Kaki Jalan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat hantar bagasi pelancong kian dapat perhatian di Jepun

Mar 8, 2025 | 1:53 PM
Pelancong membawa bagasi mereka di lobi Lapangan Terbang Haneda di Tokyo.
Pelancong membawa bagasi mereka di lobi Lapangan Terbang Haneda di Tokyo. - Foto AFP

NAGOYA: Khidmat angkat bagasi yang membolehkan pengunjung asing di Jepun ke sana sini tanpa perlu mengangkut bagasi besar mereka sendiri semakin meluas.

Menerusi khidmat itu, bagasi didaftar masuk di stesen kereta api dan lapangan terbang sebelum dihantar ke penginapan atau destinasi mereka pada hari yang sama.

Bilangan pengunjung asing ke Jepun telah memecah rekod pada anggaran 36.87 juta pada 2024.

Kenaikan ini telah menyebabkan masalah seperti bagasi pelancong menghalang laluan di stesen kereta api atau di dalam kereta api.

Inisiatif khidmat bagasi itu juga antara langkah mengatasi kesan negatif pelancongan yang berlebihan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Jepun Tengah dan Nagoya Railroad telah menjalankan ujian bagi khidmat menyimpan bagasi pelancong yang menaiki penerbangan ke Hong Kong pada Januari.

Di satu lokasi berdekatan Stesen Meitetsu Nagoya, kakitangan menimbang beg dan memeriksa sama ada ia mengandungi barang berbahaya apabila penumpang yang menaiki penerbangan langsung ke Hong Kong dan penerbangan ke Hong Kong menerusi Taipei menyerahkan bagasi mereka di sana.

Bagasi diberi tag dan diletakkan di kereta api ekspres ke stesen Lapangan Terbang Antarabangsa Jepun Tengah.

Mereka yang menggunakan khidmat tersebut menerima bagasi mereka di lapangan terbang Taipei atau Hong Kong.

Tambang penghantaran ialah 3,000 yen ($27) bagi satu barang.

Pengguna berkata mereka menghargai khidmat tersebut dan berasa harganya wajar.

Semasa Festival Salji Sapporo pada Februari di Hokkaido, ujian serupa dijalankan di Noboribetsu bagi penumpang penerbangan domestik yang berangkat dari Lapangan Terbang New Chitose.

Pengunjung menikmati festival salji itu dan tarikan lain setelah meninggalkan bagasi mereka – 2,000 yen bagi satu barang – di satu lokasi di hadapan stesen JR Noboribetsu, stesen terdekat dengan resort Noboribetsu Onsen.

Bagasi itu dihantar ke destinasi seperti Tokyo dan Osaka, dan pelanggan menerima bagasi mereka di lapangan terbang.

Bagi kesemua kes, pengguna dapat memeriksa lokasi bagasi mereka menerusi satu aplikasi yang boleh didapati dalam bahasa Jepun, Inggeris dan Cina.

“Ia satu keperluan untuk mengasingkan orang dan bagasi bagi mengurangkan kesesakan dan meredakan trafik tempatan,” kata Encik Kazuo Mizuno, pengarah Perikatan Penyelidikan untuk Teknologi Lanjutan di Lapangan Terbang, yang menyertai ujian tersebut.

Pengendali laluan kereta api juga telah memulakan khidmat pengangkutan bagasi.

Pada Januari, Central Japan Railway melancarkan perkhidmatan untuk membawa bagasi pengunjung Jepun dari Tokyo ke hotel di Kyoto dan Osaka.

Perkhidmatan itu boleh digunakan tetamu yang menginap di hotel yang mempunyai kaitan dengan Mitsui Fudosan.

Bagasi itu disimpan dalam ruang perkhidmatan kereta api Kodama di laluan Tokaido Shinkansen.

Ramai penumpang Eropah dan Amerika Syarikat yang ulang alik antara Tokyo dengan Kyoto telah menggunakan khidmat tersebut, dan tempahan disambut baik, menurut syarikat itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg