Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Karyawan teater teruskan legasi sebagai pengarah baru pesta seni

Feb 5, 2025 | 7:55 PM
Karyawan teater, Encik Chong Tze Chien, berbesar hati dapat menggalas amanah baru sebagai Pengarah Festival Seni Antarabangsa Singapura (Sifa), bagi meneruskan legasi persembahan seni bermutu buat penonton tempatan dan antarabangsa.
Karyawan teater, Encik Chong Tze Chien, berbesar hati dapat menggalas amanah baru sebagai Pengarah Festival Seni Antarabangsa Singapura (Sifa), bagi meneruskan legasi persembahan seni bermutu buat penonton tempatan dan antarabangsa. - Foto TUCKYS PHOTOGRAPHY

Penulis naskhah pentas, pengarah dan pendidik seni, Encik Chong Tze Chien, yang dikenali kerana mencorak persada teater Singapura menjadi yang lebih dinamis, bakal diamanahkan dengan tugas baru selaku Pengarah Festival Seni Antarabangsa Singapura (Sifa).

Encik Chong, 51 tahun, yang merupakan anggota utama kumpulan teater, The Finger Players, telah menerajui pelbagai penerbitan berbilang disiplin seperti Turn By Turn We Turn dan Between the Devil and the Deep Blue Sea.

Beliau mengambil alih tugas yang digalas pengarah teater, Cik Natalie Hennedige, 51 tahun, yang menamatkan tempoh tugasnya selama empat tahun bersama Sifa.

Sifa adalah pesta seni pementasan tahunan, anjuran Arts House Limited (AHL), yang ditugaskan Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

Edisi ke-48 akan berlangsung antara 16 Mei dengan 1 Jun 2025.

Encik Chong pula akan menjadi Pengarah Sifa antara 2026 dengan 2028.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, beliau mengusahakan banyak kerja seni bagi penonton dari pelbagai latar belakang dan generasi termasuk kanak-kanak dan masyarakat lain dalam usaha membawa seni ke mana-mana pelosok negara di samping memastikan orang ramai di Singapura dapat mengaitkan diri mereka dengan seni.

Dalam satu kenyataan Sifa pada 5 Februari, pihak penganjur menjelaskan Encik Chong dipilih kerana pemahaman mendalamnya tentang misi dan visi Sifa untuk memperluas kesannya pada penonton.

Beliau dilantik bagi tiga edisi Sifa dengan komitmen pesta ini bagi mengetengahkan kerja seni tempatan dan antarabangsa di samping menampilkan suara penggiat seni yang lebih ketara.

Pengarah Eksekutif AHL, Cik Sharon Tan, pula menambah:

“Bagi setiap langkah perjalanan festival ini, Sifa menampakkan perkembangan yang mengalakkan di bawah visi setiap Pengarah Festival, yang sumbangannya terus mengembangkan kemungkinan wujudnya dialog kritikal tentang seni pementasan.

“Kami melahirkan penghargaan mendalam kepada Cik Natalie Hennedige atas kepimpinannya yang luar biasa selama empat tahun menggalas amanahnya, lantas mempertingkat festival ini ke tahap lebih tinggi.

“Sedang Encik Chong membuat persiapan mengambil alih tugas ini, kami mengalu-alukan babak baru yang dapat mencetus inspirasi pada pertukaran budaya, menjalin hubungan bermakna dan terus memperkukuh kewujudan Singapura di pentas antarabangsa.”

Encik Chong pula berbesar hati dilantik sebagai Pengarah Festival Sifa dan berterima kasih kepada Cik Hennedige kerana mengendalikan pesta itu dengan jaya selama empat tahun.

“Aspirasi saya adalah bagi meneruskan legasi dan menyuntik semangat baru lagi bersemarak pada festival ini dan mencetus kejutan, bagi memastikan reputasinya sebagai acara yang dihargai kededua penonton tempatan dan antarabangsa akan berterusan,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg