Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeluarga kecil semakin jadi pilihan masyarakat Melayu
Keluarga kecil semakin jadi pilihan masyarakat Melayu
Masih ramai mahu jadi ibu bapa, tetapi kian teliti rancang keluarga disebabkan usia, kos sara hidup
Keluarga kecil semakin jadi pilihan masyarakat Melayu
Encik Muhamad Affendy Hidayat mempunyai seorang anak dan tidak merancang untuk ada lebih daripada itu.
Beliau mencapai keputusan tersebut setelah mempertimbangkan umurnya yang agak lanjut dan kos sara hidup di Singapura yang semakin meningkat, serta manfaat mempunyai keluarga kecil.
“Saya berkahwin agak lewat, pada usia 35 tahun, pada 2016.
“Isteri saya berusia 28 tahun pada waktu itu.
“Anak kami lahir pada 2021 dan ketika dia berusia dua tahun, saya mula sedar yang saya ini bukannya semakin muda.
“Saya mula memikirkan tentang saiz keluarga ideal saya dan setelah membaca dalam talian serta bertanya kawan-kawan yang ada anak, saya dan isteri membuat keputusan untuk mempunyai seorang anak sahaja,” kata pegawai perkhidmatan awam berusia 45 tahun itu.
Selain memikirkan tentang usia serta tahap kesihatan beliau dan isterinya, Encik Muhamad Affendy juga menyebut tentang sistem pendidikan sengit di Singapura, serta kos penjagaan bayi, prasekolah dan kegiatan luar darjah yang tinggi dan boleh “membebankan kewangan”.
Dengan mempunyai seorang anak sahaja, beliau berharap dapat menumpukan sumber ke arah memberi pendidikan yang baik dan peluang bermutu tinggi.
“Selain itu, kami mendapati bahawa mempunyai seorang anak dapat memberi keseimbangan antara kerja dengan kehidupan peribadi yang lebih baik, dengan lebih banyak masa bermutu dan perhatian penuh dapat diberikan kepada perkembangan anak kami.
“Ia juga memberi kami fleksibiliti untuk melancong ke luar negara dan beriadah,” tambahnya.
Sebab keluarga kecil jadi pilihan
Encik Muhamad Affendy dan isterinya antara pasangan Melayu muda di Singapura yang memilih untuk mempunyai keluarga kecil, atas pelbagai sebab, termasuk kesediaan praktikal, kewangan dan emosi.
Data Jabatan Statistik Singapura menunjukkan saiz keluarga Melayu semakin mengecil dengan purata anak yang dilahirkan penduduk wanita Melayu berusia 40 hingga 49 tahun yang pernah berkahwin turun, daripada 2.73 pada 2010, kepada 2.43 pada 2020.
Penganalisis dan pertubuhan Melayu/Islam yang dihubungi Berita Minggu (BM) pula berkongsi pemerhatian keluarga Melayu muda hari ini yang mahu mempunyai bilangan anak yang sedikit – rata-rata antara satu dengan empat – atau langsung tidak mahu mempunyai anak.
“Dalam pendampingan kami, pasangan sering menyatakan hasrat untuk mempunyai saiz keluarga yang mereka rasakan mampu ditanggung dengan penuh tanggungjawab, dengan jumlah anak yang diinginkan lazimnya antara dua hingga empat orang,” kata pengarah kanan perkhidmatan sosial Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Azita Abdul Aziz.
Kaunselor bersekutu program Arif, kendalian AMP Singapura yang mempersiap pasangan bagi alam perkahwinan dan keibubapaan, Ustaz Mohd Tajuddin Noor, memerhatikan perkembangan serupa.
“Ramai pasangan hari ini meluahkan kecenderungan mempunyai satu atau dua anak, dengan segelintir menyatakan mereka tidak berhasrat menimang cahaya mata,” katanya.
TFR Melayu di paras terendah
Kecenderungan terhadap keluarga kecil ini mungkin antara faktor yang mempengaruhi Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) penduduk Melayu di Singapura, dalam beberapa tahun kebelakangan.
TFR merujuk kepada purata bilangan anak yang dilahirkan setiap wanita sepanjang tempoh kesuburannya.
TFR 2.1 diperlukan bagi memastikan sesebuah populasi dapat menggantikan dirinya sendiri.
TFR Melayu, seperti TFR Cina dan India, rata-rata telah menurun sejak Singapura mencapai kemerdekaan pada 1965.
Pada tahun tersebut, TFR Melayu ialah 6.31.
Namun, sedang TFR Melayu kekal paling tinggi berbanding Cina dan India, ia merosot ke paras terendah dalam sejarah, iaitu 1.53 pada 2025.
TFR Cina juga mencecah paras terendah iaitu 0.70, manakala TFR India naik sedikit ke 0.92.
Secara keseluruhan, TFR di peringkat nasional juga jatuh kepada tahap terendah sebanyak 0.87 pada 2025.
Dalam beberapa tahun lalu, kemerosotan TFR Melayu merosot daripada 1.83 pada 2022 kepada 1.65 pada 2023 dan 1.58 pada 2024.
Mengulas sebab TFR Melayu hari ini kekal lebih tinggi berbanding TFR nasional, pengasas Nusantara Connect, Dr Mohamad Shamsuri Juhari, berkata sedang masyarakat lain mula mengurangkan saiz keluarga lebih awal, keluarga Melayu berpegang lebih lama kepada idea bahawa anak-anak adalah tunjang utama dalam perkahwinan dan kehidupan berkeluarga.
Antara lain, anak-anak dilihat sebagai rezeki, sumber kebahagiaan serta sebahagian kesinambungan kehidupan berkeluarga.
Keibubapaan tidak dinilai semata-mata dari sudut ekonomi, tetapi turut dianggap sebagai sebahagian tanggungjawab moral, agama dan sosial seseorang, katanya.
Namun, pasangan Melayu hari ini kian terjejas oleh tekanan, sama dengan masyarakat warga Singapura yang lebih luas.
“Pasangan muda hari ini sedang mengejar kelayakan, membina kerjaya dan mencapai kestabilan kewangan. Mereka juga lebih sedar tentang perkara yang diperlukan untuk membesarkan anak dengan baik,” kata Dr Shamsuri.
“Isunya bukan lagi sama ada mereka menghargai kehadiran anak atau tidak. Ramai yang masih.
“Persoalannya adalah sama ada mereka rasa mereka mempunyai masa, wang, sokongan dan keupayaan emosi untuk membesarkan lebih ramai anak,” tambahnya.
Perancangan sebelum bina keluarga
Menurut Cik Azita, perbincangan pasangan yang didampingi PPIS melalui program persiapan perkahwinan atau khidmat sokongan keluarga hari ini, melangkaui sekadar keinginan mempunyai anak.
Sebaliknya, ia semakin tertumpu kepada sama ada mereka rasa bersedia dari segi kewangan, emosi dan keupayaan praktikal untuk menjadi ibu bapa.
Pertimbangan seperti pekerjaan stabil, perumahan, pengaturan penjagaan anak, keseimbangan antara kerja dengan kehidupan peribadi, serta kesejahteraan mental, sering menjadi antara topik utama dalam perbincangan tersebut.
“Pemerhatian ini bukan menunjukkan bahawa aspirasi terhadap perkahwinan atau keibubapaan semakin berkurangan.
“Sebaliknya, ia mencerminkan bahawa ramai pasangan mengambil pendekatan yang lebih teliti dalam merancang keluarga, mengimbangi harapan mereka untuk berkeluarga dengan realiti praktikal membesarkan anak di Singapura,” kata Cik Azita.
Dr Shamsuri pula menyebut kos penjagaan kanak-kanak serta kos keseluruhan membesarkan anak yang meningkat sebagai antara perkara yang menyebabkan pasangan muda kini lebih teliti dan terancang dalam menentukan bilangan anak yang mereka secara realistik, mampu besarkan dengan baik.
“Pasangan muda juga semakin sedar tentang keinginan menjadi ‘ibu bapa yang baik’. Mereka bukan sekadar mahu mempunyai anak, tetapi mahu memberi setiap anak perhatian, sumber dan sokongan emosi yang mencukupi,” kata Dr Shamsuri.
Ketelitian dalam perancangan keluarga ini selari dengan ajaran Islam yang menggalakkan perkahwinan dan menganggap anak sebagai rezeki, tetapi pada masa yang sama, menekankan bahawa setiap individu akan dipertanggungjawabkan atas amanah yang telah diberikan kepada mereka.
“Islam menitikberatkan kepentingan menuntut ilmu, membuat keputusan berasaskan pertimbangan yang baik serta membuat persediaan sebelum memikul sesuatu tanggungjawab yang besar,” kata Ustaz Mohd Tajuddin.
“Justeru, perkahwinan dan keibubapaan bukan sahaja dilihat sebagai satu nikmat, malah juga sebagai tanggungjawab yang memerlukan kesediaan dari segi emosi, kewangan dan rohani,” tambahnya.
Pemahaman ini, kata Ustaz Mohd Tajuddin, mendorong ramai pasangan Melayu mengadakan perbincangan teliti mengenai tahap kesediaan dan kemampuan mereka untuk membesarkan anak secara bertanggungjawab, sambil menunaikan kewajipan mereka sebagai ibu bapa.
“Dalam konteks ini, perancangan keluarga, apabila dilakukan dengan niat yang betul dan selaras dengan prinsip Islam, boleh dilihat sebagai satu bentuk pengurusan yang bertanggungjawab, bukannya sesuatu yang bercanggah dengan ajaran agama,” kata Ustaz Mohd Tajuddin.
Apakah perkara dipertimbangkan?
Dalam membuat keputusan tentang saiz keluarga, Cik Azita berkata pasangan menekankan pentingnya mempunyai sekurang-kurangnya satu sumber pendapatan stabil, bagi memastikan keperluan harian keluarga dapat dipenuhi.
Akses kepada sokongan seperti subsidi penjagaan kanak-kanak juga dianggap penting dalam meringankan cabaran praktikal membesarkan anak, sambil membolehkan kedua-dua ibu bapa terus berkerja.
Selain itu, peningkatan kos perumahan dan saiz kediaman boleh mempengaruhi keputusan sama ada untuk menambah bilangan anak, kata Cik Azita.
Sesetengah pasangan juga perlu mengimbangi tanggungjawab menjaga anak-anak yang masih kecil dan ibu bapa yang semakin berusia, khususnya mereka yang tergolong dalam generasi sandwic, tambahnya.
“Kami juga mendapati ramai pasangan kini memberi penekanan lebih besar terhadap kesediaan mental dan emosi untuk menjadi ibu bapa, dengan perbincangan sering tertumpu kepada sama ada mereka mempunyai keupayaan untuk menyediakan persekitaran yang stabil dan menyokong perkembangan anak-anak,” kata Cik Azita.
Dr Shamsuri turut menyentuh tentang struktur sokongan yang lazim generasi lalu, iaitu datuk nenek, yang memainkan peranan besar dalam penjagaan cucu.
Struktur sokongan itu telah membolehkan ibu bapa muda terus bekerja walaupun mempunyai ramai anak.
Aturan sedemikian bagaimanapun kurang tersedia hari ini, antara lain kerana ramai datuk nenek masih bekerja, mahukan kebebasan, mempunyai keperluan kesihatan atau mahu terlibat dalam kehidupan masyarakat.
“Perubahan ini amat ketara kerana amalan penjagaan antara generasi sebelum ini membantu menjadikan keluarga yang lebih besar lebih mudah diuruskan. Apabila sokongan tersebut semakin berkurangan, pasangan muda terpaksa lebih bergantung kepada khidmat penjagaan kanak-kanak berbayar, pembantu rumah atau pengurangan komitmen kerja oleh salah seorang ibu bapa. Semua ini melibatkan keputusan besar yang memerlukan pertimbangan yang teliti,” kata Dr Shamsuri.
Saiz keluarga Melayu akan datang
Mengulas tentang kemerosotan TFR Melayu dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Dr Shamsuri berkata ia mungkin bukan menunjukkan “penolakan mendadak terhadap kehidupan berkeluarga”, sebaliknya mungkin berkait dengan tempoh pascapandemik Covid-19, termasuk ketidakpastian pekerjaan.
“Pasangan mempunyai ketidakpastian lebih besar tentang pekerjaan, pendapatan, perumahan, kesihatan dan masa depan. Tekanan kos sara hidup dan inflasi juga semakin ketara. Jadi (2023) mungkin… merupakan detik apabila tekanan yang sedia ada menjadi lebih ketara dan dirasai dengan lebih mendalam,” katanya.
Dr Shamsuri menambah perubahan dalam saiz keluarga yang berlaku kini tidak semestinya menunjukkan peralihan daripada nilai yang berorientasikan keluarga kepada sikap yang lebih individualistik.
Sebaliknya, ia mencerminkan perubahan daripada melihat mempunyai anak sebagai sesuatu yang dijangka secara semula jadi dalam perkahwinan, kepada melihatnya sebagai satu tanggungjawab yang perlu dirancang dengan teliti.
“Bagi ramai pasangan, mempunyai dua anak mungkin dirasakan masih mampu diuruskan, manakala tiga atau empat anak pula boleh dianggap lebih mencabar dari segi kewangan dan emosi,” katanya.
Memandang ke hadapan, Dr Shamsuri menjangkakan TFR Melayu akan terus merosot, namun kekal lebih tinggi daripada kumpulan etnik lain.
Beliau juga berpendapat keluarga Melayu dengan satu atau dua anak akan menjadi semakin biasa.
Kesan kemerosotan TFR Melayu
Sekiranya TFR Melayu terus merosot, ia berpotensi mengubah secara beransur keperluan masyarakat Melayu, kata Cik Azita.
Ini memberi kesan terhadap cara pertubuhan masyarakat, penyedia perkhidmatan dan sistem sokongan menyesuaikan respons mereka dari semasa ke semasa.
Pada masa sama, perubahan demografi dan struktur keluarga boleh membawa keperluan serta pertimbangan baru, termasuk sokongan lebih besar untuk keluarga yang baru dibentuk, pasangan dalam perkahwinan rentas negara dan penduduk yang semakin menua.
Dr Shamsuri pula berkata kemerosotan berterusan TFR Melayu dalam jangka panjang boleh mengurangkan kelebihan demografi muda yang telah lama dimiliki masyarakat Melayu.
“Perkara ini penting kerana populasi yang lebih muda boleh menjadi sumber tenaga sosial, pembaharuan kepimpinan, kesukarelawanan, penyertaan dalam tenaga kerja serta kesinambungan masyarakat,” ujarnya.
Dr Shamsuri menambah pada peringkat nasional, penurunan berterusan TFR Melayu menunjukkan bahawa masyarakat Melayu kini turut berdepan cabaran kadar kesuburan rendah yang sedang dihadapi Singapura secara keseluruhan.
“Ia bukan lagi satu trend yang hanya menjejaskan sesetengah kelompok masyarakat.
“Semua kumpulan etnik kini dipengaruhi tekanan yang sama akibat pemodenan, peningkatan kos sara hidup, tuntutan kerja yang semakin intensif serta kecenderungan menangguhkan pembentukan keluarga,” katanya.
Penolong provost di Institut Teknologi Singapura (SIT), Profesor Madya Intan Azura Mokhtar, memberitahu The Straits Times sebelum ini TFR nasional sebanyak 0.87 bermakna secara purata, sesebuah pasangan akan mempunyai kurang satu anak sepanjang hayat mereka.
Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh membawa kepada beban penuaan penduduk yang jauh lebih besar. Bagi setiap orang dewasa yang aktif dari segi ekonomi, terdapat kemungkinan mereka perlu menyokong 2.4 warga emas.
Menurut beliau, perubahan demografi sedemikian akan memerlukan lebih banyak perkhidmatan kesihatan dan sosial untuk menyokong populasi yang semakin berusia, di samping meningkatkan perbelanjaan pemerintah serta menambah beban kewangan golongan dewasa yang bekerja.
“Ini mungkin menyebabkan golongan dewasa yang bekerja memutuskan untuk tidak berkahwin atau membina keluarga kerana kos yang perlu ditanggung terlalu tinggi. Keadaan ini boleh menyebabkan kita terperangkap dalam satu kitaran yang berterusan dan semakin memburuk,” kata mantan Anggota Parlimen itu.
