Pada 2000, Lara Dutta dikenali sebagai Ratu India kedua yang berjaya dinobatkan sebagai Ratu Universe selepas Sushmita Sen.
Kini, Lara, 46 tahun, yang dikenali kerana lakonan serba bolehnya di wadah penstriman, mendapati dirinya lebih matang dalam usaha agar terus kekal di dalam industri Bollywood.
Ikuti lima soalan yang diajukan laman Filmfare kepada Lara yang sukakan bidang lakonan kerana ia sentiasa berubah mengikut tuntutan sezaman.
Soalan (S): Adakah anda rasa amat tercabar sebagai pelakon dalam fasa kerjaya kini?
Lara: Saya percaya ini hanya cabaran sedikit sahaja dalam kerjaya saya. Ada banyak lagi tawaran hebat dan peluang lakonan yang saya terima.
Peranan yang saya perlu bawa, kisah-kisah yang disampaikan, individu yang bekerjasama dengan saya – kesemuanya menyumbang kepada pengalaman luar biasa.
Setiap projek lebih menarik daripada yang sudah. Ia menggalak saya untuk terus maju dan mencabar diri saya dalam cara baru. Buat masa ini, saya menikmati setiap saat yang dilalui dan menanti apa lagi yang terbentang untuk saya bagi masa akan datang.
S: Sejauh manakah anda mampu tangani kritikan dan berdepan dengan mereka yang enggan ambil anda berlakon?
Lara: Saya tenang menerima kritikan dan kecaman atau situasi apabila saya ditolak daripada menjayakan sesebuah projek seni.
Kritikan ada di mana-mana. Apabila saya fikir semula, saya gembira. Suatu ketika dahulu, saya payah menerimanya. Namun, pada jangka masa panjang selepas itu, saya gembira sesetengah projek tidak menjadi nyata. Mungkin ia tidak sesuai untuk saya.
S: Apakah nasihat yang anda ingin beri kepada diri anda yang lebih muda dahulu ?
Lara: Semasa muda, saya tidak banyak menerima bimbingan sesiapa. Saya akan memberitahu diri saya yang muda itu, “Syabas! Awak memiliki impian yang besar dan berupaya mengemudi hidup dengan baik. Kebanyakan impian anda menjadi nyata.
Saya harus ucapkan terima kasih kepada diri anda yang berani menebar impian dan menjadi insan yang kerja keras dan optimistik. Teruskan yakini kebolehan anda dan ikut kata hati sebab anda di jalan yang benar.”
S: Pernahkah anda bayangkan situasi anda dan dua rakan ratu cantik, Dia Mirza dan Priyanka Chopra, dapat disatukan dalam satu projek?
Lara: Kami bertiga memang tidak dapat dipisahkan. Kami masih lagi bertemu dan bersembang di telefon. Walaupun kerana kesibukan, kami tak jumpa satu sama lain selama berminggu atau berbulan lamanya, apabila kami kembali bertemu, rasanya macam tak mahu balik rumah!
Kami macam adik-beradik dan saya harap persahabatan akrab ini akan berkekalan sampai bila-bila.
Bagi saya, 2000 adalah titik tolak penting, bukan sahaja untuk saya, Dia dan Priyanka malah seluruh India. Ia adalah tahun yang memperkukuh persahabatan kami.
Kami telah membina asas kepercayaan dan kesetiaan yang tidak mampu digugat. Jadi tak perlulah projek filem. Kami cukup bahagia dengan kehidupan kami di alam nyata bersama.
S: Bagaimana reaksi anak perempuan dan nasihat anda jika dia memilih ikut jejak sebagai pelakon?
Lara: Saya sebenarnya ingin anak perempuan saya mengikut jejak langkah suami saya, Mahesh Bhupathi, sebagai pemain tenis profesional. Tetapi Saira yang berusia 12 tahun mempunyai kehidupan dan pilihan sendiri. Kami akan sentiasa menyokongnya.
Tentunya, kalau dia pilih untuk berlakon, dia sudah pun memiliki aset iaitu ibunya yang telah lama menceburi bidang seni.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg