Ruangan makanan Berita Harian (BH), Kaki Makan, membuat penampilan pertamanya di stesen radio Kiss92, yang berkongsi pilihan utama wartawan Cik Dahlia Zulkifli dari Bazar Ramadan Kampong Gelam.
Perkongsian yang disiarkan semasa The Rush Hour bersama deejay Glenn Ong dan Angelique Teo, menandakan permulaan kerjasama BH dengan Kiss92, jenama di bawah SPH Media.
Orang ramai boleh mendengar dan menonton Kaki Makan di Kiss92 secara langsung setiap Jumaat pada 8 pagi untuk cadangan makanan halal terkini di seluruh Singapura.
Rancangan ini juga boleh distrim di Facebook dan YouTube Kiss92, di mana penonton boleh menonton tayangan semula.
Pada siaran pertama, Cik Dahlia berkongsi kepada pendengar mengenai bazar Gemilang Kampong Gelam, yang berlangsung sehingga 25 Mac dan mempunyai pelbagai pilihan makanan.
Antara gerai menarik perhatian yang dikongsi semasa rancangan The Rush Hour ialah Golden Bao, yang terkenal dengan roti Shaobing tular dan mengambil inspirasi dari wilayah Sichuan.
Ia diisi dengan daging cincang, digoreng hingga keemasan dan digandingkan dengan minyak cili.
Satu lagi gerai ialah Meokja, yang menjual makanan Korea. Mereka yang hanya makan sayur-sayuran boleh menikmati hotteok iaitu pankek Korea dengan biji bijan dan gula perang, atau memesan roti bakar sayuran.
Dalam siaran akan datang, pendengar boleh menantikan Cik Dahlia menyarankan pelbagai makanan halal yang pernah dicuba Kaki Makan.
Dari pusat penjaja ke hidangan mewah, mereka bertiga akan menyorot landskap makanan halal yang berkembang di Singapura.
Dari semasa ke semasa, usahawan perniagaan makanan akan turut diundang untuk mengongsi kisah mereka.
Rancangan itu akan turut memaparkan pelbagai trend makanan terkini, serta kisah usahawan di sebalik perniagaan makanan.
Orang ramai boleh mengikuti wadah media sosial Kaki Makan iaitu @kakimakan.bh di Instagram dan TikTok, atau Telegram Kaki Makan Berita Harian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg