Kebakaran di Desaru merebak ke ladang milik warga S’pura 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran di Desaru merebak ke ladang milik warga S’pura 

Feb 5, 2026 | 7:01 PM

Kebakaran di Desaru merebak ke ladang milik warga S’pura 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kebakaran, Desaru, Aliyah Rizq Farm 
Asap menyelubungi beberapa kawasan Aliyah Rizq Farm pada 5 Februari. - Foto BH oleh KHALID BABA

Satu kebakaran hutan melanda kawasan Desaru di Johor telah menjejas sebuah ladang milik warga Singapura, Aliyah Rizq Farm, pada 5 Februari.

Kejadian tersebut, yang berlaku di kawasan kira-kira satu setengah jam perjalanan memandu dari Singapura, mendesak pihak pengurusan menghentikan operasi buat sementara dan menutup ladang itu kepada pengunjung hingga Ahad (8 Februari).

Ketika Berita Harian (BH) tiba di ladang berkenaan pada 11.30 pagi, asap tebal dilihat menyelubungi beberapa bahagian kawasan ladang.

Beberapa kawasan hutan berhampiran turut diliputi abu dek ranting dan daun kering yang dilanda kebakaran, dengan asap masih dilihat keluar dari permukaan tanah.

Para pekerja ladang dilihat berkumpul di kawasan selamat yang terletak jauh dari lokasi kebakaran.

Menurut tinjauan BH, api yang merebak di kawasan itu tidak bermula dari Aliyah Rizq Farm, malah dari ladang bersebelahan.

Kakitangan pelancongan Aliyah Rizq Farm, Cik Normalisa Abdullah, berkata mereka mula menghidu dan melihat asap sekitar 10.30 pagi.

Api menjilat kawasan hutan di Desaru, Johor.
Api menjilat kawasan hutan di Desaru, Johor. - Foto BH oleh KHALID BABA
Api menjilat kawasan hutan di Desaru, Johor.
Api menjilat kawasan hutan di Desaru, Johor. - Foto BH oleh KHALID BABA

“Saya menerima mesej memaklumkan terdapat kebakaran di kawasan berdekatan. Saya tidak menyangka ia berlaku sedekat ini. Api semakin lama semakin merebak,” katanya.

Beliau menambah bahawa sementara menunggu ketibaan pasukan bomba, sebahagian kakitangan ladang berusaha memadamkan api.

Aliyah Rizq Farm yang berkeluasan 200 ekar menempatkan kira-kira 3,000 ekor ternakan termasuk kambing, lembu, unta dan kuda.

Ladang itu juga menawarkan program pemilikan kambing atau ‘OwnerSheep’, dengan kira-kira 70 peratus pemilik terdiri daripada warga Singapura.

Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan Aliyah Rizq Farm, Encik Haniff Umar, kejadian itu merupakan yang pertama berlaku sejak ladang tersebut beroperasi.

Beliau berkata pihak bomba memaklumkan bahawa kebakaran terakhir di kawasan berkenaan berlaku pada 2016.

“Sempadan kebakaran berjaya dikawal. Semua haiwan ternakan dan struktur binaan berada dalam keadaan selamat. Kepada para pelabur dan pemilik, jangan bimbang kerana kami akan terus memantau (keadaan ternakan),” katanya.

Sejak kebelakangan ini, beberapa kawasan di Johor dilanda kebakaran susulan keadaan cuaca yang panas dan kering.

Sebelum ini, dilaporkan juga bahawa sebanyak 71 kes kebakaran hutan dan tanah gambut direkodkan di 10 daerah di Johor pada 26 Januari.

Antaranya termasuk kebakaran hutan di Punggai, daerah Pengerang, serta satu lokasi kebakaran pada tahap teruk di subdaerah pesisir Sedili Kechil, Kota Tinggi.

Sedili Kechil terletak kira-kira sejam perjalanan dari Desaru.

Turut dilaporkan sebelum ini bahawa kebakaran yang berlaku di Johor telah menyebabkan jerebu yang menjejas mutu udara di beberapa bahagian Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg