Topik diikuti
Pergi ke BHkuKanak-kanak alami sopak perlu sokongan psikologi selain rawatan
Kanak-kanak alami sopak perlu sokongan psikologi selain rawatan
Kanak-kanak alami sopak perlu sokongan psikologi selain rawatan
Penyakit sopak atau vitiligo boleh bermula pada mana-mana peringkat umur, namun didapati lebih kerap bermula semasa zaman kanak-kanak.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Konsultan Kanan dan Ketua Klinik Pigmentasi di Pusat Kulit Nasional (NSC), Profesor Adjung Steven Thng, berkata bagi kanak-kanak yang mengalami vitiligo, masalah yang rata-rata dialami adalah tekanan psikologi dan stigma sosial.
“Ramai pesakit mengalami masalah imej diri kerana vitiligo menjejas penampilan pesakit, lebih-lebih lagi jika ia menjejas muka mereka,” katanya.
Vitiligo ialah penyakit autoimun, dengan sistem imun badan menyerang sel pigmen kulit, menyebabkan kulit menjadi putih akibat kehilangan pigmen yang dikenali sebagai melanin.
Penyakit yang tidak boleh disembuhkan ini boleh diwarisi dalam keluarga, namun ia boleh melangkaui beberapa generasi.
Vitiligo boleh menjadi lebih teruk akibat tekanan, trauma atau kecederaan pada kulit. Ia tidak berjangkit.
Menurut satu kajian tempatan, muka dan leher merupakan bahagian paling kerap terjejas oleh vitiligo.
Vitiligo juga boleh menjejas mata dan telinga bahagian dalam, yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan atau pendengaran kerana organ ini turut mengandungi melanosit (sel dalam kulit yang menghasilkan melanin).
Penyelidik menganggarkan vitiligo menjejas kira-kira 1 peratus daripada penduduk dunia.
Antara individu terkenal yang menghidap vitiligo ialah penyanyi dan penggubah lagu Amerika Syarikat, Michael Jackson serta pelakon Bollywood, Amitabh Bachchan.
Di Singapura, sekitar 7 dalam 1,000 orang, atau 0.74 peratus, mengalami vitiligo.
Menurut laman web, Kumpulan Sokongan Vitiligo Singapura, sekitar separuh kes vitiligo dikenal pasti sebelum pesakit berumur 20 tahun.
Keadaan itu menjejas kanak-kanak dan orang dewasa dalam cara yang serupa, namun kesan emosi semasa dalam tahun-tahun pembentukan boleh menjadi lebih ketara.
“Kanak-kanak yang menghidap vitiligo mungkin berdepan dengan usikan, pertanyaan daripada rakan sebaya atau perasaan berbeza daripada orang lain, yang boleh menjejas keyakinan diri dan perkembangan sosial mereka,” tambah laman web itu.
Sokongan psikologi yang sesuai dengan usia, seiring rawatan perubatan, merupakan aspek penting dalam pengurusan vitiligo dalam kalangan kanak-kanak, tambahnya.
Buat masa ini, belum ada penawar bagi vitiligo, namun keadaan itu boleh diurus dengan berkesan.
Profesor Thng berkata NSC pada 2008 telah memperkenalkan cantuman sel untuk pesakit vitiligo dan sehingga kini kekal sebagai satu-satunya pusat di rantau ini yang menawarkan rawatan tersebut kepada pesakit tersebut.
“Cantuman sel mampu memulihkan pigmentasi pada lebih 90 peratus pesakit yang menghidap vitiligo yang terhad pada kawasan tertentu yang stabil,” katanya.
Selain itu, satu krim sapuan baru yang merupakan perencat Janus kinase (JAK) baru-baru ini telah diluluskan di Amerika bagi rawatan vitiligo, tambah Profesor Thng.
“NSC sedang menjalankan antara kajian dunia sebenar terbesar mengenai penggunaan ubat baharu ini untuk merawat vitiligo.
“Analisis sementara menunjukkan hasil yang baik, khususnya bagi rawatan vitiligo pada bahagian muka,” ujar beliau.
