Ngee Ann.
Beliau kemudian menyertai pertandingan realiti, Anugerah Skrin, di Singapura dan muncul sebagai pemenang tempat ketiga.
Datuk Yusof Haslam kemudian menawarkan Shah untuk membawa watak Inspektor Hisham, iaitu anak Sub-Inspektor Hashim, lakonan A Galak, dalam siri drama polis popular, Gerak Khas, yang diterbitkan Skop Productions pada 2009.
“Tanpa peminat dan keluarga, saya tak akan sampai di mana saya berada.
“Saya tak akan sia-siakan tanggungjawab saya bagi setiap peluang yang diberi untuk menjayakan sesuatu watak, naskhah, drama atau filem,” tambah Shah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg