Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kehilangan sahabat, bapa buat Sunny semangat bertanding

Nov 24, 2024 | 5:30 AM
Sunny Jackson, atau nama sebenarnya, Kamsani Jumahat, menyertai ‘Kaki Nyanyi’ untuk pelajari sesuatu yang baru dalam dunia penghibur dan juga mengenang sahabat seninya, Allahyarham Mohammad Shahfiq Irman.
Sunny Jackson, atau nama sebenarnya, Kamsani Jumahat, menyertai ‘Kaki Nyanyi’ untuk pelajari sesuatu yang baru dalam dunia penghibur dan juga mengenang sahabat seninya, Allahyarham Mohammad Shahfiq Irman. - Foto MEDIACORP SURIA
Sunny Jackson merasakan dunia seni Singapura akan berkembang dengan pelbagai kolaborasi antara anak seni.
Sunny Jackson merasakan dunia seni Singapura akan berkembang dengan pelbagai kolaborasi antara anak seni. - Foto MEDIACORP SURIA

Jiwa penghibur yang boleh disifatkan sebagai ‘Raja Peraduan Realiti Singapura’, Sunny Jackson, dibelenggu kesedihan pada 2024.

Satu demi satu orang tersayang meninggalkannya bagi menyahut panggilan Ilahi.

Sunny, atau nama sebenarnya, Kamsani Jumahat, 33 tahun, kehilangan sahabat seni yang sudah dianggap seperti adik sendiri, juara Anugerah 2017, Allahyarham Mohammad Shahfiq Irman pada Ramadan lalu.

Allahyarham Shahfiq terlibat dalam nahas rempuhan lori kontena di Lebuhraya Utara-Selatan di Johor pada dinihari 23 Mac.

Beberapa bulan selepas itu, Sunny meratap pemergian bapanya, Encik Jumahat Jimen, pada 4 September.

Kepiluan yang menghimpit benak cukup untuk meninggalkan parut emosi dalam diri Sunny malahan akan membuatkannya sentiasa digamit memori apabila bertanding dalam peraduan realiti Kaki Nyanyi yang akan menemui penonton saluran Mediacorp Suria pada 3 Disember ini.

Ketika dihubungi Berita Minggu (BM) menerusi panggilan Zoom, Sunny, bapa dua anak kecil, yang sebelum ini pernah ke Sweden dan mendapat tempat ketiga dalam Kejuaraan Dunia Karaoke (KWC), berkata:

“Saya akan terkenangkan arwah Shahfiq kerana beliau pernah memberitahu saya tentang peraduan Kaki Nyanyi.

“Shahfiq yang menyanyi bersama saya setiap Ahad di restoran The Summerhouse menjelaskan bahawa adiknya, Syaz Smooth, mendapat undangan menyertai peraduan itu tetapi beliau pula tidak dipanggil.

“Walaupun saya mendapat undangan untuk peraduan itu, saya simpan daripada pengetahuannya sampailah beliau meninggalkan kita.

“Kerana itu, saya bersemangat untuk meneruskan perjalanan seni dalam peraduan itu walaupun awalnya, saya memang berat hati nak masuk sebab bagi saya, biarlah beri peluang kepada generasi penyanyi muda.”

Sebelum ini, Sunny mewakili Singapura bagi pertandingan serantau seperti Akademi Fantasia (AF2013) di Malaysia dan Dangdut Academy Asia 3 (DAA3) di Indonesia.

Naib juara SG Mania 2 itu juga pernah mencuba nasib di Kejuaraan Seni Pementasan Sedunia (WCOPA) di Hollywood sekitar Los Angeles, Amerika Syarikat.

Namun, berbekal ingatan pada Shahfiq dan arwah ayahnya yang banyak memberinya dorongan, Sunny ingin berikan yang terbaik bagi pertandingan yang disertai 23 peserta lain.

Menurut Sunny, walaupun sudah sering bertanding di dalam dan luar negara, Kaki Nyanyi memberi perspektif baru buatnya sebab beliau mempelajari sesuatu tentang arena seni dan hiburan pada era TikTok.

“Tambahan pula, ini merupakan peraduan yang memerlukan kita bekerja berkumpulan dan bukan buat hal sendiri. Saya memiliki suara yang lantang. Jangan sampai suara yang kuat dan nyaring menenggelamkan suara orang lain sebab kita perlukan keharmonian.

“Saya belajar daripada budak-budak muda yang 10 tahun lebih muda daripada saya tentang menyiapkan blog video untuk memasarkan kerja seni dan bagaimana menjana kandungan media sosial seperti TikTok yang merupakan campuran hantaran Instagram dan video YouTube.

“Saya yang ramai kenali sebagai penghibur tak tahu diam belajar cara mengawal suara dan emosi dalam menyanyikan lagu balada. Tak perlu selalu nak bergerak sana sini,” ujarnya.

Sunny berterima kasih dengan ikon televisyen, Najip Ali, dan pasukannya yang mengilhamkan program ini sebab ia ‘gila-gila’, penuh magis dan menarik sebab menggalakkan kerjasama antara bakat Singapura.

“Saya melihatnya bukan sebagai persaingan tetapi lebih pada kerjasama yang menekankan bahawa dalam sesebuah industri seni, kita perlu tolong satu sama lain untuk berjaya.

“Kolaborasi inilah yang membuatkan saya begitu bersemangat. Saya lihat bakat setiap peserta mampu berkembang dengan kerjasama.

“Saya boleh fikirkan nak bekerjasama dengan Syaz Smooth, Haqim Mokhtar, Izat Ibrahim dan Rico Setiabudi.

“Saya bahkan bayangkan bagaimana kolaborasi Bruno Mars dan Lady Gaga ataupun Rose membawa pada kejayaan lagu Die With A Smile dan APT yang berada di kedudukan tertinggi carta muzik,” katanya lagi.

Menurutnya, adanya ikon seperti Najip yang berani membuat kerja gila-gila yang magis secara spontan amat membantu memberikan harapan buat artis sepertinya yang mengharapkan industri muzik setempat akan terus mekar.

Ditanya mengenai peserta yang beliau lihat berpotensi besar, Sunny menamakan Raliff Ismail, Danial Baharin dan Arshad Sunday.

“Raliff pendiam dan penuh misteri tetapi hari demi hari, saya lihat bakatnya berkembang.

“Danial pula memiliki lagu terakam yang memang bagus mutunya. Beliau berbakat besar.

“Saya juga lihat Arshad sebagai mempunyai kelebihan tersendiri. Kaki Nyanyi menyerlahkan kebolehan mereka yang kurang diberi pendedahan sewajarnya,” tambah Sunny.

Apakah perancangan Sunny selepas ini menjelang 2025?

“Saya akan keluarkan lagu yang saya tujukan buat arwah ayah saya.

“Saya juga ada perancangan bekerjasama dengan rakan Kaki Nyanyi, Ahmadul Amin dan Firdaus Jumaat atau Fir sebab muzik mereka mirip cita rasa saya.

“Dalam kami sibuk bertanding, telah wujud keinginan untuk mengusahakan projek bersama-sama,” katanya lagi.

‘Kaki Nyanyi’ akan bersiaran di saluran Mediacorp Suria mulai 8.30 malam, 3 Disember. Ia juga boleh ditonton di aplikasi mewatch. Satu acara bagi mengenalkan peserta ‘Kaki Nyanyi’ juga akan diadakan di Studio Annexe Esplanade pada 26 November mulai 8 malam untuk penonton berdaftar.

Tambahan pula, ini merupakan peraduan yang memerlukan kita bekerja berkumpulan dan bukan buat hal sendiri. Saya memiliki suara yang lantang. Jangan sampai suara yang kuat dan nyaring menenggelamkan suara orang lain sebab kita perlukan keharmonian.
Penyanyi Singapura, Kamsani Jumahat, atau dikenali dengan nama pentas Sunny Jackson.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg