Tekanan yang dialami wanita ketika hamil boleh menjejas bayi dalam kandungan dan menyebabkan bayi itu mengalami ekzema tidak lama selepas dilahirkan.

Ia terutamanya di bahagian kulit yang sering meregang atau bergesel.

Demikian dapatan kajian berjudul, ‘maternal stress triggers early-life eczema through fetal mast cell programming’ (tekanan ibu mencetuskan ekzema dalam kehidupan awal kanak-kanak melalui pemprograman sel mast janin) yang diterbitkan pada Ogos 2025.

Kajian itu adalah usaha gabungan beberapa doktor dan pengkaji termasuk daripada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dan Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) serta doktor luar negara.

Kajian itu, yang menerima sumbangan daripada Konsultan Kanan Perubatan Reproduktif KKH, Profesor Jerry Chan, telah diterbitkan dalam jurnal akademik berprestij, Nature.

Konsultan Kanan Perubatan Reproduktif Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), Profesor Jerry Chan.
Konsultan Kanan Perubatan Reproduktif Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), Profesor Jerry Chan. - Foto KKH

Menurut Profesor Chan, perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan ekzema, atau alahan awal kanak-kanak, dialami sekitar 20 peratus bayi yang baru lahir.

Perangkaan serupa dilihat dalam kajian yang dijalankan di Singapura.

Ekzema dialami sekitar 30 peratus dalam kalangan bayi berumur bawah setahun, manakala dalam kalangan kanak-kanak yang lebih besar, peratusannya adalah kira-kira 20 peratus.

Selain itu, terdapat peningkatan dalam bilangan kanak-kanak yang didiagnosis dengan dermatitis atopik sederhana hingga teruk, yang kini membentuk sekitar 20 hingga 30 peratus daripada pesakit ekzema yang menerima rawatan di Perkhidmatan Dermatologi KKH.

Dermatitis atopik adalah jenis ekzema yang paling biasa dialami dan menyebabkan kulit menjadi kering, gatal dan merah.

“Kami pernah berfikir terdapat kaitan genetik dan itu menjelaskan segala-galanya, tetapi data yang dikumpul pasukan saya dan pasukan lain menunjukkan mungkin ada cara ibu menyebarkan alahan kepada anak melalui mekanisme yang berbeza selain daripada sekadar genetik,” kata Profesor Chan dalam wawancara bersama Berita Harian (BH).

“Dalam sistem eksperimen, kami mendapati apabila tekanan diletakkan ke atas ibu, bayi yang baru lahir lebih berkemungkinan mendapat ekzema daripada rangsangan atau geseran yang sangat minimum,” tambahnya.

Tekanan ketika hamil (prenatal stress) merujuk kepada pendedahan berulang kepada keadaan menyinggung perasaan (aversive) semasa kehamilan termasuk tekanan emosi tinggi, yang disyaki menjejas sistem imun bayi.

Kajian pasukan Profesor Chan itu mendapati apabila seorang ibu mengalami tekanan emosi yang tinggi, paras glukokortikoid dalam badannya meningkat sebagai tindak balas terhadap tekanan tersebut.

Perubahan itu boleh mengganggu perkembangan sistem imun dan saraf kulit bayi yang sedang berkembang dalam kandungan.

Gangguan itu boleh menyebabkan bayi mengalami ekzema sejurus selepas dilahirkan, terutama pada bahagian kulit yang sering meregang atau bergesel.

“Hormon tekanan, yang dipanggil kortisol, diketahui boleh melintasi uri dan sampai kepada bayi.

“Dalam eksperimen kami, kami mendapati kortisol yang lebih tinggi itu bertindak pada sejenis sel imun di bawah kulit bayi. Ia memprogram semula sel itu dengan cara yang sangat ketara,” kata Profesor Chan.

“Apabila anda melihat sel itu, ia kelihatan normal.

“Tetapi apabila ia diaktifkan, ia bertindak balas secara berbeza. Ia menjadi hiperaktif.

“Jadi, sebagai contoh, jika kita menggaru diri kita berkali-kali, kita tidak akan mendapat reaksi berlebihan.

“Pada kanak-kanak yang terdedah kepada ekzema, iaitu hormon tekanan ibu mengaktifkan sel imun di bawah kulit bayi, ia menjadi hiperaktif,” kata Profesor Chan, yang juga pengarah Pusat Kajian KKH.

Terdahulu, Profesor Chan menyelia kajian. ‘Healthy Early Life Moments in Singapore’ (Helms) yang dimulakan KKH dan dibiayai Yayasan Lien.

Helms mengkaji kesihatan metabolik dan kesejahteraan psikologi wanita dengan tujuan meningkatkan hasil kesejahteraan dan kesihatan anak dan ibu.

Seramai 58 wanita yang menyertai kajian Helms menyumbang kepada kajian yang diterbitkan itu.

Profesor Chan berkata kajian mengenai ekzema itu berpotensi dipertimbangkan dalam pendekatan sebelum kelahiran (prenatal) untuk mencegah ekzema melalui diagnosis awal dan pengurusan keadaan yang menyebabkan tekanan kepada ibu semasa kehamilan.

Pada akhirnya, pendekatan itu mungkin dapat membantu mencegah berlakunya ekzema awal dalam kalangan bayi.