Dalam keseronokan membeli-belah termasuk untuk berfesyen dan bergaya, usah lupa memikirkan juga soal menjaga kesejahteraan alam.
Justeru penting untuk memupuk kesedaran dengan meletakkan kemampanan dan alam sekitar dalam setiap keputusan, termasuk dalam mendapatkan pakaian atau perhiasan baharu.
Wadah e-dagang yang memperjuangkan produk-produk kemampanan, Looqal akan menganjurkan reruai penjualan tiga hari mulai Jumaat ini, dalam temasya yang menghimpunkan koleksi pilihan jenama gaya hidup mampan yang menghasilkan produk cantik dan bermutu dalam kelompok kecil.
Wadah ini bertujuan mengubah cara orang ramai membeli-belah dalam talian dengan memastikan aspek seperti kemapanan, alam sekitar dan warisan budaya dijadikan sandaran sebelum membuat keputusan membeli.
“Penyusunan produk mampan di wadah ini memang disengajakan agar ia boleh berfungsi sebagai penyumbang kepada mutu, keunikan yang lebih baik, reka bentuk ekslusif, dan menggunakan bahan yang kurang kesannya kepada persekitaran. Ia juga merupakan peluang untuk menyokong usahawan tempatan yang diterajui wanita,” kata pengasas Looqal, Cik Joyce Teh.
Koleksi pilihan wadah in mempersembahkan rangkaian produk mesra alam, tidak toksik dan lebih selamat untuk pengguna.
Looqal juga menyertakan program menyumbang kembali kepada masyarakat dengan menyalurkan 1 peratus daripada setiap pesanan pelanggan kepada organisasi tidak meraih untung yang menjalankan kerja sosial atau program alam sekitar.
Menerusi wadah itu juga, Looqal berusaha memelihara warisan budaya dengan bekerjasama petukang dan pencipta yang memberi penekanan kepada ketukangan tradisional, sambil memastikan produk yang dihasilkan berkembang maju dalam konteks moden.
Batik keluaran Cik Aqilah Zailan adalah antara yang diketengahkan untuk tujuan ini.
“Kami berusaha untuk memperkasa orang ramai untuk membuat pilihan bermakna yang mempengaruhi secara positif alam sekitar, menyokong warisan dan memartabatkan masyarakat.
“Looqal adalah lebih daripada wadah e-dagang – ia adalah pergerakan yang bertujuan membina ekosistem jenama gaya hidup mampan, pengguna dan penyedia perkhidmatan yang sedar dan secara aktif menyumbang kepada penambahbaikan dunia,” ujar Cik Teh.
Looqal akan menaja cabutan bertuah di acara yang berlangsung selama tiga hari di Crane@Joo Chiat. Ia terbuka kepada semua pelanggan di acara itu dari 25 Ogos hingga 27 Ogos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg