LOS ANGELES: Keluarga bintang popular Hollywood, Bruce Willis, dilapor bercadang menderma otaknya, andai tiba waktu beliau yang terkenal dengan watak John McClane dalam filem francais, Die Hard, menemui ajal.

Laporan agensi menyebut keluarga Willis mahu menderma otak aktor itu bagi tujuan penyelidikan saintifik bagi memperluaskan pemahaman terhadap penyakit demensia frontotemporal yang dihidapinya.

Bagaimanapun, setakat ini, tiada pengumuman rasmi dibuat keluarga Willis, yang menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-71 Mac lalu, mengenai sumbangan organ berkenaan.

Willis mengundur diri daripda dunia lakonan selepas disahkan menghidap penyakit afasia – iaitu gangguan komunikasi yang disebabkan oleh kerosakan otak, biasanya akibat strok – pada 2022, sebelum keadaannya berkembang kepada demensia frontotemporal, setahun kemudian.

Penyakit itu dilapor menjejaskan keupayaan komunikasi, tingkah laku serta fungsi kognitif, sekali gus mengehadkan kemunculan awam beliau sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pakar perubatan menyifatkan sumbangan otak untuk penyelidikan sebagai langkah penting dalam usaha memahami bagaimana penyakit berkenaan berkembang, selain membuka ruang kepada penemuan rawatan baharu pada masa hadapan.

Dalam kehidupan peribadi, Willis pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Demi Moore, pada 1987 sebelum berpisah pada 2000.

Walaupun tidak lagi bersama, hubungan mereka kekal baik dan dikurniakan tiga anak perempuan, iaitu Rumer, Scout dan Tallulah.

Menurut laporan Celebrity Net Worth, sepanjang kerjayanya, Willis pernah meraih puluhan juta dolar bagi setiap filem ketika di puncak populariti.

Wataknya sebagai John McClane dalam francais Die Hard menjadi antara penyumbang utama kejayaan komersial, termasuk melalui perjanjian keuntungan lumayan.

Pendapatan daripada filem seram, The Sixth Sense, turut mencuri perhatian apabila beliau memperoleh bayaran berdasarkan peratusan keuntungan filem berkenaan.

Willis mula mencipta nama menerusi siri televisyen, Moonlighting, sebelum melangkah ke layar perak dan membintangi filem ikonik seperti Pulp Fiction, Armageddon dan The Fifth Element, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai bintang global.

Selain lakonan, Willis melabur dalam hartanah dengan memiliki beberapa kediaman di Idaho, California dan New York, Amerika Syarikat, yang sebahagiannya dijual pada harga jutaan dolar.

Walaupun tidak lagi aktif di layar perak, karya lakonan Willis terus menjana pendapatan menerusi pelesenan dan penstriman, sekali gus memastikan legasi beliau kekal bertahan dalam industri hiburan Hollywood. – Agensi berita.