Rebut peluang menjadi antara pelanggan terawal yang mencuba wangian terbaharu Chanel, Coco Mademoiselle Crush Absolu, menerusi satu sajian pengalaman khas.

Wangian baharu ini akan dilancarkan menerusi pengambilalihan Alma House di New Bahru oleh Chanel, yang akan diubah menjadi sebuah kafe ‘pop-up’ khas bertemakan rangkaian produk Coco Mademoiselle, bermula dari 20 Ogos hingga 13 September.

Pengalaman ini disajikan secara berperingkat, bermula dengan sebuah risalah yang memuatkan pelbagai kisah serta maklumat menarik mengenai wangian berkenaan, di samping menu ala kafe untuk membangkitkan selera pengunjung.

Dari situ, pengunjung boleh bersantai sambil menyaksikan siri filem sebelum menuju ke kawasan penerokaan atau discovery bar, di mana wangian Crush Absolu diperkenalkan menerusi bahan utamanya serta pengalaman deria bau.

Seterusnya, pengunjung dapat menikmati sesi rundingan peribadi bagi meneroka pelbagai variasi produk di bawah rangkaian Coco Mademoiselle, disusuli dengan sesi pengalaman wangian dan urut tangan.

Bagi penggemar solekan, terdapat berita lebih menggembirakan.

Buat julung-julung kalinya, Coco Mademoiselle akhirnya memperkenalkan rangkaian solekannya yang tersendiri.

Antara produk yang menjadi tumpuan utama bagi rangkaian solekan baharu Coco Mademoiselle ialah Les 9 Ombres, iaitu palet pembayang mata dengan sembilan pilihan warna daripada tona emas lembut hingga warna neutral. 

Selain itu, terdapat gincu Rouge Coco dengan pilihan warna ‘Crush’, iaitu rona ungu lembut dan merah senduduk yang menawan, dihiasi ukiran logo ikonik dua ‘C’ Chanel pada gincunya. 

Rangkaian solekan ini turut menampilkan pewarna kuku Le Vernis yang ditawarkan dalam rona merah jambu lembut.

Koleksi solekan ini akan dilancarkan pada hari sama dengan minyak wangi Coco Mademoiselle Crush Absolu, iaitu pada 19 Ogos, bertepatan dengan hari lahir pengasas jenama tersebut, Gabrielle ‘Coco’ Chanel.

Acara ‘pop-up’ berkenaan turut memberi pengunjung peluang mencuba semua rekaan baharu tersebut menerusi perkhidmatan solekan khas Chanel.

Sebagai acara penutup di kafe tersebut, para pengunjung boleh menikmati minuman istimewa, mengambil gambar kenangan serta membawa pulang cenderamata dengan wangian khas.

Sudah tentu, ini satu pengalaman yang amat dinantikan.

Acara ‘pop-up’ tersebut akan diadakan di Alma House, New Bahru, 46 Kim Yam Road, #03-03, dari 20 Ogos hingga 13 September, 10 pagi hingga 10 malam setiap hari (tutup pada Isnin). 

Kemasukan adalah percuma, namun pendaftaran dalam talian diperlukan. 

Pendaftaran boleh dilakukan di sini.