Kegiatan menarik seisi keluarga pada Feb
Udang kara gergasi di Pantai Tanjong
Pantai Tanjong di Sentosa kini tampil berbeza dengan kehadiran Lobster Beach, pameran seni awam berskala besar oleh artis kontemporari antarabangsa, Philip Colbert.
Tarikan utama ialah Lobster Ice Cream, satu binaan arca setinggi lapan meter berbentuk udang kara dan aiskrim, yang menjulang megah dan mencuri perhatian dari jauh.
Pengunjung, terutama kanak-kanak, boleh meneroka pelbagai binaan arca lain, termasuk Lobster Shark, Lobster Octopus dan Lobster Fish, sambil bersiar-siar santai di tepi pantai.
Tarikh: Kini hingga 15 Februari
Alamat: Pantai Tanjong, Sentosa, 20 Tanjong Beach Walk
Untuk maklumat lanjut, layari laman web, https://bh.sg/udang
Teroka balai bomba bersama si cilik
Tahukah anda beberapa balai bomba tertentu membuka pintu kepada orang ramai untuk lawatan berpandu pada setiap pagi Sabtu?
Lawatan itu memberi peluang kepada kanak-kanak melihat sendiri persekitaran kerja anggota bomba dan memahami peranan penting mereka dalam menjaga keselamatan masyarakat.
Sepanjang lawatan, kanak-kanak akan diperkenalkan kepada kenderaan kecemasan, serta melihat bagaimana peralatan dan jentera digunakan dalam kecemasan.
Tarikh: Setiap Sabtu
Waktu: 9 pagi hingga 9.50 pagi, atau 10 pagi hingga 10.50 pagi
Untuk menempah sesi lawatan dan mengetahui balai bomba yang terlibat, layari laman web, https://bh.sg/balaibomba
Semarak semangat Hari Pertahanan Mutlak
Sempena Hari Pertahanan Mutlak, Wisma Teroka Singapura mengajak keluarga menghayati kisah keberanian dan daya ketahanan rakyat Singapura menerusi pelbagai kegiatan interaktif.
Menerusi lawatan imersif, bengkel dan tayangan filem pendek, ibu bapa serta anak-anak dapat memahami bagaimana semangat kebersamaan dan pengorbanan menyatukan rakyat merentasi generasi, terutama ketika negara berdepan cabaran besar.
Antara program menarik termasuk lawatan bas berpandu ke Pantai Sarimbun dan Kolam Air Kranji yang menjejaki detik awal Penjajahan Jepun, bengkel dan demonstrasi memasak yang mengolah semula bahan makanan zaman perang, serta lawatan galeri percuma yang meneroka evolusi strategi pertahanan Singapura.
Tarikh: 14, 15, 22 Februari, dan 8 Mac
Lokasi: Wisma Teroka Singapura, 510 Upper Jurong Road
Untuk maklumat lanjut, layari laman web, https://bh.sg/pertahanan

