Kemahiran belajar yang ibu bapa sering terlepas pandang
Kesedaran tentang proses berfikir boleh bantu kawal pembelajaran, belajar dengan lebih baik
Apabila ibu bapa memikirkan tentang pendidikan anak, mereka kerap memberi tumpuan kepada kemahiran asas dan keputusan peperiksaan, sejauh manakah usaha anak, serta kesejahteraan mereka.
Namun, ada satu lagi faktor penting yang mempengaruhi kejayaan anak di sekolah.
Faktor ini ialah metakognisi (metacognition).
Apakah itu metakognisi? Mengapakah ia penting?
Dan bagaimana ibu bapa boleh membantu anak membangunkan kemahiran ini?
Apakah metakognisi?
Metakognisi sering dirujuk sebagai proses berfikir tentang cara kita berfikir.
Ia merujuk kepada kesedaran tentang bagaimana minda kita berfungsi, dan bagaimana kita menggunakan kesedaran itu untuk belajar dengan lebih baik, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.
Untuk membangunkan metakognisi, kita memerlukan pengetahuan metakognitif dan kemahiran metakognitif.
Pengetahuan metakognitif ialah apakah yang kita tahu tentang diri kita sebagai pelajar, strategi yang kita gunakan, dan sebab sesetengah pendekatan lebih berkesan berbanding yang lain.
Ia termasuk memahami keadaan yang membantu kita belajar, cara menggunakan strategi tertentu, dan apabila strategi itu sesuai digunakan.
Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang sudah berbaring di katil tiba-tiba teringat dia terlupa menyiapkan kerja sekolah yang perlu dihantar keesokan hari.
Keadaan itu memberi peluang kepadanya untuk memikirkan strategi yang boleh digunakan supaya perkara yang sama tidak berulang.
Kemahiran metakognitif pula ialah tindakan yang kita ambil berdasarkan pengetahuan itu.
Ia merangkumi perancangan, pemantauan dan penilaian.
Bayangkan seorang pelajar yang sedang mengulang kaji untuk ujian Matematik.
Dia bermula dengan merancang dan menetapkan matlamat untuk mengulang kaji satu topik selama 20 minit menggunakan soalan latihan.
Semasa belajar, dia memantau kemajuannya.
Dia sedar dia asyik membaca soalan yang sama tetapi masih tidak faham.
Justeru, dia cuba strategi lain.
Selepas ujian, dia menilai semula pendekatannya dan menyedari dia perlu berlatih secara lebih tekal pada masa akan datang.
Apabila kanak-kanak memahami cara mereka belajar dan menggunakan kefahaman itu, mereka akan menjadi lebih yakin, lebih teratur dan lebih mampu menyesuaikan diri apabila berdepan kesukaran.
Mengapakah metakognisi penting?
Metakognisi memberi pelajar alat mengawal pembelajaran mereka sendiri dan menerapkan apakah yang mereka tahu.
Namun, kemahiran itu tidak datang secara semula jadi, malah, ia perlu diajar.
Kajian menunjukkan apabila sekolah mengajar pelajar secara langsung cara merancang, memantau dan menilai pembelajaran mereka, pencapaian dan hasil pembelajaran pelajar akan meningkat.
Dalam kajian kami di sebuah sekolah bebas besar di Australia, kami meminta 241 pelajar sekolah menengah menilai dan memantau tahap pemahaman mereka terhadap kemahiran dunia sebenar seperti komunikasi, pemikiran kreatif dan pemikiran kritikal.
Selepas menjalani dua pusingan penilaian secara sendiri, pelajar menerima maklum balas tentang tahap pembelajaran mereka dan langkah seterusnya yang boleh diambil.
Ramai pelajar mengatakan ini membantu mereka mengenal pasti kekuatan diri dan cara memperbaiki kelemahan.
Namun, ada juga yang menyatakan mereka memerlukan lebih banyak bimbingan guru untuk mengaitkannya dengan pembelajaran di dalam kelas.
Ini menunjukkan mengapa metakognisi perlu diajar.
Pelajar memerlukan bimbingan dan sokongan untuk tahu bagaimana memantau pembelajaran dan menerapkannya dengan berkesan.
Apakah yang boleh ibu bapa lakukan?
Berikut ialah empat cara ibu bapa boleh membantu membangunkan metakognisi anak:
Suarakan fikiran secara terbuka
Kongsi proses pemikiran anda secara terbuka di hadapan anak.
Contohnya, apabila merancang hari anda, terangkan anda sedang menyenaraikan perkara yang perlu dilakukan dan akan memulakan dengan tugasan yang paling penting.
Jadikan kesilapan sesuatu yang normal
Tunjukkan kepada anak bahawa kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dan selalunya menandakan kita perlu menggunakan strategi berbeza.
Contohnya, jika anda terlupa membeli satu bahan di pasar raya, anda boleh berkata, “Lain kali, saya akan buat senarai dalam telefon supaya tidak terlupa”.
Gunakan rutin agar dapat terap semangat berdikari
Rutin harian membantu anak belajar merancang dan mengurus pembelajaran mereka.
Tugasan mudah seperti mengemas beg sekolah atau merancang kerja rumah memberi peluang kepada anak untuk berlatih membuat perancangan, menyemak keperluan sendiri dan menyesuaikan diri apabila ada perubahan.
Galak muhasabah diri
Bantu anak berfikir tentang pembelajaran dan pengalaman mereka.
Selepas sekolah, anda boleh bertanya, “Apakah yang kamu belajar hari ini?” atau “Bahagian manakah yang kamu rasa sukar?”
Apabila sesuatu tidak berlaku seperti dirancang, contohnya terlupa membawa barang ke sekolah, tanyakan, “Apakah yang boleh kamu buat berbeza lain kali?”
Melissa Barnes ialah Profesor Madya di Universiti La Trobe, Australia, manakala Kate Lafferty ialah Pensyarah Penilaian dan Pedagogi di Universiti La Trobe, Australia. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, sebuah laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.


