Kasut lari terbaik 2026
Pakar kongsi panduan pilih kasut lari tepat untuk keselesaan, sokongan dan prestasi
Mencari kasut larian terbaik semakin mencabar, khususnya dengan banyak model di pasaran yang menjanjikan kelajuan, keselesaan dan pencegahan kecederaan.
Kegiatan larian semakin popular di Singapura dalam beberapa tahun kebelakangan ini, didorong oleh perubahan gaya hidup pascapandemik serta peningkatan acara larian dan maraton.
Dengan lebih ramai orang berjinak-jinak dalam sukan itu, minat terhadap peralatan dan kesannya terhadap prestasi turut meningkat.
Meskipun gaya diri dan cara larian adalah kunci untuk berlari dengan selesa di samping mengurangkan risiko kecederaan, kasut juga memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya.
Sepasang kasut yang sesuai bukan sekadar selesa dipakai.
Ia perlu melindungi kaki daripada hentakan berulang, menyokong langkah larian dan disesuaikan dengan jenis larian yang dilakukan.
Tumpuan terhadap model berjenama berprestasi tinggi menimbulkan persoalan sama ada kasut popular sedemikian benar-benar memenuhi jangkaan, khususnya bagi mereka yang menjadikan larian sebagai kegiatan harian.
Bagi mendapatkan penjelasan, majalah Her World menemu bual Ketua Podiatri di UFIT Club Street, Encik Lewis Nurney.
Beliau menjelaskan perkara yang perlu diberi keutamaan oleh pelari ketika memilih kasut.
Beliau turut menilai beberapa model kasut yang menjadi tumpuan dalam pasaran hari ini.
Encik Lewis mendedahkan perangkaan yang menarik perhatian.
Menurut beliau, sekitar 80 peratus pesakit yang ditemuinya memakai saiz kasut yang tidak sesuai.
Ini menjadi peringatan bahawa sebelum mengejar trend atau teknologi terkini, asas yang betul perlu diutamakan.
Ketika pilih kasut larian
Berlari dengan kasut tidak sesuai boleh meningkatkan ketidakselesaan dan risiko kecederaan.
Selain memilih kasut dengan kepanjangan dan kelebaran yang tepat, Encik Lewis menekankan kepentingan menyesuaikan kasut dengan tujuan penggunaannya.
“Terdapat kasut untuk larian santai, berjalan, mendaki, atau bermain tenis.
“Pilih kasut yang direka khusus untuk kegiatan anda. Apabila kasut yang sesuai dan selesa dipakai, anda sudah (berada) selangkah ke depan,” kata beliau.
Kasut dengan kusyen maksimum
Kasut dengan kusyen maksimum sering menjadi perbincangan kerana dikhuatiri menjejas kestabilan.
Namun, Encik Lewis melihat ia tetap berguna untuk latihan larian.
“Dalam larian dan sukan, secara umumnya, menempuh jarak yang lebih jauh tanpa kecederaan biasanya boleh meningkatkan prestasi.
“Kasut dengan kusyen maksimum dikatakan membolehkan jarak lebih jauh dicapai tanpa rasa terlalu letih atau sakit. Jadi, ia berpotensi menjadi sangat berguna,” jelas beliau.
Berapa kerap perlu tukar kasut larian?
Sebagai panduan umum, Encik Lewis menyarankan agar kasut larian diganti selepas menempuh sekitar 400 hingga 500 kilometer.
Memandangkan ramai pelari tidak menjejak jarak itu, penggunaan selama sekitar setahun boleh dijadikan penanda praktikal.
Keadaan panas dan lembap di Singapura juga boleh membuat kasut lebih cepat lusuh. Ini bermakna, kasut mungkin rosak lebih cepat daripada dijangka.
Antara petanda yang menunjukkan telah tiba masa untuk menukar kasut lain adalah, kasut menunjukkan kesan penggunaan yang ketara, kusyen atau sokongan di tapak kasut menipis dan kesan penggunaan tidak sekata pada tapak kasut.
Jika anda masih keliru untuk memilih kasut terbaik, berikut kami senaraikan beberapa model yang telah dinilai oleh Encik Lewis.
‘On Cloudsurfer 2’
Penilaian: 7/10
“Sepasang kasut yang hebat dan sangat bergaya. Apa yang boleh saya katakan ialah ia bukan yang paling stabil.
“Apabila kita ada pesakit di klinik yang memakai On Clouds, mereka nampak bergaya, namun kasut ini agak lembut dan kelembutan itu yang membuat ia selesa – jadi ia memang sesuai sebagai kasut berjalan.
“Namun, jika anda mempunyai kaki yang sangat melengkung atau kaki rata, kasut ini mungkin terlalu lembut dan akhirnya menimbulkan masalah lain.”
‘New Balance 1080v15’
Penilaian: 8/10
“Kasut klasik yang berada di pasaran selama beberapa tahun.
“Ia sangat selamat, luas dan selesa. Ia bukan yang terpantas, namun sangat bagus jika anda melakukan kegiatan larian harian dan jarak panjang.”
‘HOKA Bondi 9’
Penilaian: 10/10
“Kasut yang bagus, luas, selesa dengan kusyen maksimum dan sangat stabil.
“Ini antara pilihan kegemaran kami bagi pelari dengan berat badan lebih besar atau mereka yang mengalami masalah bunion atau sakit pada ibu jari.”
Justeru, walaupun terdapat pelbagai kasut larian bergaya di pasaran, memilih kasut yang sesuai diutamakan untuk keselesaan, sokongan dan perlindungan kaki.
“
“Dalam larian dan sukan, secara umumnya, menempuh jarak yang lebih jauh tanpa kecederaan biasanya boleh meningkatkan prestasi. Kasut dengan kusyen maksimum dikatakan membolehkan jarak lebih jauh dicapai tanpa rasa terlalu letih atau sakit. Jadi, ia berpotensi menjadi sangat berguna.”
