Habitat gajah Asia semakin mengecil.
Akibatnya, semakin menjadi perkara biasa untuk manusia bersemuka dengan mamalia besar itu di banyak bahagian Asia.
Pelancong, khususnya, cuba mendekati dan memberi makan kepada haiwan itu dan ini kesilapan besar, menurut kajian Universiti California di San Diego.
Masalahnya, tingkah laku itu mencetuskan satu bentuk ‘kelakuan mengemis’ dalam si gajah.
Haiwan itu juga menjadi lebih berani terhadap manusia, kadang-kadang sehingga mengakibatkan maut.
Kajian itu, yang berdasarkan data dari Sri Lanka dan India, diterbitkan dalam jurnal Bukti dan Huraian Ekologi.
“Ramai orang, terutamanya pelancong asing, menganggap gajah Asia jinak dan menurut kata, seperti haiwan peliharaan domestik.
“Mereka tidak sedar bahawa ini adalah haiwan liar yang menggerunkan dan jika menghampirinya pada jarak sangat dekat untuk merakam gambar atau swafoto ia membahayakan dan boleh mengakibatkan kejadian buruk,” jelas pengarang utama, Cik Shermin de Silva.
Cik De Silva telah menghabiskan 18 tahun mengkaji interaksi antara gajah dengan pelancong di Taman Nasional Udawalawe di Sri Lanka.
Beliau memerhatikan bukan sahaja perkembangan tingkah laku mengemis itu bahkan juga bahawa haiwan itu semakin terbiasa dengan makanan manis.
Dalam sesetengah kes, mereka juga memecah keluar pagar supaya terus diberi makan.
Bukan sahaja manusia terkorban dalam kejadian ini, tetapi sekurang-kurangnya tiga ekor gajah turut kehilangan nyawa.
Seekor gajah jantan dilanggar bas selepas melanggar pagar dan menyeberang jalan, lapor kajian itu.
Kajian itu juga menemui plastik yang mengancam nyawa dalam tahi gajah dan melaporkan bahawa orang ramai memberi gajah buah-buahan seperti mangga yang masih dibungkus dalam beg plastik.
Pakar memberi amaran bahawa bahaya lain termasuk kemungkinan penyakit berjangkit daripada manusia kepada haiwan dan kehilangan keupayaan si gajah mencari makanan secara bebas, pakar memberi amaran.
Dianggarkan sebanyak 800 hingga 1,200 gajah liar tinggal di taman nasional itu.
Sekurang-kurangnya 66 ekor gajah jantan telah diperhatikan meminta makanan.
Malah ada di antaranya, seperti yang bernama Rambo, sudah ibarat selebriti kerana kerap meminta makanan daripada pelancong.
Di Dataran Tinggi Sigur di selatan India, memberi makan kepada gajah juga menyebabkan masalah, menurut kajian itu.
Di sana, 11 ekor gajah secara tetap diberi makan buah-buahan dan tebu oleh pengendali kunjungan serta resort berhampiran bagi menarik pelancong.
Empat daripada haiwan ini telah mati akibat interaksi secara langsung dengan manusia.
Para penulis menyeru pihak berkuasa agar menguatkuasakan dengan ketat larangan memberi makan dan mempromosikan pelancongan bertanggungjawab.
Menurut Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), dianggarkan terdapat 41,000 hingga 52,000 gajah Asia liar di 13 negara pada 2018, kebanyakannya di Sri Lanka dan India.
Namun, bilangannya merosot.
Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) menyenaraikan gajah Asia (Elephas maximus) sebagai ‘terancam’. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg