Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Keluang Man’ tampilkan 100% bakat tempatan

May 26, 2025 | 2:31 PM
Keluang Man, Nas T
Nas T, atau nama sebenarnya, Nas Muammar Zar Nasruddin, melakonkan watak sebagai Keluang Man atau Borhan dalam filem ‘Keluang Man’. - Foto INSTAGRAM NAS T

PUTRAJAYA: Filem adiwira tempatan, Keluang Man, yang bakal menjengah pawagam pada 29 Mei bukanlah naskhah yang dibikin semula berdasarkan siri animasi yang cukup popular pada era 1990-an.

Sebaliknya, apa yang disajikan adalah suatu penjenamaan semula karakter yang dianggap ikon kebangsaan itu daripada idea dan sentuhan kreatif pengarahnya, Anwari Ashraf.

Mengambil tempoh lima tahun bagi proses pembangunan jalan cerita sehinggalah filem disiapkan, sutradara yang tidak asing dengan karya berkualiti seperti Projek: High Council dan Projek: Anchor SPM ini cuba mengembalikan nostalgia lampau dan pada masa sama, melahirkan peminat daripada generasi baru.

“Bagi generasi yang membesar dengan Keluang Man, saya guna sekurang-kurangnya apa yang saya faham. Saya mendalami jiwa Borhan hasil menonton siri animasi itu.

“Saya cuba bawakan jiwa yang sama ke dalam filem Keluang Mann bagi mengembalikan nostalgia peminat lama.

“Bagi generasi baru pula, kami membangunkan filem dan skrip Keluang Man menggunakan kaedah pascamodenisme (satu gerakan seni) di mana naratif filem ini bebas dan kami berharap penonton muda dapat memahaminya,” katanya pada majlis tayangan perdana Keluang Man di IOI City Mall baru-baru ini.

Bagi menjaga keaslian filem itu, Anwari mengelak menggunakan tenaga kerja luar.

Sebaliknya, semua kru dan pelakon, iaitu seramai lebih 1,000 orang adalah anak tempatan, lapor Berita Harian Malaysia.

Ini termasuk imej janaan komputer (CGI), rekaan kostum dan kesan visual yang menggunakan sentuhan anak Malaysia.

Anwari berkata pada mulanya mereka merancang melakukan kerja pascaproduksi di Bangkok, Thailand, atau Hong Kong, China.

Namun, disebabkan kos tinggi dan timbulnya kesedaran yang naskhah itu harus mendapat sentuhan 100 peratus sumber tempatan, hasrat itu akhirnya dibatalkan.

“Kita ada banyak kemahiran dan kemampuan tempatan, namun, tidak berpeluang mempraktikkan apa dipelajari.

“Sehubungan itu, kami putuskan guna semua sumber yang ada di Malaysia. Mungkin kerana Keluang Man adalah adiwira tempatan yang pertama, jadi timbul rasa sayang jika ada sentuhan orang luar dalam salah satu proses pembikinan filem ini,” katanya.

Anwari tidak kisah jika penonton mengkritik kesan visual filem itu kerana mengakui hasil kerja mereka tidak sempurna.

Malah, Anwari menganggap itu sebagai salah satu daripada proses pembelajaran.

“Sebenarnya, saya berterus terang. Perkara ini (kesan visual) jelas dan boleh dilihat sendiri penonton. Secara teknikal, filem ini tidaklah cukup sempurna.

“Tetapi saya percaya, daripada kesilapan itulah membuatkan kami belajar. Saya sendiri sudah belajar banyak sangat melalui kesilapan yang dibuat sebelum mendapatkan hasil ini. Saya lihat industri kita adalah industri yang takut untuk buat kesilapan.

“Saya bukanlah tidak takut buat silap, tetapi, saya jenis suka ‘langgar’. Apabila sudah buat silap, tentulah ada rasa takut. Bagaimanapun, saya percaya, kesilapan itu akan bantu industri kreatif kita bergerak ke depan dan mematangkan lagi,” katanya.

Filem Keluang Man yang menelan kos RM13 juta ($3.9 juta) menampilkan Nas T, atau nama sebenarnya, Nas Muammar Zar Nasruddin, sebagai Keluang Man atau Borhan; Datuk Remy Ishak (Shamsir); Anwaar Beg Moghal (Inspektor Sahab); Datuk Rosyam Nor (Ahmad); dan Shweta Sekhon (Doktor Malini).

Filem ini yang bakal menjengah 154 pawagam di seluruh negara, mengisahkan Borhan, iaitu pesakit di Hospital Tumpoi yang sering melarikan diri setiap malam.

Dalam usahanya melawan trauma silam dan penyakit ‘Dissociative Schizophrenia’, beliau tanpa sengaja mencipta alter ego, iaitu Keluang Man.

Dengan identiti baru itu, Borhan menjadi simbol keadilan yang bersifat tempatan iaitu kelakar, spontan dan penuh semangat rakyat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg