Topik diikuti
Pergi ke BHkuBukan tolak rezeki, cuma belum bersedia timang cahaya mata
Bukan tolak rezeki, cuma belum bersedia timang cahaya mata
Bukan tolak rezeki, cuma belum bersedia timang cahaya mata
Biar lambat menimang cahaya mata, asalkan bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Itulah pendirian Eksekutif Sumber Manusia, Cik Syaza Haziqah Yamanhizas, 29 tahun, yang memilih untuk menangguhkan dahulu perancangan menimang cahaya mata bersama suaminya, Encik Sean Alharits Yew, 35 tahun.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2022 itu merancang untuk mempunyai seorang anak sahaja, sebelum Cik Syaza mencecah usia 35 tahun.
“Kami merancang untuk seorang anak sahaja, mungkin sebelum saya mencecah 35 tahun.
“Namun, sekiranya tidak dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata, kami juga reda menerimanya,” kata Cik Syaza kepada Berita Minggu (BM) baru-baru ini.
Bagi pasangan itu, memiliki anak bukan sekadar soal rezeki, tetapi juga soal tanggungjawab.
“Bukan tak nak anak. Kami cuma nak pastikan bila masanya tiba nanti, kami benar-benar bersedia.
“Kami tak mahu terburu-buru sehingga akhirnya terpaksa bergelut dengan tekanan kewangan dan cabaran mengimbangi kerjaya, dengan tanggungjawab menjaga anak,” kata Cik Syaza.
Keputusan itu mungkin berbeza dengan kebiasaan generasi terdahulu yang percaya ungkapan ‘banyak anak, banyak rezeki’.
Namun, pendekatan sedemikian semakin menjadi pilihan dalam kalangan pasangan muda hari ini.
Semakin ramai memilih menangguhkan kehamilan sehingga mereka benar-benar bersedia, terutama dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Trend itu turut dilihat dalam statistik jumlah kadar kesuburan (TFR) masyarakat Melayu di Singapura yang mencapai tahap terendah dalam sejarah iaitu 1.53 pada 2025, meskipun paling tinggi berbanding masyarakat lain.
Bagi Cik Syaza, membesarkan anak di Singapura hari ini memerlukan persediaan yang jauh lebih rapi berbanding dahulu.
Menurutnya, kos membesarkan anak bukan lagi sekadar menyediakan keperluan asas seperti makanan dan pakaian, malah merangkumi perbelanjaan penjagaan bayi, rawatan kesihatan serta pendidikan pada masa hadapan.
Bagi beliau, mencapai kestabilan kewangan bukan sekadar mempunyai pekerjaan tetap atau pendapatan yang selesa.
Ia juga bermakna mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menghadapi pelbagai keperluan apabila bergelar ibu bapa kelak.
Memberi gambaran tentang sasaran itu, Cik Syaza dan Encik Sean menetapkan matlamat untuk mengumpulkan simpanan sekitar $500,000 sebelum mempunyai anak.
“Kami mungkin baru sekitar 30 peratus daripada sasaran itu. Sebab itu, kami tidak mahu tergesa-gesa,” kata Cik Syaza.
Beliau yang menetap bersama suaminya di sebuah flat Bina Ikut Tempahan (BTO) tiga bilik di Tampines berkata, antara keutamaannya ialah melunaskan pinjaman pengubahsuaian rumah, mempunyai dana kecemasan sekurang-kurangnya enam hingga 12 bulan perbelanjaan, serta membina simpanan khas bagi menampung kos kehamilan, kelahiran dan penjagaan bayi pada tahun pertama.
“Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, kami tidak mahu mengambil risiko menimang cahaya mata sebelum benar-benar bersedia dari segi kewangan,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, beliau juga tidak mahu menunggu terlalu lama.
“Bagi saya, usia 35 tahun masih diberi kesihatan dan tenaga untuk membesarkan anak.
“Pada masa yang sama, kami harap kedudukan kewangan juga lebih stabil.
“Jika menunggu terlalu lama, simpanan persaraan dan perbelanjaan membesarkan anak mungkin perlu ditanggung serentak,” jelas Cik Syaza.
Ditanya mengapa beliau hanya merancang untuk mempunyai seorang anak, Cik Syaza berkata keputusan itu dibuat selepas melihat realiti kehidupan pasangan muda hari ini.
“Generasi ibu bapa kita membesarkan ramai anak dalam keadaan yang berbeza.
“Hari ini, kami mahu memastikan anak yang kami ada nanti mendapat sepenuh perhatian, sama ada dari segi emosi, masa mahupun kewangan,” ujar beliau.
Menariknya, mereka berdua juga dibesarkan dalam keluarga yang besar.
Cik Syaza merupakan anak sulung daripada lima beradik, manakala suaminya ialah anak ketiga daripada tujuh beradik.
Pengalaman membesar dalam suasana rumah yang sentiasa riuh, sedikit sebanyak membentuk cara mereka melihat kehidupan berkeluarga.
“Sebab kami sendiri datang daripada keluarga besar, kami tahu macam mana keadaannya. Memang meriah, tetapi pada masa sama agak kelam-kabut juga.
“Mungkin sebab itu kami lebih cenderung untuk mempunyai keluarga yang kecil.
“Kami mahukan suasana yang lebih tenang,” katanya sambil ketawa.
Selain faktor kewangan, pengalaman melihat kehidupan rakan-rakan yang sudah bergelar ibu bapa turut mempengaruhi keputusan mereka.
“Ada yang terlalu penat mengimbangi kerjaya dengan tanggungjawab menjaga anak sehingga tiada lagi masa untuk diri sendiri atau pasangan.
“Ada juga yang bergantung kepada datuk dan nenek atau pembantu rumah kerana komitmen kerja.
“Kami juga melihat ada pasangan yang tertekan apabila perbelanjaan harian meningkat secara mendadak selepas mempunyai anak.
“Semua pengalaman itu membuatkan kami rasa lebih baik menunggu sehingga benar-benar bersedia,” kongsi beliau.
Walaupun begitu, Cik Syaza menegaskan keputusan mereka bukan bermakna mereka menolak rezeki.
“Kami percaya rezeki itu datang dalam pelbagai bentuk.
“Kalau suatu hari nanti kami dikurniakan anak, kami bersyukur. Kalau sebaliknya, kami juga reda.
“Bagi kami, perkahwinan yang bahagia dan tenang juga satu rezeki,” katanya lagi.
