Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dari penjara ke padang bola sepak

Bekas pesalah sedia ruang selamat, latih belia dalam bola sepak di Yishun
Oct 30, 2025 | 5:30 AM
Mohammad Azimmi Jamaluddin, bekas pesalah
Menggunakan pengalaman hidupnya, Encik Mohammad Azimmi Jamaluddin (dua dari kanan), menyediakan ruang selamat untuk kanak-kanak dan belia berlatih bola sepak di padang Sekolah Rendah Yishun. Beliau bersama isterinya, Cik Nor Hashima Ahmad, dan anak mereka (dari kiri), Eshal D’Raysha; Alfy Rayqal Muhammad Faizal; Afif Rayyan Mohammad Azimmi; dan Aryan Rayyis Muhammad Faizal. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Setelah melalui masa silam yang penuh cabaran, termasuk penglibatan dalam geng dan dihukum penjara, Encik Mohammad Azimmi Jamaluddin, kini menggunakan pengalaman hidupnya bagi memberi inspirasi kepada golongan muda.

Setiap pagi Ahad, di padang bola sepak Sekolah Rendah Yishun, Encik Azimmi, 38 tahun, mengendalikan sesi latihan bola sepak yang bukan sahaja mengasah kemahiran, bahkan juga membina keyakinan dan menyediakan ruang selamat bagi kanak-kanak dan belia.

“Bila saya dalam penjara, saya beritahu diri sendiri sekiranya saya benar-benar mahu berubah, saya perlu ambil langkah pertama.

“Jadi sejak dalam penjara lagi, saya sudah rancang untuk melatih kanak-kanak dalam bola sepak sebab saya memang minat bola sepak,” jelasnya.

Beliau dipenjarakan pada 2018 atas kesalahan mengedar dadah.

Setelah dibebaskan dari penjara pada Jun 2023, Encik Azimmi tidak menunggu lama untuk memulakan kehidupan baru.

Beliau menghubungi Anggota Parlimen (AP) bagi kawasan Chong Pang, Encik K. Shanmugam, dan kemudian dirujuk kepada badan pentadbir sukan setempat, Majlis Sukan Singapura (SportSG), untuk menjadikan hasratnya satu hakikat.

Pada Ogos 2023, Encik Azimmi memulakan sesi latihan bola sepak secara tidak rasmi dengan hanya 20 peserta berusia antara lapan dengan 14 tahun.

Kini, selepas hampir dua tahun, ‘akademi’ itu melatih lebih 250 kanak-kanak dan belia berusia antara lima dengan 14 tahun, semuanya secara percuma.

“Saya rasa kalau niat saya ikhlas nak bantu mereka, insya-Allah, jumlah peserta akan datang dengan sendiri.

“Sasaran saya dulu hanya 60 belia, tetapi sekarang dah cecah 250 peserta dan masih bertambah,” katanya sambil tersenyum.

Selain mengajar teknik dan taktik bola sepak, Encik Mohammad Azimmi Jamaluddin (dua dari kiri), juga membimbing kanak-kanak dan belia yang menghadiri sesi latihan bola sepaknya sebagai sebahagian aspek kehidupan.
Selain mengajar teknik dan taktik bola sepak, Encik Mohammad Azimmi Jamaluddin (dua dari kiri), juga membimbing kanak-kanak dan belia yang menghadiri sesi latihan bola sepaknya sebagai sebahagian aspek kehidupan. - Foto NUR ABIDIN SULEMAN

Bagi Encik Azimmi, bola sepak bukan sekadar sukan.

Ia merupakan wadah untuk membina semula hubungan, bermula dengan anak sulungnya sendiri.

Encik Azimmi mempunyai dua anak kandung – Afif Rayyan Mohammad Azimmi, 13 tahun; dan Mya Qashrynna Aelfira Mohammad Azimmi, lapan tahun; serta tiga anak tiri – Aryan Rayyis Muhammad Faizal, lapan tahun; Alfy Rayqal Muhammad Faizal, enam tahun; dan Eshal D’Raysha, empat tahun.

Beliau kini telah bernikah semula dengan isterinya, Cik Nor Hashima Ahmad, 38 tahun, yang pernah beliau ceraikan dulu.

“Saya dan isteri pernah bercerai, jadi hubungan saya dengan anak sulung saya tidak begitu rapat dulu. Tetapi semasa saya dalam penjara, saya dapat tahu dia minat bola sepak.

“Setiap kali dia datang melawat, kami akan berbual tentang bola sepak dan dari situ kami mula rapat. Sekarang, kami ibarat ‘brothers’, bukan ayah dan anak,” ujar Encik Azimmi.

Sejak dimulakan pada Ogos 2023, sesi latihan bola sepak percuma yang dijalankan Encik Mohammad Azimmi Jamaluddin, pada setiap pagi Ahad, kini melatih lebih 250 kanak-kanak dan belia berusia antara lima dengan 14 tahun.
Sejak dimulakan pada Ogos 2023, sesi latihan bola sepak percuma yang dijalankan Encik Mohammad Azimmi Jamaluddin, pada setiap pagi Ahad, kini melatih lebih 250 kanak-kanak dan belia berusia antara lima dengan 14 tahun. - Foto NUR ABIDIN SULEMAN

Sebagai bekas pemain sayap kelab bola sepak tempatan Home United (kini Lion City Sailors) dalam liga belia Prime League antara 2005 dengan 2006, Encik Azimmi tahu bagaimana bola sepak boleh membentuk disiplin dan semangat juang.

Namun, beliau juga sedar, tidak semua keluarga mampu menampung kos latihan bola sepak yang boleh mencecah kira-kira $150 hingga $200 sebulan.

“Sebab itu saya memulakan sesi latihan ini untuk beri peluang kepada kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan menunjukkan bakat mereka dan rasa dihargai,” terangnya.

Selain mengajar mereka tentang teknik dan taktik bola sepak, Encik Azimmi turut memberi bimbingan dari segi kemahiran kehidupan.

Beliau tahu betapa mudahnya kanak-kanak dan belia terpengaruh dengan persekitaran negatif, satu pengalaman yang pernah beliau lalui sendiri.

“Kanak-kanak sekarang banyak gunakan media sosial, jadi mereka mudah terikut dengan bahasa atau perangai yang kurang baik.

“Saya akan tegur dan nasihat mereka tentang disiplin, cara bercakap, dan tingkah laku serta sikap yang sesuai.

“Saya tak nak anak saya atau budak-budak lain ikut jejak saya dulu. Dulu saya cintakan bola sepak, tetapi sebab pergaulan salah, saya terlibat dengan gengsterisme.

“Sesi latihan bola sepak ini menjadi cara saya bimbing mereka ke arah yang lebih baik,” tambahnya.

Melalui bola sepak, Encik  Mohammad Azimmi Jamaluddin, berharap dapat membimbing kanak-kanak dan belia tentang disiplin, sikap baik, dan cara membuat pilihan betul dalam kehidupan.
Melalui bola sepak, Encik Mohammad Azimmi Jamaluddin, berharap dapat membimbing kanak-kanak dan belia tentang disiplin, sikap baik, dan cara membuat pilihan betul dalam kehidupan. - Foto NUR ABIDIN SULEMAN

Usahanya itu, menurut Menurut Encik Azimmi, mendapat sokongan ibu bapa, dengan ada yang menelefonnya untuk menyampaikan ucapan terima kasih kerana sudi membimbing anak mereka bukan hanya dalam bola sepak, bahkan juga kehidupan.

Namun, perjalanannya tidak datang tanpa cabaran.

Salah seorang anaknya disahkan mempunyai Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD), dan beliau sering berdepan kesukaran mengimbangi latihan bola sepak, tanggungjawab keluarga, dan pekerjaan sepenuh masa sebagai penjaja gerai ‘Sinar Suria’ di Pasar dan Pusat Makanan Chong Pang.

“Pada satu masa, sekolah anak saya telefon dan suruh saya ambil dia balik sebab dia buat hal. Saya tak tahu nak buat apa, jadi saya hubungi sebuah Pusat Khidmat Keluarga (FSC) di Yishun untuk minta bantuan,” kongsinya.

Menurut Encik Azimmi, pusat kendalian Persatuan Kanak-Kanak Singapura (SCS) itu membantu menghubungkan keluarganya dengan program dan sokongan lain, termasuk kidsREAD, serta bekerjasama dengan pihak sekolah untuk memahami keadaan anaknya dengan lebih baik.

Kini, antara meniaga sebagai penjaja, menjadi ayah kepada lima anak, dan melatih ratusan kanak-kanak setiap minggu, Encik Azimmi tidak lagi melihat masa silamnya sebagai beban, tetapi sebagai pengajaran.

“Saya pernah buat banyak kesilapan, tetapi saya tak nak anak saya lalui hidup macam saya dulu. Saya cuma nak beri mereka kehidupan yang terbaik,” tambahnya dengan penuh harapan.

Sumber sokongan bagi ibu bapa

– Bagi ibu bapa yang ingin mempelajari cara menjalin hubungan lebih positif dengan anak, pelbagai panduan dan sumber keibubapaan boleh didapati di laman web, Persatuan Kanak-Kanak Singapura (SCS).

– Mereka yang ingin menyokong usaha persatuan itu dalam melindungi dan membimbing kanak-kanak serta keluarga yang memerlukan juga boleh melayari laman ini untuk mengetahui cara menyumbang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg