Sejak dahulu lagi, Cik Nurhasfalilah Abdul Aziz sudah pasang niat untuk memiliki keluarga yang besar – kalau boleh, empat orang anak.

Sebagai anak sulung daripada tiga beradik, beliau membesar dalam suasana yang meriah, riuh-rendah, serta menganggap keluarga yang besar itu berkat.

Beliau dan suaminya, Encik Muhammad Remie Hamzah, memang berhasrat untuk mengikut jejak langkah generasi terdahulu.

Namun, mereka berdepan dengan realiti kehidupan di Singapura dan mengubah rancangan asal mereka.

Hari ini, mereka berpuas hati setelah mempunyai dua cahaya mata.

“Ikutkan hati, memang kami nak suasana keluarga yang ramai dan meriah,” kongsi Cik Nurhasfalilah, 42 tahun, kepada Berita Minggu (BM) baru-baru ini.

“Apabila nampak anak-anak main dengan bayi kawan-kawan, terdetik juga rasa rindu… tertanya-tanya macam mana agaknya kalau ada seorang lagi bayi di rumah.

“Tapi dengan segala kekangan yang ada, kami pilih untuk reda dan bersyukur dengan apa yang ada di depan mata, ” ujar guru bidang kemanusiaan itu.

Bukannya mereka sudah tidak sukakan kanak-kanak, tetapi itu adalah keputusan realistik setelah mengambil kira faktor usia, tenaga dan kos sara hidup di Singapura yang semakin meningkat.

Cik Nurhasfalilah dan Encik Remie, seorang pekerja perkhidmatan awam yang kini berusia 44 tahun, merupakan antara pasangan yang mendirikan rumah tangga pada usia 30-an.

Cik Nurhasfalilah melahirkan anak pertamanya pada usia 35 tahun dan anak keduanya setahun kemudian.

Kini, anak-anak mereka masing-masing sudah berusia enam dan tujuh tahun.

Menjaga dua anak kecil yang jarak usianya sangat rapat (di bawah dua tahun) sambil bekerja sepenuh masa , ditambah pula tanpa bantuan pembantu rumah pada waktu itu, Cik Nurhasfalilah akur bukanlah satu tugas yang mudah.

Cik Nurhasfalilah (kiri) dan Encik Remie (kanan) – yang bersama anak mereka Sarah dan Noah – akur terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar terutama apabila kedua-dua anaknya masih bayi dan harus dihantar ke pusat penjagaan bayi secara serentak.
Cik Nurhasfalilah (kiri) dan Encik Remie (kanan) – yang bersama anak mereka Sarah dan Noah – akur terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar terutama apabila kedua-dua anaknya masih bayi dan harus dihantar ke pusat penjagaan bayi secara serentak. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Ia menuntut pengorbanan fizikal dan mental yang amat mencabar.

“Ia memang sangat memenatkan. Bila fikir balik tentang umur kami sekarang, kami rasa dah tak larat dan tak praktikal daripada segi logistik untuk tambah anak lagi,” jelas Cik Nurhasfalilah, yang kini menetap bersama keluarganya di kondominium di Sembawang.

Daripada memaksa diri hingga menjejaskan keharmonian rumah tangga, mereka memilih untuk mengubah cara pandang terhadap konsep “ibu bapa yang baik”.

Tumpuan mereka kini bukan lagi pada bilangan anak, tetapi pada mutu perhatian yang mampu diberikan.

“Kami inginkan anak-anak membesar dengan seimbang, bukan saja dari segi IQ (kecerdasan otak), tapi juga EQ (kecerdasan emosi).

“Justeru, dengan dua anak, ia lebih mudah diurus dan lebih ‘kos efektif’.

“Biarlah mutu yang jadi keutamaan, bukan kuantiti, insya-Allah,” kata Cik Nurhasfalilah lagi.

Disebabkan pendapatan bersama mereka melebihi had kelayakan untuk menerima subsidi tambahan daripada pemerintah, Cik Nurhasfalilah dan Encik Remie perlu membiayai sendiri kos penjagaan awal kanak-kanak yang semakin melambung.

Pada 2020, mereka perlu membayar yuran penuh pusat penjagaan bayi untuk kedua-dua anak mereka serentak.

Ia menjadi antara komitmen bulanan terbesar yang memakan perbelanjaan tinggi.

“Perkara ini boleh dianggap kelakar dan ironi.

“Kita penat-penat kerja sepenuh masa semata-mata nak cari duit untuk bayar orang lain jaga anak kita, supaya kita boleh terus pergi kerja,” kata Cik Nurhasfalilah dengan tawa kecil.

Walaupun anak-anak pasangan itu kini sudah bersekolah, beban kewangan bertukar bentuk.

Encik Remie berkongsi tentang perbelanjaan kecil harian yang jarang tercermin dalam statistik utama negara, namun kesannya tetap dirasai oleh masyarakat.

“Orang selalu lihat kos yang besar-besar sahaja, tapi perkara seperti yuran bas sekolah harian juga sebenarnya mahal.

“Satu anak kosnya hampir $300 sebulan, untuk pergi dan balik sekolah.

“Kalau dua anak, tiada istilah diskaun adik-beradik. Tetap kena bayar penuh untuk setiap kepala,” kongsi Encik Remie, anak bongsu dua beradik.

Cik Nurhasfalilah dan Encik Remie akur perkara seperti yuran bas sekolah harian dan penjagaan anak memakan perbelanjaan besar setiap bulan.
Cik Nurhasfalilah dan Encik Remie akur perkara seperti yuran bas sekolah harian dan penjagaan anak memakan perbelanjaan besar setiap bulan. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Mengenai perancangan keluarga, pasangan itu lebih selesa mengambil pendekatan peribadi.

Mereka tidak bincang perkara tersebut dengan ibu bapa atau keluarga besar.

Sebaliknya, mereka membiarkan ahli keluarga memahami pendirian mereka sendiri untuk mempunyai dua orang anak sahaja.

Walaupun mereka tetap percaya anak itu membawa rezeki, mereka berpendapat ekosistem di Singapura hari ini seakan-akan memaksa ibu bapa untuk ‘mengehadkan’ bilangan anak demi kelangsungan hidup.

Bagi Cik Nurhasfalilah, sistem sokongan sedia ada untuk ibu bapa bekerja seolah-olah tidak realistik.

Beliau memberi contoh sistem Cuti Penjagaan Anak (CCL).

“Cuti CCL enam hari setahun sebenarnya tidak mencukupi.

“Anak-anak kalau sakit, bukan demam sehari, malah boleh hingga seminggu!

“Mereka juga jatuh sakit beberapa kali setahun.

“Ini belum termasuk lagi janji temu klinik atau acara berkaitan sekolah yang ibu bapa harus hadiri.

“Cuti enam hari itu secara realistik tidak cukup,” ulas Cik Nurhasfalilah.

Beban ini makin terasa apabila anak mula melangkah ke Darjah Satu.

Terdapat beberapa syarikat yang akan memotong cuti CCL kepada dua hari sahaja, sebaik anak mencecah tujuh tahun.

Padahal, apabila anak-anak di sekolah rendah, ibu bapa harus uruskan hari pembelajaran dari rumah (HBL) dan cuti sekolah seperti Hari Guru, Hari Belia dan cuti lain.

“Kami kemudian terpaksa korbankan cuti tahunan sendiri, semata-mata untuk duduk rumah jaga anak pada hari-hari sedemikian,” kata Cik Nurhasfalilah.

Bagi pasangan itu, trend jumlah kadar kesuburan (TFR) yang merosot dalam masyarakat Melayu adalah cerminan jelas kepada persekitaran tempat kerja dan sosial yang tidak fleksibel.

“Selagi sistem sokongan di tempat kerja tidak berubah untuk betul-betul faham situasi ibu bapa, selagi itulah pasangan muda akan fikir dua tiga kali untuk tambah anak,” tambah Cik Nurhasfalilah.

Ikutkan hati, memang kami nak suasana keluarga yang ramai dan meriah. Apabila nampak anak-anak main dengan bayi kawan-kawan, terdetik juga rasa rindu…tertanya-tanya macam mana agaknya kalau ada seorang lagi bayi di rumah. Tapi dengan segala kekangan yang ada, kami pilih untuk reda dan bersyukur dengan apa yang ada di depan mata.
Cik Nurhasfalilah Abdul Aziz.