Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kegiatan cuti sekolah untuk kanak-kanak, keluarga

Ikut serta kegiatan menarik ini untuk seisi keluarga
May 29, 2025 | 5:30 AM
DNA, Dunia Anak, kegiatan, cuti sekolah, kanak-kanak, keluarga, Monstrous Fun!
Pelbagai kegiatan percuma dan bertiket menanti keluarga di acara ‘Monstrous Fun!’ yang kembali bagi edisi keempatnya cuti sekolah ini. Acara ini berlangsung dari 30 Mei hingga 1 Jun. - Foto ARTS HOUSE LIMITED

Cuti sekolah akan bermula pada 31 Mei dan inilah masanya untuk kanak-kanak, dan ibu bapa, berehat setelah berusaha gigih sepanjang separuh pertama 2025.

Pelbagai kegiatan boleh dilakukan bersama dalam tempoh cuti sekolah sebulan ini namun jika ibu bapa kekurangan idea, Dunia Anak (DNA) mempunyai beberapa saranan.

Berikut senarai kegiatan berbayar dan percuma untuk dinikmati seisi keluarga.

Selami cabaran, pengalaman pendatang awal dari India

Kanak-kanak yang mengikuti persembahan teater ‘For a Better Future’ berpeluang ‘menjadi’ pendatang awal dan mengalami makanan, budaya, kesusahan, ikatan dan keseronokan yang mereka perlu lalui pada zaman ketiadaan Internet dan telefon bimbit. 
Kanak-kanak yang mengikuti persembahan teater ‘For a Better Future’ berpeluang ‘menjadi’ pendatang awal dan mengalami makanan, budaya, kesusahan, ikatan dan keseronokan yang mereka perlu lalui pada zaman ketiadaan Internet dan telefon bimbit.  - Foto PUSAT WARISAN INDIA

Hingga pertengahan abad ke-20, ramai pendatang menuju ke Singapura dari India, menaiki kapal besar dalam perjalanan berhari-hari yang membuat mereka mabuk laut.

Dalam satu perjalanan sedemikian, persahabatan terjalin antara seorang penjual rempah, ahli nujum dan pemain ular, atau snake charmer.

Tiga sekawan itu saling memberi semangat untuk mencari masa depan lebih cerah di Singapura.

Adakah persahabatan mereka dapat bertahan di kala susah? Adakah keputusan meninggalkan India dan datang ke Singapura sesuatu yang baik? Adakah mereka mengalami rasa kekitaan dalam masyarakat Singapura (belonged)?

Ikuti persembahan teater For a Better Future yang interaktif, lucu dan berbilang deria, dengan peluang ‘menjadi’ pendatang awal dan alami makanan, budaya, kesusahan, ikatan dan keseronokan yang mereka perlu lalui pada zaman ketiadaan Internet dan telefon bimbit.

Semasa persembahan itu, peserta akan diberi peluang memainkan watak seperti peniaga tekstil dan tukang emas.

Terdapat juga kegiatan sebelum pertunjukan untuk cuba membuat kalungan bunga dan seni inai. Persembahan ini disarankan untuk kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun.

Harga: $25 untuk setiap kanak-kanak, setiap orang dewasa; $80 untuk dua kanak-kanak dan dua orang dewasa

Tarikh: 31 Mei dan 1 Jun

Lokasi: Pusat Warisan India

Bangunkan masa depan lebih cerah

Peserta program percuma ‘Build the Change’ diajak berangan-angan besar sedang mereka menghasilkan reka bentuk dan membangunkan visi mereka bagi Playful Cities.
Peserta program percuma ‘Build the Change’ diajak berangan-angan besar sedang mereka menghasilkan reka bentuk dan membangunkan visi mereka bagi Playful Cities. - Foto MUZIUM KANAK-KANAK SINGAPURA

Build the Change menggalak kanak-kanak menonjolkan kreativiti dan suara mereka sedang mereka membina masa depan yang lebih cerah melalui permainan.

Dalam sesi khas ini, kanak-kanak diajak berangan-angan besar sedang mereka menghasilkan reka bentuk dan membangunkan visi mereka bagi Playful Cities – masyarakat yang penuh dengan kreativiti, keseronokan dan imaginasi.

Kegiatan percuma ini dianjurkan oleh Muzium Kanak-Kanak Singapura dengan kerjasama The LEGO Group dan diadakan sempena Hari Permainan Antarabangsa.

Program ini disarankan untuk kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun.

Harga: Masuk percuma
Tarikh: 11 Jun dan 18 Jun
Lokasi: Muzium Kanak-Kanak Singapura

Berseronok di Pesta Pantai Bluey

Dari 30 Mei hingga 29 Jun, Pesta Pantai Bluey menawarkan pelbagai kegiatan menarik untuk menjadikan musim cuti ini lebih istimewa untuk kanak-kanak.
Dari 30 Mei hingga 29 Jun, Pesta Pantai Bluey menawarkan pelbagai kegiatan menarik untuk menjadikan musim cuti ini lebih istimewa untuk kanak-kanak. - Foto NEX

Kanak-kanak yang meminati watak Bluey pasti tidak sabar untuk bermain di istana ambul (bouncy castle) bertema Bluey yang pertama dan terbesar di Singpaura dari 2 hingga 15 Jun.

Sebanyak 150 Pas Permainan Bluey selama 30 minit boleh didapatkan dengan pembelian $50 dalam satu transaksi di pusat beli-belah NEX setiap hari.

Kanak-kanak juga boleh mengikuti bengkel yang diilhamkan Bluey seperti Bengkel Loceng Angin pada 7 dan 8 Jun, dan Bengkel Gendang Piring Kertas pada 14 dan 15 Jun.

Setiap penyertaan memerlukan perbelanjaan sekurang-kurangnya $50 dalam satu transaksi di NEX.

Harga: Pembelian sekurang-kurangnya $50 dalam satu transaksi

Tarikh: 2 hingga 15 Jun (istana ambul), 7 dan 8 Jun (bengkel loceng angin), 14 dan 15 Jun (bengkel gendang piring kertas)

Lokasi: NEX Atrium

Sertai perbarisan raksasa, hasil karya muzik

Keluarga yang menyertai ‘Monster Parade’ digalakkan memakai pakaian dan aksesori bertema raksasa yang mereka hasilkan dalam pelbagai kegiatan di acara ‘Monstrous Fun!’.
Keluarga yang menyertai ‘Monster Parade’ digalakkan memakai pakaian dan aksesori bertema raksasa yang mereka hasilkan dalam pelbagai kegiatan di acara ‘Monstrous Fun!’. - Foto ARTS HOUSE LIMITED

Pelbagai kegiatan percuma dan bertiket menanti keluarga di acara Monstrous Fun! yang kembali bagi edisi keempatnya cuti sekolah ini.

Berlangsung dari 30 Mei hingga 1 Jun, keluarga boleh menjangkakan tiga hari penuh permainan, kreativiti dan pengembaraan di The Arts House menerusi kegiatan yang sesuai untuk kanak-kanak berumur lima tahun dan ke atas.

Antara lain, keluarga berpeluang menyertai perarakan Monster Parade pertama di Singapura yang akan diadakan di Daerah Sivik.

Peserta digalakkan memakai pakaian dan aksesori bertema raksasa yang mereka hasilkan dalam pelbagai kegiatan di acara itu.

Kegiatan Monster Hunt yang digemari ramai juga kembali dengan satu kelainan.

Kegiatan yang dirancang bersama pelajar kreatif dari Sekolah Seni Singapura (SOTA) itu akan memperkenalkan peserta kepada pelbagai sudut dan celah The Arts House dalam usaha mencari harta karun.

Harga: Percuma dan berbayar

Tarikh: 30 Mei hingga 1 Jun

Lokasi: The Arts House

Nikmati persembahan piano dan orkestra simfoni

Penonton konsert ‘Lang Lang Plays Disney’ boleh menjangkakan persembahan lagu-lagu klasik Disney seperti Let It Go, We Don’t Talk About Bruno, You’ll Be in My Heart dan When You Wish Upon a Star.
Penonton konsert ‘Lang Lang Plays Disney’ boleh menjangkakan persembahan lagu-lagu klasik Disney seperti Let It Go, We Don’t Talk About Bruno, You’ll Be in My Heart dan When You Wish Upon a Star. - Foto SISTIC

Usah terlepas peluang menyaksikan pemain piano terkenal dari China, Lang Lang, dalam konsert Lang Lang Plays Disney di The Star Theater pada 12 dan 14 Jun 2025.

Persembahan ini meraikan ulang tahun ke-100 Disney dan mempersembahkan runut bunyi ikonik daripada filem seperti Frozen dan The Lion King dalam susunan muzik yang bertumpukan piano.

Sebuah orkestra simfoni secara langsung juga akan berada di sana untuk meningkatkan lagi pengalaman muzik itu. Penonton boleh menjangkakan persembahan lagu-lagu klasik Disney seperti Let It Go, We Don’t Talk About Bruno, You’ll Be in My Heart dan When You Wish Upon a Star.

Harga: $38 hingga $388

Tarikh: 12 dan 14 Jun

Lokasi: The Star Theatre, The Star Performing Arts Centre

Uji keberanian di taman air Aqua Adventure

Di Aqua Adventure, kanak-kanak dan ahli keluarga mereka boleh menggelungsur turun sorot-sorot air sepanjang berukuran 114 meter yang dipanggil ‘Double Trouble Aqua Tube’. 
Di Aqua Adventure, kanak-kanak dan ahli keluarga mereka boleh menggelungsur turun sorot-sorot air sepanjang berukuran 114 meter yang dipanggil ‘Double Trouble Aqua Tube’.  - Foto HOMETEAMNS

Selami keseronokan di Aqua Adventure, taman air dalam ruang tertutup bersepadu pertama Singapura di HomeTeamNS Bedok Reservoir.

Direka untuk kanak-kanak berumur lima tahun dan ke atas, taman air ini menjanjikan pengalaman penuh riang dan ria.

Antara lain, kanak-kanak dan ahli keluarga mereka boleh menggelungsur turun sorot-sorot air dalam ruang tertutup terpanjang di Singapura yang berukuran 114 meter, dipanggil Double Trouble Aqua Tube.

Peserta juga boleh menguji keberanian dan keseimbangan mereka dalam lapan laluan berhalangan yang tergantung di atas Laze Pool.

Harga: Pas Aquatic Five-O untuk lima orang berharga dari $125 hingga $175

Tarikh: 31 Mei hingga 29 Jun

Lokasi: Aqua Adventure, HomeTeamNS Bedok Reservoir

Program drama untuk kanak-kanak berkeperluan khas

Program tiga hari ini disesuaikan dengan keperluan kanak-kanak neurodiversiti dan mempunyai jadual visual serta peralihan yang tenang, fasilitator yang terlatih dan memahami keperluan peserta, dan tidak meletakkan tekanan “perlu membuat persembahan” ke atas peserta.
Program tiga hari ini disesuaikan dengan keperluan kanak-kanak neurodiversiti dan mempunyai jadual visual serta peralihan yang tenang, fasilitator yang terlatih dan memahami keperluan peserta, dan tidak meletakkan tekanan “perlu membuat persembahan” ke atas peserta. - Foto TINK IT! EDUCATION

Program drama anjuran Tink It! Education dan Singapore Repertory Theatre (SRT) ini dibuka kepada kanak-kanak yang mengalami ‘neurodiversiti’ (cara unik otak manusia berfikir) seperti autisme, Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD) dan disleksia.

Menggunakan cerita Badang dan Batu Kuasa, program ini mengajak peserta berumur lima hingga 10 tahun meneroka daya tahan, ekspresi dan kerja sepasukan.

Program tiga hari ini disesuaikan dengan keperluan kanak-kanak ‘neurodiversiti’ dan mempunyai jadual visual serta peralihan yang tenang, fasilitator yang terlatih dan memahami keperluan peserta, dan tidak meletakkan tekanan “perlu membuat persembahan” ke atas peserta.

Harga: $680 hingga $750

Tarikh: 23 hingga 25 Jun

Lokasi: Agrow Building, 90 Lorong 23 Geylang Singapura 388393

Program untuk kanak-kanak sempena Hari Raya Haji

Perkhemahan dua hari satu malam ini bermula pada 10 pagi pada 10 Jun dan berakhir pada 12 tengah hari pada 11 Jun dan diadakan di Masjid Darul Ghufran di Tampines.
Perkhemahan dua hari satu malam ini bermula pada 10 pagi pada 10 Jun dan berakhir pada 12 tengah hari pada 11 Jun dan diadakan di Masjid Darul Ghufran di Tampines. - Foto FACEBOOK DARUL GHUFRAN

Program Quran Camp for Kidz kembali diadakan cuti sekolah ini sempena Hari Raya Haji.

Perkhemahan dua hari satu malam ini bermula pada 10 pagi pada 10 Jun dan berakhir pada 12 tengah hari pada 11 Jun dan diadakan di Masjid Darul Ghufran di Tampines.

Sesuai untuk kanak-kanak berumur sembilan tahun hingga 12 tahun, program ini menawarkan permainan tajwid dan huruf, sesi bercerita tentang Nabi Ibrahim AS, permainan ‘escape room’ dan lawatan ke ladang kambing Hay Dairies.

Harga: $80 seorang

Tarikh: 10 hingga 11 Jun

Lokasi: Masjid Darul Ghufran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg