KUALA LUMPUR: Pelakon Kamal Adli menolak tuduhan yang kononnya beliau pernah memukul isteri, Uqasha Senrose, sepanjang empat tahun perkahwinan mereka.
Malah, Kamal memaklumkan beliau berani bersumpah yang dakwaan itu sekadar tuduhan yang berniat untuk menjejaskan maruah dan reputasinya.
“Saya sudah dapat menganggak tuduhan ini akan ditimbulkan. Demi Allah, saya berani junjung Al-Quran dan bersumpah atas nama ibu ayah yang saya tak pernah pukul isteri, apatah lagi tumbuk, tarik rambut dia, sama sekali tidak. Saya sudah jangka yang permainannya begini.
“Kenapa sekarang dia timbulkan cerita ini? Tolong tunjuk bukti yang saya pernah pukul dia. Ini adalah fitnah,” katanya.
Kamal berkata demikian selepas sesi pendengaran laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini pagi 18 Disember, lapor Utusan Malaysia.
Pelakon berusia 39 tahun itu dalam masa yang sama mencabar isterinya membuktikan semua tuduhan yang dibuat terhadapnya termasuk dakwaan kononnya isterinya itu cedera kerana dipukul.
“Buktikan yang lebam pada tubuhnya itu angkara perbuatan saya. Saya berani junjung Al-Quran, menyatakan yang saya tidak pukul dia.
“Terpulang kepada dia mahu pusing cerita. Saya cabar dia, dapatkan pengesahan forensik, bagi kepastian yang lebam pada tubuhnya itu kerana dipukul atau disebabkan tahan memukul,” tegasnya.
Kamal dalam pada itu mengakui cukup terluka dengan fitnah dan cerita yang diada-adakan, apatah lagi dibuat oleh isterinya sendiri.
“Katanya sudah buat laporan polis, saya juga boleh ambil tindakan yang sama. Saya juga simpan bukti, video dan gambar pasal dia. Tapi saya tak pernah dedahkan.
“Apa yang dia lakukan terhadap saya sudah sampai tahap keterlaluan. Saya tersakiti. Tapi saya tetap dengan keputusan untuk pertahankan rumah tangga saya.
“Aib isteri saya simpan, demi Allah saya tak akan canang. Tapi dia, dari awal dulu, bermacam-macam, satu persatu cerita tidak benar dia buka.
“Pasal dia, saya tak cerita, dan tak akan cerita sebab dia masih isteri saya. Saya cuma bersabar apabila dia bercerita macam-macam tentang saya.
“Saya banyak pendam dan simpan perasaan apabila isteri sendiri memburukkan saya, saya masih boleh berdiam. Tapi hari ini saya perlu tegas sebab dia sudah memfitnah saya,” katanya.
Kamal, dalam prosiding mahkamah pagi tadi menolak untuk melafazkan cerai selepas dinasihatkan mahkamah untuk berbuat demikian.
Susulan itu mahkamah telah melanjutkan proses perceraian pasangan selebriti itu kepada prosiding hakam dengan lantikan (hakam) akan ditetapkan pada 12 Januari 2026.
Uqasha pada Oktober lepas memfailkan cerai terhadap Kamal atas alasan tiada persefahaman dan berlaku pergolakan rumah tangga.
Pasangan itu sah bergelar suami isteri pada 5 November 2021 dalam majlis yang diadakan di Janda Baik, Pahang.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Hawra Uqaira.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg