Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jenama Bayu Somerset hasil baju kurung tradisional corak unik

Setiap corak dilukis secara digital, ambil inspirasi daripada tema bunga mekar, batu karang dan ala seni bina bagi koleksi Raya 2025
Mar 18, 2025 | 5:30 AM
Jenama fesyen, Bayu Somerset, mengeluarkan koleksi berbeza dengan corak berwarna-warni yang direka sendiri sempena Raya 2025.
Jenama fesyen, Bayu Somerset, mengeluarkan koleksi berbeza dengan corak berwarna-warni yang direka sendiri sempena Raya 2025. - Foto BAYU SOMERSET
Rosa Maxi Kebaya dalam corak Cicely (daripada $62) juga tersedia dalam versi kanak-kanak ($35). Rekaan ini daripada koleksi ‘Floral’ yang mendapat inspirasi daripada bunga mekar.
Rosa Maxi Kebaya dalam corak Cicely (daripada $62) juga tersedia dalam versi kanak-kanak ($35). Rekaan ini daripada koleksi ‘Floral’ yang mendapat inspirasi daripada bunga mekar. - Foto BAYU SOMERSET

Tradisional dan unik.

Itulah dua ciri yang diterapkan dalam setiap koleksi pakaian oleh jenama, Bayu Somerset.

Walaupun baru bermula pada 2021, jenama Malaysia itu telah menempa nama dalam dunia fesyen sopan.

Diasaskan oleh pasangan suami isteri, Cik Diana Kamalul and Encik Emir Fauzi, mereka menawarkan pakaian tradisional Melayu bagi wanita seperti baju kurung, kebaya dan kebarung dengan corak unik dan berwarna-warni.

Menerusi pelbagai rekaannya yang menarik, ia memberikan aura ceria dan yakin kepada si pemakai untuk mengetengahkan personaliti mereka dalam pakaian seharian.

Berkongsi mengenai rekaan mereka, ketua pemasaran, Cik Dania Kamalul, berkata mereka mengekalkan potongan baju tradisional untuk kebanyakan rekaannya namun bermain dengan corak dan motif menarik.

“Kami tetap mengekalkan potongan baju kurung tradisional dengan mengekalkan ciri seperti butang di leher dan kain belah depan.

“Yang menariknya, kami menggunakan fabrik dengan corak dan motif yang mengambil inspirasi daripada pelbagai tema seperti bunga mekar, batu karang di laut dan corak jubin Maghribi,” kongsi Cik Dania kepada Berita Harian (BH) dalam satu sesi wawancara melalui Zoom.

Lukisan bagi setiap corak dan motif dihasilkan secara digital oleh pereka grafik mereka sendiri berdasarkan tema bagi setiap koleksi.

Setiap corak eksklusif jenama ini direka secara digital oleh pereka grafik mereka berdasarkan tema bagi setiap koleksi.
Setiap corak eksklusif jenama ini direka secara digital oleh pereka grafik mereka berdasarkan tema bagi setiap koleksi. - Foto BAYU SOMERSET

Mengulas mengenai proses kreatif di sebalik menghasilkan rekaan itu, Cik Dania berkata:

“Kami sentiasa meneroka rekaan baru dan ingin memberi inspirasi kepada pelanggan.

“Di Bayu Somerset, kami mempunyai persona rekaan yang diberi nama ‘Molly’. Dia merupakan seorang gadis konfiden dan tidak gentar untuk mencuba sesuatu yang baru dari segi fesyen.”

Bagi Raya 2025, jenama itu menghasilkan, #SomerSyokRaya’25, iaitu enam koleksi busana Raya berbeza untuk memenuhi cita rasa pelanggan.

Ia terdiri daripada koleksi, Floral, Bunga dan Bintang, Whimsical, Moroccan, Coral dan Batik, dengan setiap koleksi mempunyai keunikan tersendiri.

Terdapat 55 rekaan menarik bagi golongan dewasa dan 30 rekaan untuk kanak-kanak.

Bagi koleksi ‘Bunga dan Bintang’, syarikat itu bekerjasama dengan pelukis Malaysia, Kirin Sharom. Dalam gambar, ‘Tallulah Set’ dalam warna ‘Kasih Green’ (kiri) dan ‘Kasih Black’ (daripada $74). Kededua rekaan itu boleh didapati di Metro Causeway Point.
Bagi koleksi ‘Bunga dan Bintang’, syarikat itu bekerjasama dengan pelukis Malaysia, Kirin Sharom. Dalam gambar, ‘Tallulah Set’ dalam warna ‘Kasih Green’ (kiri) dan ‘Kasih Black’ (daripada $74). Kededua rekaan itu boleh didapati di Metro Causeway Point. - Foto BAYU SOMERSET

Bagi koleksi Bunga dan Bintang, ia telah bekerjasama dengan pelukis Malaysia, Kirin Sharom, untuk mengeluarkan siri corak yang ceria dengan rona warna terang.

Ia turut menggabungkan unsur alam sekitar dengan corak lukisan berbentuk garisan yang mengambil inspirasi daripada pendekatan seni bina.

Bagi koleksi Batik pula, ia merupakan satu penghormatan bagi warisan Malaysia sambil bermain dengan motif batik dari negara itu supaya rekaannya dapat memenuhi cita rasa tempatan.

Bayu Somerset turut mengeluarkan pakaian sedondon untuk kaum Adam dan kanak-kanak menggunakan corak eksklusif yang dihasilkan.

Sebagai contoh, koleksi Coral menampilkan set pakaian ‘couple’ yang sesuai untuk setiap pasangan manakala koleksi Moroccan turut menawarkan pakaian bagi si cilik selain untuk orang dewasa – menjadikannya sesuai untuk seisi keluarga.

Andra Kurung (daripada $39) merupakan rekaan daripada koleksi ‘Batik’ yang merupakan satu penghormatan bagi warisan Malaysia sambil bermain dengan motif batik dari negara itu. Rekaan ini boleh didapati di Metro Causeway Point.
Andra Kurung (daripada $39) merupakan rekaan daripada koleksi ‘Batik’ yang merupakan satu penghormatan bagi warisan Malaysia sambil bermain dengan motif batik dari negara itu. Rekaan ini boleh didapati di Metro Causeway Point. - Foto BAYU SOMERSET

“Pakaian kami disasarkan pada wanita berusia 20 tahun ke atas.

“Namun, kami mendapat maklum balas daripada pelanggan yang ingin melihat corak unik itu divariasikan bagi pakaian kanak-kanak dan pasangan mereka,” tambah Cik Dania.

Menitikberatkan keselesaan pelanggan yang mungkin memakai busana itu sepanjang hari, hampir kesemua rekaan di Bayu Somerset menggunakan kain kapas sebagai fabrik utama.

“Sebenarnya ramai daripada pelanggan kami adalah guru atau mereka yang bekerja di pejabat kerajaan di mana baju kurung menjadi pakaian pilihan utama untuk ke kerja setiap hari.

“Kain kapas merupakan fabrik yang lembut dan selesa.

“Rekaan kami memberi mereka peluang untuk kelihatan bergaya dan kemas setiap hari tanpa mengorbankan aspek keselesaan,” tambah Cik Dania yang berkongsi bahawa jenama itu turut mengeluarkan koleksi baru pada perayaan Tahun Baru Cina dan Deepavali.

Bayu Somerset turut percaya pada nilai keterangkuman dengan menawarkan pakaian dengan saiz sehingga 5XL bagi kaum Hawa dan 2XL bagi kaum Adam.

Koleksi Raya ‘Morrocan’ menampilkan rekaan bagi golongan dewasa dan kanak-kanak menjadikannya sesuai untuk seisi keluarga.
Koleksi Raya ‘Morrocan’ menampilkan rekaan bagi golongan dewasa dan kanak-kanak menjadikannya sesuai untuk seisi keluarga. - Foto BAYU SOMERSET

Mereka juga cuba untuk menawarkan pakaian yang mampu dimiliki dengan koleksi Raya 2025 bermula daripada RM128.70 ($39) bagi satu set baju kurung.

Selain pakaian tradisional, corak dan motif dihasilkan turut digunakan dalam rekaan produk lain seperti tudung, aksesori rambut dan baru-baru ini bekerjasama dengan jenama selipar antarabangsa, Fipper.

Melihat adanya sambutan memberangsangkan daripada pelanggan Singapura menerusi pembelian dalam talian, mereka turut mengambil langkah untuk membuka dua reruai semasa Ramadan 2025 di Hab Tampines Kita (OTH) dan dalam gedung Metro yang terletak di pusat beli-belah Causeway Point.

“Pelanggan Singapura merupakan pelanggan utama dalam kalangan pelanggan luar Malaysia.

“Kami mendapat maklum balas yang menggalakkan apabila kami menyertai bazar Ramadan pada 2024.

“Ia memberi pelanggan di Singapura peluang untuk melihat dan mencuba sendiri pakaian daripada koleksi kami,” tambah Cik Dania.

Dengan 10 gerai di seluruh Malaysia termasuk Selangor, Pahang, Pulau Pinang dan Terengganu, jenama itu berharap dapat membuka satu cawangan di setiap negeri di Malaysia menjelang 2026.

Ia juga tidak menolak kemungkinan untuk membuka kedai tetap di Singapura pada masa hadapan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg