Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peminat ‘Keluang Man’ persoal pilihan wira sasa Nas-T

Nov 30, 2023 | 1:40 PM
DIRASAKAN TIDAK SESUAI: Sesetengah peminat animasi ‘Keluang Man’ menganggap pelakon sasa, Nas-T, yang memiliki wajah serius tidak sesuai membawa watak Borhan atau Keluang Man yang lucu dan tinggi lampai. Namun, pengarah menganggap beliau memiliki ciri-ciri yang dicari untuk watak adiwira Malaysia.
DIRASAKAN TIDAK SESUAI: Sesetengah peminat animasi ‘Keluang Man’ menganggap pelakon sasa, Nas-T, yang memiliki wajah serius tidak sesuai membawa watak Borhan atau Keluang Man yang lucu dan tinggi lampai. Namun, pengarah menganggap beliau memiliki ciri-ciri yang dicari untuk watak adiwira Malaysia. - Foto BERITA HARIAN MALAYSIA

Sebelum ini, pelakon sasa Nas-T atau nama sebenarnya, Nas Muammar Zar Nasruddin, biasa anda tonton dalam filem aksi ketenteraan, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa.

Bagaimanapun, pengumuman bahawa beliau akan terlibat dalam filem aksi nyata, Keluang Man, yang bakal memulakan penggambaran pada April 2024 menimbulkan tanda tanya.

Nas-T akan menggalas peranan sebagai Borhan atau Keluang Man.

Pengikut setia siri animasi popular Malaysia pada era 1990-an itu mula mengecam pemilihannya sebagai watak utama.

Ada peminat menganggap pemilihan Nas-T, 40 tahun, sebagai watak utama kurang sesuai berikutan fizikalnya yang tegap, sedangkan, watak Borhan selama ini digambarkan sebagai pemuda tinggi lampai dan kurus.

Malah, ada peminat mempersoalkan mengapa bukan pelawak dipilih memegang watak Keluang Man kerana pada pandangan mereka, Nas-T memiliki karakter serius yang tidak sesuai dengan personaliti Keluang Man yang dikenali selama ini, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Namun, pengarah filem Keluang Man, Anwari Ashraf mempunyai alasan tersendiri memilih Nas-T daripada lebih 300 sesi uji bakat terbuka yang dikendalikan dalam mencari teraju utama naskhah berkenaan.

Menolak wujud unsur kronisme dalam pemilihan pelakon, Anwari sebaliknya optimis Nas-T paling sesuai membawa watak Keluang Man dan Borhan selepas melalui empat peringkat sesi uji bakat.

“Saya faham ramai yang skeptikal dengan pemilihan Nas-T dan jujurnya, saya juga mempunyai perasaan sama ketika dia menghantar penyertaan tetapi selepas saringan demi saringan, kita harus akui betapa hampirnya Nas-T dengan watak Borhan dan Keluang Man.

“Saya tidak fikir perlukan pelawak. Disebabkan itulah saya tidak pilih dalam kalangan pelawak untuk watak ini. Secara lahiriah, Keluang Man bukan sekadar berlawak,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman barisan pelakon filem aksi sebenar, Keluang Man, di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, baru-baru ini.

Anwari berkata, selain Nas-T, ramai pelakon ternama menghantar video penyertaan, namun beliau enggan mendedahkan nama mereka. Beliau juga yakin Nas-T pilihan tepat dalam membawa watak Borhan itu.

Anwari yang menghasilkan karya hebat seperti trilogi, Polis Evo, dan mengarahkan drama bersiri trending, Projek: High Council, berharap peminat siri animasi itu sedia menerima filem yang dianggap jiwanya hampir sama dengan karya asal.

Selain Nas-T, tiga watak utama lain adalah Shamsir yang dibawa Remy Ishak, Ahmad (Datuk Rosyam Nor) dan Inspektor Sahab (Anwar Beg Mughal).

Siri animasi adiwira pertama tanah air itu diilhamkan Allahyarham Kamarudin Ismail atau lebih dikenali sebagai Kamn Ismail.

Diterbitkan Astro Shaw bersama Iconic Animation Studio Sdn Bhd, ia dijangka ditayangkan di pawagam Malaysia pada 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg