Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan NAC tingkat fahaman penglibatan seni penduduk S’pura

Jan 16, 2026 | 6:44 PM
NAC, pelanggan seni, arts consumer, singapore
Kajian Majlis Seni Kebangsaan (NAC) mengklasifikasikan warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) kepada 12 jenis pelanggan seni berdasarkan tahap minat dan penglibatan mereka dalam kegiatan seni dan budaya. - Foto ST

Kajian Majlis Seni Kebangsaan (NAC) mengklasifikasikan warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) kepada 12 jenis pelanggan seni berdasarkan tahap minat dan penglibatan mereka dalam kegiatan seni dan budaya.

Kajian itu menunjukkan bahawa 1.3 peratus daripada pelanggan seni tergolong dalam kategori peminat arif menilai atau ‘discerning connoisseurs’, iaitu golongan yang menilai seni dengan pengetahuan mendalam dan ketelitian tinggi; manakala 13 peratus dikategorikan sebagai warga emas pragmatik atau ‘pragmatic silvers’, iaitu warga emas yang memilih untuk menyertai acara seni berdasar faktor praktikal seperti keselesaan dan manfaat yang diperoleh.

Selain itu, tinjauan itu turut mengenal pasti golongan seperti pencari budaya atau ‘culture seekers’ yang sentiasa gigih mencari pengalaman seni (1.9 peratus); peneroka muda atau ‘young explorers’, iaitu golongan muda yang gemar meneroka kegiatan seni (3.8 peratus); serta peminat sekali-sekala atau ‘occasional fans’, iaitu mereka yang hanya sekali-sekala berminat dengan kegiatan seni (16.2 peratus).

Laporan menawarkan data terperinci tentang lokasi tumpuan setiap kumpulan, minat kecenderungan seni, tabiat media sosial, serta pemangkin dan penghalang penyertaan acara.

Tujuannya adalah bagi membantu sektor seni memahami dan mendekati orang ramai dengan lebih berkesan.

Ia turut mencabar pandangan mudah sama ada seseorang itu berminat atau tidak terhadap seni dan budaya.

Laporan setebal 235 halaman, bertajuk, Audience Development Playbook, atau panduan pembangunan penonton, disusun hasil perbincangan dengan 120 individu daripada masyarakat seni serta tinjauan melibatkan lebih 3,000 individu.

Saiz sampel itu mewakili penduduk warga Singapura dan PR.

Secara keseluruhan, 21 peratus adalah peminat tegar yang kerap hadiri acara berkaitan seni; 26 peratus bersikap neutral atau kurang minat; manakala 53 peratus tidak aktif dan jarang terlibat.

Penemuan menarik menunjukkan kegiatan seni paling diminati ialah menonton pementasan muzikal dan melawat kawasan bersejarah, kedua-duanya mendapat 3.9 daripada 5 markah, diikuti pameran seni dengan 3.8.

Minat terhadap acara buku dan muzik popular kekal tinggi pada 3.7, mengatasi pementasan bukan muzikal yang mencatat 3.5 markah.

Seperti dijangka, kesediaan untuk hadiri acara berkaitan seni berkurang dengan setiap kenaikan harga tiket sebanyak $5.

Namun, bagi dua kumpulan paling berminat, ‘discerning connoisseurs’ dan ‘culture seekers’, kadar kehadiran sebenarnya meningkat apabila harga dinaikkan daripada percuma kepada $5 atau $10, sebelum merosot apabila melebihi $20.

Ini dikaitkan dengan kemampuan kewangan serta kecenderungan mengaitkan harga dengan mutu.

NAC menyatakan, hasil kajian itu membolehkan kumpulan seni menyesuaikan strategi dari segi harga, masa, lokasi acara, kandungan, pemasaran dan penglibatan masyarakat, tanpa perlu sentiasa mengejar tarikan umum.

Malah, peningkatan 1 peratus dalam capaian penonton bersamaan dengan tambahan kira-kira 42,000 orang.

Laporan itu adalah salah satu daripada tiga daya usaha NAC untuk meningkatkan penglibatan tempatan dalam seni, bersama Pas Budaya SG dan Catch.sg.

Menurut laporan itu, kurangnya kesedaran, kekangan sosial dan tanggungjawab keluarga merupakan halangan utama penyertaan acara seni.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg