Penyanyi Jay Jay, atau nama sebenarnya, Mohd Fauzi Darus, 67 tahun, kini dalam keadaan stabil di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), pada 23 Mei.
Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tempatan (YKAT), Datuk DJ Dave. berkata beliau bersyukur melihat keadaan Jay Jay mampu tersenyum ketika melawat penyanyi lagu Rindu Bayangan itu pada 24 Mei.
“Alhamdulillah, saya dapat menziarahi Jay Jay. Meskipun dalam keadaan sakit, tetapi Jay Jay tetap mengukir senyuman. Sama-samalah kita mendoakan agar Jay Jay segera sembuh,” katanya.
DJ Dave berkata, Jay Jay juga sempat berpesan agar tidak perlu gusar kerana pihak IJN, doktor dan jururawat menjaga serta memantaunya dengan baik.
“Pembedahan yang dilaporkan berlangsung selama enam jam dikendalikan Profresor Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib.
“Saya sempat menghubungi dan berbual dengan Jay Jay, sebaik mengetahuinya berada di IJN dan bercadang melawat dan memberi sumbangan kepadanya.
“YKAT menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,000 ($286.66) kepada Jay Jay,” ujarnya.
Menurut satu laporan Berita Harian Malaysia (BHM), Jay Jay yang pernah menganggotai kumpulan Carefree tidak tahu dirinya menghidap penyakit jantung sebelum ini.
Ini memandangkan beliau tidak pernah melakukan pemeriksaan kesihatan seumur hidupnya.
Jay Jay difahamkan mendapat serangan jantung ringan dan sesak nafas ketika mahu menaiki bas dari Singapura ke Kuala Lumpur.
Antara lagu popularnya ialah Joget Angan Tak Sudah dan Cukuplah Sekali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg