Sejak kecil, kanak-kanak sering diajar agar mendengar dan mematuhi orang dewasa di sekeliling mereka yang boleh dipercayai.

Namun, bagaimana jika seseorang yang dipercayai mula melanggar batasan mereka?

Persoalan itu merupakan antara keprihatinan yang timbul susulan satu kes seorang ‘pempengaruh agama’ yang dianggap ibarat bapa kepada dua beradik bawah umur telah merogol dan mencabul mereka.

Dalam memahami bagaimana ibu bapa dapat menyokong dan melindungi kanak-kanak daripada gangguan seksual, Berita Harian (BH) telah mengadakan satu sesi podcast dan perbincangan langsung bertajuk, Didik Anak Kata ‘Tidak’, di Auditorium SPH, SPH News Centre di Toa Payoh North pada 12 September dan telah dihadiri 40 peserta.

Sesi tersebut dikendalikan penerbit podcast BH, Cik Natasha Mustafa, dan koresponden serta penulis ruang Dunia Anak (DNA), Cik Nur Dhuha Esoof, serta tiga ahli panel yang terdiri daripada Pakar Psikologi Klinikal Kanan dan Pengasas ImPossible Psychological Services, Encik Muhammad Haikal Jamil; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hayaa Network, Ustazah Liyana Musfirah; serta Pekerja Sosial Kanan PPIS, Cik Siti Khadeejah Muabdu.

Antara perkara utama yang ditekankan semasa sesi tersebut adalah perlunya kanak-kanak dilengkapi dengan pengetahuan dan keyakinan untuk mengenal pasti keadaan yang tidak selamat, menetapkan batasan dan bersuara apabila berasa tidak selesa.

Mengapakah anak sukar bersuara?

Bagi sesetengah kanak-kanak, mengenal pasti penderaan atau gangguan bukan sesuatu yang mudah.

Apatah lagi apabila berlakunya kelakuan pengantunan atau ‘grooming’, yang merupakan proses apabila orang dewasa membina kepercayaan untuk mengambil kesempatan terhadap mereka secara seksual.

Cik Khadeejah berkongsi bahawa kanak-kanak masih berada dalam fasa pembangunan dan masih memahami pembezaan antara baik dengan buruk.

Justeru, sukar untuk mereka mengenal pasti penderaan apabila ia hadir dalam bentuk pengantunan oleh individu yang dipercayai, disayangi, dan terdekat dengan mereka. 

Menurut Encik Haikal, pengantunan merupakan satu proses yang lazimnya tidak bermula dengan kelakuan yang jelas salah.

Sering kali, ia bermula dengan perhatian dan keprihatinan oleh pesalah sebelum membina kepercayaan bersama kanak-kanak.

Pakar Psikologi Klinikal Kanan dan Pengasas ImPossible Psychological Services, Encik Muhammad Haikal Jamil, berkata pengantunan merupakan satu proses mengambil kesempatan atas kepercayaan kanak-kanak untuk kelakuan penderaan seksual.
Pakar Psikologi Klinikal Kanan dan Pengasas ImPossible Psychological Services, Encik Muhammad Haikal Jamil, berkata pengantunan merupakan satu proses mengambil kesempatan atas kepercayaan kanak-kanak untuk kelakuan penderaan seksual. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Lama-kelamaan, hubungan mereka menjadi lebih istimewa dan batasan mula dilanggar.

“Apabila ini berlaku, kanak-kanak mula berasakan apa yang salah itu menjadi betul kerana ada unsur kepercayaan terhadap pelaku,” ujar Encik Haikal.

Justeru, penderaan terhadap kanak-kanak boleh berlaku daripada orang dipercayai.

Ustazah Liyana turut menekankan kepentingan kanak-kanak memahami bahawa mereka mempunyai hak terhadap tubuh dan ruang peribadi sendiri, tanpa mengira hubungan antara kanak-kanak dengan orang di sekeliling mereka.

Sediakan ruang selamat

Untuk memperkasa anak apabila berdepan keadaan yang tidak diingini, peranan ibu bapa perlu melangkaui pemantauan anak sahaja.

Menurut Cik Khadeejah, ibu bapa juga perlu memastikan anak mempunyai seseorang untuk bercerita apabila berdepan dengan sesuatu yang mengeliru atau menakutkan. 

Pekerja Sosial Kanan PPIS, Cik Siti Khadeejah Muabdu, berkata ibu bapa perlu mewujudkan ruang selamat untuk anak berkongsi sebarang masalah atau kerisauan.
Pekerja Sosial Kanan PPIS, Cik Siti Khadeejah Muabdu, berkata ibu bapa perlu mewujudkan ruang selamat untuk anak berkongsi sebarang masalah atau kerisauan. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

“Ibu bapa perlu mewujudkan ‘safe space’ atau ruang yang selamat untuk anak kongsikan apa sahaja yang berlaku tanpa kesukaran,” jelas Cik Khadeejah.

Dengan ruang demikian, anak dapat berkongsi dengan lebih mudah dan tidak berasa takut.

Namun, bagaimana kita dapat mewujudkan ruang sebegitu?

Bagi Encik Haikal, beliau menekankan kepentingan untuk tidak memperlekehkan perasaan anak, baik dari segi jantina anak mahupun isi perkongsian anak.

Menurut beliau, kededua anak lelaki dan perempuan mempunyai keperluan emosi daripada ibu bapa, yang tidak boleh diabaikan kerana ia akan menjejas keinginan anak untuk berkongsi dan mendekati ibu bapa apabila diperlukan. 

“Kita perlu mewujudkan persekitaran yang menggalakkan anak berkongsi, tidak kira ia perkongsian yang menggembirakan mahupun menyedihkan.

“Kalau kita tidak memberikan peluang untuk anak berkongsi tentang perkara kecil seperti hari mereka, mereka akan rasa diperlekeh dan mungkin tidak akan mendekati kita apabila ada berita yang memalukan atau menyedihkan,” tambah beliau.

Dengan membiasakan diri mendengar luahan anak, ibu bapa boleh menjadi individu pertama yang dicari anak apabila mereka berdepan masalah.

Cik Khadeejah turut berkongsi panduan T.I.P.S. yang boleh diamalkan ibu bapa:

– Tahu: Ibu bapa perlu ada sikap ingin tahu tentang kegiatan anak.

– Interaksi: Ibu bapa perlu meneliti corak interaksi anak bersama orang sekeliling dan ibu bapa; lihat sama ada sebarang perubahan ketara atau kelainan mendadak.

– Peka: Ibu bapa perlu peka tentang perubahan, keadaan dan kegiatan anak.

– Selamat: Ibu bapa perlu mewujudkan rasa selamat di rumah untuk anak berkongsi isi hati tanpa rasa takut diperkecilkan.

Ajar batasan sejak kecil

Ibu bapa juga perlu mengajar anak tentang batasan tubuh dan ruang peribadi sejak usia muda.

Selain mengajar anak tentang “sentuhan baik” dan “sentuhan buruk”, anak juga perlu memahami tentang tempat atau keadaan yang memerlukan privasi.

Sebagai contoh, Encik Haikal berkata anak perlu dididik tentang kegiatan peribadi seperti menggunakan tandas atau menyalin baju yang memerlukan privasi daripada orang lain.

Pendidikan tersebut juga perlu dicontohi ibu bapa.

Misalnya, ibu bapa juga perlu mengamalkan pembezaan antara sentuhan yang baik dan buruk bersama anak agar anak tidak keliru dan faham bahawa sentuhan demikian tertakluk kepada semua orang.

Satu lagi contoh adalah apabila ibu bapa dan anak menggunakan bilik tandas yang sama.

Mereka juga perlu saling memberi privasi kepada satu sama lain, seperti memandang ke tempat lain, agar anak memahami bahawa tempat seperti tandas dan alat sulit mereka adalah peribadi. 

Menurut Ustazah Liyana, dengan mengajar anak tentang sentuhan yang sesuai dan ruang serta keadaan yang disifatkan peribadi, anak dapat memahami bahawa mereka juga mempunyai hak yang wajar dipertahankan.

Kenali bendera merah atau ‘red flag’

Ustazah Liyana turut menekankan kepentingan membantu anak memahami apakah yang benar dan salah, termasuk apabila sesuatu nasihat atau arahan bercanggah dengan nilai agama dan keselamatan diri.

“Selagi satu perkara itu tak sesuai dengan agama, selagi itu, kita tidak wajib taat, walaupun arahan itu datang daripada seorang ulama, ibu, bapa, mahupun pengetua,” jelas beliau.

Justeru, anak perlu dididik membezakan tentang perkara yang baik dan buruk dan membuat keputusan sendiri sama ada mereka patut mentaati satu arahan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hayaa Network, Ustazah Liyana Musfirah, berkata ibu bapa perlu membantu anak mengenali betul dan salah.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hayaa Network, Ustazah Liyana Musfirah, berkata ibu bapa perlu membantu anak mengenali betul dan salah. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Satu soalan yang dikongsikan Ustazah Liyana yang boleh dijadikan panduan untuk anak adalah: “Adakah saya rasa selamat?”

Sekiranya perkara itu membuat mereka keliru atau tidak selesa, anak perlu belajar untuk mengatakan “tidak”.

Cik Khadeejah turut berkongsi panduan yang sama untuk diajarkan kepada anak iaitu: “Tidak, Pergi, Beritahu”.

Dalam panduan ini, anak perlu mengenal pasti keadaan dan rasa diperkasa untuk berkata “tidak” dan menghentikan satu kegiatan itu kerana mereka rasa kurang selesa.

Selepas itu, mereka perlu memaklumkan orang dewasa yang boleh dipercayai tentang kejadian itu.

Namun, Cik Khadeejah berkata panduan itu bukan sahaja untuk kegiatan yang mungkin mencetuskan rasa curiga, malah juga untuk rahsia yang tidak selamat.

Semasa sesi tersebut, beliau menyifatkan rahsia tidak selamat sebagai rahsia yang disertai ugutan atau arahan untuk tidak memberitahu sesiapa.

Ini berbeza daripada rahsia tentang kejutan hari lahir yang bersifat sementara dan tidak membahayakan.

Lantas, anak perlu dididik untuk mengenal pasti apabila satu kegiatan, arahan, atau rahsia tidak selamat, sesuai, dan betul, dan diperkasa untuk menolaknya.

Seperti yang dirumuskan dalam sesi tersebut, ibu bapa mungkin tidak mampu mengawal setiap individu yang ditemui anak mereka.

Namun, masyarakat boleh membina sebuah persekitaran yang memastikan kanak-kanak mengenali hak mereka, berani menetapkan batasan dan yakin bahawa apabila mereka bersuara, akan ada seseorang yang mendengar luahan mereka.

“Kita perlu mewujudkan persekitaran yang menggalakkan anak berkongsi, tidak kira ia perkongsian yang menggembirakan mahupun menyedihkan. Kalau kita tidak memberikan peluang untuk anak berkongsi tentang perkara kecil seperti hari mereka, mereka akan rasa diperlekeh dan mungkin tidak akan mendekati kita apabila ada berita yang memalukan atau menyedihkan.”
Pakar Psikologi Klinikal Kanan dan Pengasas, ImPossible Psychological Services, Encik Muhammad Haikal Jamil.

“Selagi satu perkara itu tak sesuai dengan agama, selagi itu, kita tidak wajib taat, walaupun arahan itu datang daripada seorang ulama, ibu, bapa, mahupun pengetua.”
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas, Hayaa Network, Ustazah Liyana Musfirah.

“Ibu bapa perlu mewujudkan ‘safe space’ atau ruang yang selamat untuk anak kongsikan apa sahaja yang berlaku tanpa kesukaran.”
Pekerja Sosial Kanan PPIS, Cik Siti Khadeejah Muabdu.

Acara ‘Dunia Anak (DNA) Live Podcast’ anjuran Berita Harian (BH) baru-baru ini merupakan antara pelbagai usaha akhbar ini untuk mendekati pembaca termasuk golongan ibu bapa.

Apakah topik-topik keibubapaan lain yang wajar dikupas dengan lebih mendalam?

Kongsi idea dan saranan anda kepada Koresponden dan penulis ruangan DNA, Cik Nur Dhuha Esoof, melalui e-mel di nurdhuha@sph.com.sg.