Satu-satunya gerai ‘pop-up’ Nintendo di luar Jepun kembali ke Jewel di Lapangan Terbang Changi dari 25 April hingga 24 Julai.
Kedai di tingkat empat itu menjual lebih 500 barangan, termasuk sekitar 150 barangan eksklusif daripada jenama permainan video Nintendo seperti Super Mario, Animal Crossing, Zelda, Splatoon dan Pikmin.
Ini kali kedua kedai itu beroperasi di Jewel. Kali pertama adalah selama sebulan setengah semasa musim cuti akhir tahun pada 2023.
Sementara itu, pemasangan bertema Mario Kart turut membuat kemunculan pertamanya di Asia Tenggara di Jewel.
Jika keluarga anda sukakan permainan video, Mario Kart, kunjungi Forest Valley di tingkat satu untuk melihat pemasangan Rainbow Road, padang lumba yang popular dalam permainan itu.
Pengunjung akan disambut dengan pemasangan sebesar lima meter kali empat meter yang menampilkan lampu bergerak dan watak yang digemari iaitu Mario, Luigi dan Princess Peach, serta anggota lumba kart yang lain.
Sementara itu, runut bunyi ikonik daripada permainan itu dimainkan di latar belakang, meningkatkan lagi pengalaman pengunjung.
Ketahui lebih lanjut di str.sg/bjq3
Raikan hari lahir dengan hadiah unik iaitu buku bergambar yang diperibadikan.
Ia memaparkan kanak-kanak yang menyambut ulang tahunnya bersama watak tersayang daripada siri buku tempatan, Timmy & Tammy, sesuai bagi kanak-kanak berumur antara tiga dengan lapan tahun.
Mereka akan meneroka tempat menarik bersama termasuk mendaki Bukit Timah dan bermain di taman permainan naga ikonik di Toa Payoh.
Kanak-kanak yang menyambut hari lahir mereka akan berasa gembira melihat nama mereka di muka depan buku, contohnya, “Selamat Hari Lahir, Nolan!”, dan dalam jalan cerita tersebut.
Anda juga boleh menambah umur kanak-kanak itu, sertakan mesej untuknya dan menyesuaikan warna kulit wataknya dalam buku.
Buku itu merupakan kerjasama antara pengarang siri, Timmy & Tammy, Ruth Wan-Lau, dan pelukis, Eliz Ong, serta PicoLibo, syarikat Singapura yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan untuk menyesuaikan kandungan.
Happy Birthday with Timmy & Tammy berharga $29 untuk versi kulit lembut dan $49 untuk buku kulit keras. Untuk memesan buku itu, lungsuri laman web, happybirthday.picolibo.com.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg