Mulai 7 Mac, wartawan Berita Harian yang juga penulis ruangan makanan, Kaki Makan, Cik Dahlia Zulkifli, akan tampil secara langsung di radio Kiss92 bersama deejay Glenn Ong dan Angelique Teo.
Segmen bersama Kaki Makan itu akan ditayangkan semasa rancangan, ‘The Big Show’, pada Jumaat dari 8 pagi.
Dalam acara itu, wartawan akan menyarankan pelbagai makanan halal yang pernah dicuba oleh Kaki Makan.
Dari pusat penjaja ke santapan bermutu tinggi, wartawan akan menyorot landskap makanan halal yang berkembang di Singapura.
Dari semasa ke semasa, usahawan perniagaan makanan akan turut diundang untuk mengongsi kisah mereka.
Rancangan itu akan turut memaparkan pelbagai trend makanan terkini, serta kisah usahawan di sebalik perniagaan makanan.
Selain mengikuti rancangan itu di radio, pendengar juga boleh menonton tayangannya secara langsung di Facebook dan YouTube Kiss92.
Ruangan makanan Berita Harian, Kaki Makan, ditubuhkan pada November 2023 sebagai platform untuk mendekatkan pembaca dan pengikut kepada dunia kulinari menerusi reviu makanan.
Kini, Kaki Makan semakin meluaskan jangkauannya dengan kehadiran di Instagram, TikTok, dan Telegram untuk memberikan perkembangan terkini tentang tempat makan yang dikunjungi oleh wartawan.
Dengan adanya platform media sosial ini, pengikut dapat membaca artikel dan melihat gambar yang diterbitkan setiap minggu.
Malah, mereka turut berkesempatan menonton video serta adegan di sebalik tabir ketika pasukan, Kaki Makan, menjelajah tempat makan baru.
Orang ramai boleh mengikuti platform ini melalui @kakimakan.bh di Instagram dan TikTok, atau Telegram Kaki Makan Berita Harian.
Kiss92 ialah salah sebuah stesen radio popular di Singapura yang memainkan lagu-lagu terkini dan membawakan kandungan gaya hidup yang relevan kepada pendengar dewasa.
‘The Big Show’ pula merupakan rancangan utama pagi di Kiss92, yang dikendalikan oleh deejay terkenal, Glenn Ong dan Angelique Teo.
Rancangan itu terkenal dengan perbincangan menarik tentang pelbagai topik, termasuk makanan, gaya hidup, dan isu semasa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg