Selama 72 tahun pertandingan ratu cantik sedunia Miss Universe dianjurkan, tidak pernah sekali pun Ratu Denmark dinobatkan sebagai pemenang.
Bagaimanapun, nasib menyebelahi penari, usahawan dan pejuang hak haiwan, Victoria Kjaer Theilvig, 21 tahun, apabila beliau diumumkan sebagai Ratu Universe pertama dari negara itu yang diberi pengiktirafan, dengan menewaskan lebih 120 peserta dari negara lain.
Theilvig dimahkotakan di Arena CDMX di Mexico City, Mexico, pada 16 November, oleh Ratu Universe 2023, Sheynnis Palacios dari Nicaragua.
Naib juara pertandingan itu ialah Chidimma Adetshina, 22 tahun, mahasiswi undang-undang yang mewakili Nigeria.
Awalnya, beliau mewakili Afrika Selatan tetapi kerana ada perdebatan yang mempersoal negara kelahirannya, Chidimma diminta mewakili Nigeria pula.
Tempat ketiga pula disandang Ratu Mexico, Maria Fernanda Beltran, 24 tahun, usahawan dan pelajar jurusan Sarjana Kecerdasan Buatan (AI).
Ratu Thailand, Opal Suchata Chuangsri, 21 tahun, mahasiswi Sains Politik di Universiti Thammasat di Bangkok, pula adalah pemenang keempat.
Ileana Marquez, 28 tahun, dari Venezuela pula meraih tempat kelima dan mencipta sejarah sebagai peserta pertama berstatus ibu yang mewakili negaranya dalam peraduan itu yang sebelumnya dibuka hanya untuk mereka yang belum berumah tangga.
Peraduan kali ini pula menerima peserta bertubuh besar (plus-size) dan yang melepasi batas usia 28 tahun kerana ingin bersifat inklusif.
Ratu Malta, Beatrice Njoya, 40 tahun, adalah yang paling tua bertanding.
Mengulas kejayaannya, Victoria, dalam satu wawancara TikTok, berkata:
“Kemenangan ini adalah bukti tidak salah untuk bermimpi perkara yang mungkin anda sangka sukar dicapai tangan.
“Saya sudah lama mengimpikan peluang menerima mahkota Ratu Universe. Saya berusaha ke arah itu dengan bekerja keras.
“Akhirnya, impian saya menjadi kenyataan berkat keyakinan diri saya dapat membanggakan negara saya, Denmark, sebab belum ada lagi Ratu Denmark bergelar Ratu Universe.”
Dalam pada itu, netizen menggelar Victoria sebagai boneka Barbie yang benar-benar wujud di pentas peragaan.
“Dahlah tinggi-lampai, muka comel dan rambut kuning-kuning keperangan... sebiji macam boneka Barbie,” jelas salah seorang netizen.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg