Topik diikuti
Pergi ke BHkuKarya seni wadah pelukis selami perasaan
Pameran ART SG 2026 turut beri ruang pelukis eksperimen dengan bahan baru
Mudah sekali untuk sesat jalan di tengah kemeriahan lebih 100 galeri dari lebih 30 negara yang menampilkan pelbagai karya seni dalam edisi ART SG 2026 di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands dari 23 hingga 25 Januari.
Sejujurnya, penulis juga tersesat.
Dalam melangkah dari satu kubikel pameran ke satu lagi yang menempatkan galeri-galeri serantau dan yang terkemuka, sepasang mata yang segar seketika terasa suram, berat.
Seperti sesuatu yang pernah dirasai, malah mengenali secara intim, tatkala penulis berdepan dengan karya Faris Heizer, salah seorang dua seniman di Cuturi Gallery yang ditemui Berita Harian.
Bersama Aisha Rosli, kededua seniman itu menampilkan himpunan karya terbaru mereka di ART SG 2026, pameran seni antarabangsa terkemuka Asia Tenggara, yang baru sahaja melabuhkan tirainya bagi edisi keempat sempena Minggu Seni Singapura (SAW), yang berakhir pada 31 Januari.
âNampak seperti roh mereka telah meninggalkan jasad dan hanya bergentayangan, kan?â tanya penulis kepada Faris.
Beliau mengangguk dan menjawab:
âDalam satu sudut, ya, boleh dilihat sebegitu.
âDaripada apa yang saya ingat, tubuh saya ketika itu seakan bergerak secara autopilot.
âSaya hanya berdiri, mata dah hampir nak terlelap, sambil asyik menguap.â
Faris, 28 tahun, berkongsi tentang karya terbarunya berjudul âMorning Assembly, 2025â, sebuah lukisan yang menggambarkan pelajar-pelajar berseragam, berdiri, bersiap sedia untuk perhimpunan pagi.
Namun, di sebalik palitan berusnya yang lembut, serta pelajar-pelajar yang tampak gelisah, ada kalanya tidak berwajah, tersirat suatu perasaan letih dan lesu.
âKetika itu, kami mungkin terlalu muda untuk memahami perasaan remaja yang rumit seperti kegelisahan usia belasan tahun, rasa letih dan lesu.
âMaka saya memilih untuk kembali menyelami perasaan itu,â ujarnya.
Faris tertarik pada rutin dalam kehidupan seharian.
Malah, Faris sering menjadikannya tema dalam lukisan-lukisannya.
âPerkara halus seperti inilah yang jadikan kita sangat manusiawi dan rasa kemanusiaan itulah yang beri ilham untuk terus berkarya,â katanya.
Beliau mula melukis âMorning Assemblyâ sekitar November 2025.
Dalam tempoh yang sama, beliau turut menghasilkan dua karya lain, âNectar, 2025â dan âSharing The News, 2025â, yang turut dipamerkan semasa pameran seni tersebut.
Siri karya terkininya merupakan sebahagian daripada projeknya yang masih berlangsung; menelusuri pemikiran dan ekspresi rumit yang dialami seseorang ketika usia remaja.
âKarya ini khususnya, saya tak menggunakan sebarang rujukan, atau kala adapun, sangat minimum.
âSatu-satunya rujukan hanyalah kasut. Itu pun berdasarkan lakaran yang saya hasilkan daripada imaginasi sendiri.
âAda satu rasa yang memuaskan, kerana saya boleh melukis dengan lebih bebas, tanpa perlu terlalu terikat pada realisme,â katanya.
Faris mengakui proses menembusi suatu masalah sewaktu melukis juga melahirkan perasaan yang memuaskan kerana ia memberi kelegaan peribadi kepadanya sebagai seorang seniman.
Malah, ia turut merungkaikan keraguan yang bersarang dalam dirinya.
âBagi saya, apa yang menjadikan seorang pelukis itu pelukis, adalah pencarian solusi yang berterusan.
âAda kalanya karya itu tak menjadi, tapi kita tetap perlu terus berkarya,â jelasnya.
âBagi saya pula, apabila sesuatu masalah itu tak dapat diselesaikan berminggu-mingguan atau berbulan-bulan, kemudian ia diselesaikan hanya dengan satu sentuhan, saya rasa itulah saat yang sangat memuaskan,â kongsi Aisha, 29 tahun.
Mata penulis tertarik pada fabrik berwarna maroon dengan corak jeriji logam dalam karya terbarunya berjudul, âWhat Choice Do I Have?, 2025/2026â.
âSaya melukis jeriji itu ketika melihatnya di Kuala Lumpur, sewaktu berjalan-jalan di sana.
âProsesnya seakan teknik cut-up â seperti cara pemuzik mencari lirik atau bahan daripada pelbagai medium, seperti akhbar atau majalah.
Lalu, ia (karya tersebut) dibentuk imej atau idea yang bersifat surealis.
âIa masuk akal, namun pada masa yang sama tidak sepenuhnya.
âDari situlah datangnya ilham untuk menghasilkan karya fabrik ini,â katanya.
Karyanya merupakan salah satu daripada empat karya terbaru yang dipersembahkan di ART SG.
Ini kali pertama Aisha bereksperimen sepenuhnya dengan fabrik sebagai medium utama.
Dalam karyanya, fabrik dijahit dan digabungkan pada sebatang palang kayu, sebelum disapukan cat di atasnya.
Aisha sememangnya cenderung menelusuri ruang domestik dalam seninya.
Namun, menerusi karya itu, beliau mengangkat gagasan atau tema tersebut ke tahap yang lebih mendalam.
Idea tentang ârumahâ â yang ditransformasikan sebagai kubu atau khemah kecil, dibina daripada selimut yang disangkutkan pada kerusi sewaktu kanak-kanak â dirasakan Aisha bukanlah satu tempat perlindungan atau sanctuary yang dicarinya.
âIa tempat yang tak diselindung,â kata Aisha.
Bahagian hadapan karya itu diselubungi pelbagai fabrik bercorak yang dijahit menjadi satu, lengkap dengan imej seorang wanita yang dilukis.
Namun, bahagian belakangnya didapati berongga.
Terselindung di sebalik keindahan fabrik dan lukisan di hadapan.
âBanyak perkara yang perlu dipertimbangkan. (Daripada hasilnya), saya masih mahu ia kelihatan seperti lukisan yang mengandungi unsur painterly, iaitu hasil lukisan yang masih dapat melihat sapuan berus, malah raw (berada dalam keadaan semula jadi).
âApabila menghasilkan karya baru, kita sendiri tak tahu apa yang patut dirasa.
âNamun cabarannya juga berbeza.
âBekerja dengan fabrik tidak sama seperti melukis. Jika melukis, kita boleh membetulkan dengan menindih lapisan cat.
âTetapi fabrik tidak semudah itu,â ujar Aisha.
Bagi dua seniman berjaket denim itu, perasaan sayu menyelubungi mereka sewaktu acara pameran berakhir.
Walaupun dimamah pilu, tersirat debaran yang aneh. Malah mengujakan, tentang apa yang bakal menyusul, bagi dua seniman berjaket denim itu.
