Topik diikuti
Pergi ke BHkuPanduan pengurusan masa bagi ibu bapa baru
Penyelarasan jadual, pastikan ada masa untuk diri sendiri penting agar kesejahteraan terjaga
Ibu bapa sering diingatkan supaya menghargai setiap detik kerana “masa berlalu dengan sekelip mata”.
Namun bagi ramai orang, beberapa bulan pertama setelah menjadi ibu bapa bukannya rasa terlalu pantas tetapi rasa seperti tiada penghujungnya.
Ia satu tempoh yang kabur dipenuhi kebimbangan, janji temu dan sesi memberi susu, di mana masa seolah-olah menjadi milik semua orang kecuali ibu bapa itu sendiri.
Bagaimanakah kita mencari keseimbangan apabila setiap minit sudah pun terisi?
Inilah persoalan yang menjadi teras kajian saya.
Sepanjang bertahun-tahun menjalankan kerja lapangan di kawasan kejiranan paling mewah dan paling kurang bernasib baik di Toronto, saya menemu bual lebih 200 orang dan menjalankan tinjauan terhadap lebih 1,000 individu, termasuk ibu bapa kali pertama.
Saya menghuraikan dapatan ini dalam buku saya, Timeless.
Keibubapaan memakan masa semua orang, tetapi kesannya berbeza mengikut saiz akaun bank anda.
Apa yang jelas daripada golongan kaya dan miskin ialah keseimbangan masa bukan soal mengumpul lebih banyak masa lapang.
Lagipun, tiada siapa boleh memiliki lebih daripada 24 jam dalam sehari.
Setiap orang mempunyai apa yang saya panggil “zon Goldilocks berkaitan masa”, di mana masa lapang dan masa yang dipenuhi tanggungjawab berada pada tahap yang “cukup sesuai”.
Ibu bapa baru, yang seolah-olah tercampak keluar daripada zon ini dalam sekelip mata, boleh mengajar kita cara kembali kepadanya.
Berikut lima perkara yang boleh dipelajari.
Selaraskan jadual
Ibu bapa baru cepat menyedari bahawa bayi yang baru lahir tidak boleh dipaksa mengikut jadual yang ketat.
Mereka yang menyesuaikan diri dengan baik berhenti mencuba untuk mengenakan jadual yang tegar.
Seperti kata Agnes (bukan nama sebenar), bayinya “lebih peka terhadap tubuhnya berbanding kita”, lalu dia belajar untuk “mengikut rentak” daripada memaksa rutin yang telah ditetapkan.
Mungkin apa yang dikatakan Agnes ada benarnya.
Kajian saya menunjukkan bahawa kesejahteraan kurang bergantung pada jumlah masa lapang yang kita miliki, sebaliknya pada sejauh mana rentak kehidupan kita selari dengan orang yang berkongsi hidup dengan kita.
Mengawal keadaan mungkin menjadi naluri profesional, tetapi apabila melibatkan bayi yang baru lahir, penyelarasan lebih berkesan.
Jangan tanya, “bagaimana saya boleh mendapatkan lebih banyak masa?”.
Sebaliknya tanyalah, “rentak hidup saya tidak seiring dengan siapa, dan bagaimana kami boleh menyelaraskannya semula?”.
Perlu masa untuk kekalkan jati diri
Ibu bapa daripada pelbagai latar belakang menggambarkan bagaimana identiti lama mereka seolah-olah larut dalam rutin penyusuan dan kerja rumah.
Mereka yang menyesuaikan diri dengan lebih baik sengaja menggabungkan diri mereka sebelum bergelar ibu bapa dengan kehidupan baru itu – mengekalkan persahabatan dengan mereka yang belum mempunyai anak, meneruskan hobi, atau mempertahankan rutin yang dihargai.
Seperti yang dirumuskan oleh Jonah (bukan nama sebenar), seorang bapa baru: “Jika seseorang atau sesuatu itu penting bagi anda, anda akan meluangkan masa untuknya.”
Jika masa melambangkan penghargaan, maka jadual harian anda ialah rekod kasih sayang anda.
Meluangkan sedikit masa untuk meneruskan minat dan menjaga kesejahteraan diri sendiri bukanlah satu tindakan yang mementingkan diri.
Itulah yang membolehkan anda kembali kepada orang tersayang dengan lebih sabar dan hadir sepenuhnya.
Hargai masa
Terima kasih kepada ahli ekonomi, kita tahu bahawa masa boleh dibeli – melalui makanan bungkus, pengasuh atau khidmat pembersihan, misalnya.
Namun walaupun dengan bantuan berbayar, ramai ibu bapa yang lebih berada dalam kajian saya masih berasa kekurangan masa: masa yang “dibeli” itu diisi semula dengan e-mel dan usaha untuk mengekalkan imej tertentu.
Melainkan masa yang dibeli itu dipertahankan, wang yang dibelanjakan untuk bantuan hanya menyokong masa orang lain.
Sebaliknya, peserta yang kurang berkemampuan tidak mampu membeli masa pada tahap yang sama.
Mereka membayar segala-galanya dengan masa mereka sendiri, dan kesihatan mereka menanggung akibatnya.
Kededua kumpulan ini menekankan perkara yang sama: hargailah masa dengan sebaiknya.
Jika anda berjaya “membebaskan” satu jam, gunakannya dengan sengaja.
Jagalah waktu makan dan tidur anda sebagaimana anda menjaga bayi anda.
Kesihatan yang dikorbankan hari ini ibarat pinjaman terhadap masa depan anda yang perlu dibayar semula, dengan faedah.
Kongsi masa untuk cipta masa
Masa, seperti yang dihujahkan oleh ahli sains sosial, ialah “kebaikan berasaskan rangkaian” (network good), iaitu nilainya bergantung pada keupayaan untuk berkongsinya dengan orang lain. Keibubapaan menguji hakikat ini.
Deema (bukan nama sebenar), yang bersendirian di rumah bersama anak perempuannya, berkata semua orang menyayangi bayinya, “tetapi tiada siapa berada di sini untuk membantu saya”.
Perasaan terasing walaupun menerima kunjungan orang lain boleh memberi kesan mendalam kepada ibu bapa baru.
Namun, anda boleh mencipta masa untuk diri sendiri melalui masa yang dikongsi: minta tetamu yang dipercayai mendukung bayi sementara anda mandi, atau membawa sesuatu yang diperlukan.
Mereka yang mengambil berat tentang anda mahu membantu; kadangkala mereka hanya perlu diberitahu caranya.
Membangunkan masyarakat boleh berjalan seiring dengan usaha mendapatkan lebih banyak masa.
Salah satu contoh ialah apa yang saya panggil “tempat perlindungan masa” yang dikongsi bersama – taman, pusat masyarakat, perpustakaan – ruang di mana tekanan masa yang ditentukan oleh jam seolah-olah berkurangan.
Rehat secara bersama juga merupakan satu bentuk pemulihan yang mengembalikan kesejahteraan yang terhakis akibat kekurangan masa.
Merasai emosi memerlukan masa
Kehidupan emosi memakan masa.
Untuk benar-benar merasakan kegembiraan, kejutan dan kebimbangan dalam keibubapaan, anda perlu mengenal pasti perasaan tersebut, membiarkannya memuncak dan reda, kemudian menyulamnya ke dalam kisah hidup anda.
Ramai orang terlalu sibuk untuk merasai emosi.
Apabila setiap minit sudah terisi, emosi sering ditangguhkan.
Dalam erti kata ini, kekurangan masa menghasilkan kekurangan emosi: keupayaan untuk merasai kesedihan dan kegembiraan menjadi semakin tumpul.
Lindungilah ruang-ruang kecil masa yang belum diisi – bukan untuk menjadi lebih produktif, tetapi untuk merasai emosi – dan percayalah bahawa ia akan memberikan pulangan dalam bentuk masa.
Inilah sebabnya, pada akhirnya, masa bukanlah wang, tetapi kasih sayang.
Kasih sayang ialah tujuan masa digunakan dan juga sumber datangnya masa.
Masa berjam-jam yang diluangkan bersama orang lain dan saat-saat tenang yang anda simpan untuk diri sendiri bukanlah masa yang hilang.
Itulah sebenarnya inti pati masa itu sendiri.
Penulis ialah penolong profesor sosiologi di Universiti Kolej Dublin. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.

