Johor tangani kebakaran gambut secara bersepadu ketika cuaca panas berpanjangan
Johor tangani kebakaran gambut secara bersepadu ketika cuaca panas berpanjangan
Lebih 300 anggota dikerah, pembenihan awan dipertimbang sebagai langkah sokongan
Kerajaan Johor memandang serius kejadian kebakaran tanah gambut yang berlaku di beberapa lokasi di negeri itu susulan cuaca panas dan kering berpanjangan tanpa hujan melebihi 25 hari, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata setakat ini tiga kawasan utama dikenal pasti terjejas, iaitu Bakri Batu 13 dan 14 di Muar, Bio-Desaru di Tanjung Balau, serta Sungai Linau di Simpang Renggam.
Menurutnya, kesemua lokasi berkenaan berada dalam keadaan terkawal namun belum dipadam sepenuhnya, dengan operasi pemadaman dilaksanakan 24 jam tanpa henti.
“Lebih 300 anggota pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi berkaitan digerakkan secara bersepadu bagi mengawal keadaan,” katanya dalam satu kenyataan pada 4 Februari.
Beliau berkata bagi memperkemas penyelarasan operasi di peringkat negeri, beliau telah mengarahkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor untuk mempengerusikan Mesyuarat Taskforce Khas Kebakaran Negeri Johor bersama Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan bertujuan menyelaras tindakan semua agensi terlibat, memperkemas keperluan logistik, mempercepat pengerahan aset serta memastikan pemantauan operasi berjalan secara bersepadu dan berterusan sehingga situasi pulih sepenuhnya.
Bagi meningkatkan keberkesanan pemadaman, katanya, Kerajaan Johor telah mengarahkan pelaksanaan kaedah total flooding, pembinaan firebreak serta penggunaan pam bertekanan tinggi secara agresif bagi mengelakkan api bawah tanah daripada terus merebak.
Bekalan air tambahan turut digerakkan segera, termasuk pengepaman berterusan daripada sumber berhampiran ke sistem perparitan ladang dan tangki simpanan.
“Sistem pam perparitan diaktifkan sepenuhnya bagi mengurangkan kebergantungan kepada penghantaran air secara ulang-alik, manakala pembinaan firebreak dipercepatkan sebagai benteng kawalan. Semua kos operasi pemadaman ditanggung sepenuhnya oleh Tabung Bencana Negeri Johor,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Kerajaan Johor telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi pelaksanaan operasi pembenihan awan sebagai langkah tambahan meningkatkan kelembapan di kawasan terjejas serta menyokong usaha pemadaman kebakaran yang sedang dijalankan.
Menurut beliau, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terlibat setakat ini masih berada pada tahap terkawal, namun pemantauan kesihatan awam terus dipertingkatkan.
Penduduk dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar sekiranya terdapat asap tebal serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami masalah pernafasan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa bekalan air negeri kekal mencukupi walaupun cuaca panas dan kering berpanjangan, dengan paras takungan empangan dan kolam tadahan utama masih berada pada tahap selamat untuk kegunaan domestik dan keperluan harian.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka ketika cuaca kering berterusan, dengan tindakan tegas boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang alam sekitar terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan kebakaran.
“Sekiranya ternampak asap, aktiviti pembakaran atau tanda awal kebakaran, orang ramai diminta segera melaporkan kepada Bomba atau pihak berkuasa tempatan,” katanya.

