Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

IMBASAN DUNIA HIBURAN NUSANTARA

Kemanisan 2021 terpahat di hati artis serantau

Dec 29, 2021 | 05:30 AM



DALAM masa beberapa hari sahaja, kita akan mengucapkan 'Selamat Tinggal kepada 2021', yang meninggalkan seribu satu kenangan, baik susah mahupun senang, pahit mahupun manis.



Jika diimbas semula dunia hiburan serantau, baik di Singapura, Malaysia mahupun Indonesia, akan terpahatlah di ingatan mengenai tahun kebangkitan anak seni yang terus berjuang di tengah-tengah pandemik yang menanti masa untuk reda sepenuhnya.



Apakah yang manis diraikan pada 2021 dalam kalendar selebriti Nusantara? Apakah iktibar yang juga dapat diraih daripada semangat penghibur yang tidak lelah menebar kebaikan?



DIHUJANI MAJLIS KAHWIN



Sedang hujan turun membasahi bumi sehingga ramai di seberang Tambak teruji dek banjir pada penghujung tahun, ramai juga selebriti yang bergelar raja sehari.



Dek sekatan pandemik Covid-19, kebanyakan majlis persandingan diadakan dalam keterbatasan jumlah tetamu. Namun, tidak kurang meriahnya majlis yang diadakan dengan iringan tawa anggota keluarga, saudara-mara dan kenalan selebriti terdekat.



Majlis kahwin yang dinanti-nantikan di Malaysia atau boleh disifatkan sebagai 'Wedding of the Year' pastinya milik pasangan pelakon sama cantik sama padan, Kamal Adli, 35 tahun; dan Uqasha Senrose, 29 tahun.



Mereka, yang dua kali berturut-turut memenangi piala Gandingan Serasi Drama Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian Malaysia, sah bergelar suami isteri pada 5 November lalu.



Secara kebetulan, pelakon gandingan Kamal dan Uqasha dalam drama Perempuan Tanpa Dosa, Uyaina Arshad, 29 tahun, turut memilih 2021 sebagai tahun menamatkan zaman bujang.



Pada 21 Disember lalu, Uyaina yang juga pengacara MeleTOP dan Dangdut Academy Asia, dianggap 'off market' apabila bernikah dengan penyanyi, Raja Syahiran, 28 tahun, di Colony Star Boulevard, KLCC.



Walaupun berdepan dengan masalah pelamin asal musnah akibat banjir apabila air memasuki gudang penyimpanan barangan kelengkapan kahwin, Uyaina dan Raja Syahiran meneruskan sahaja hari bahagia mereka dengan pelamin baru.



Boleh dikatakan tarikh 21 Disember 2021 cukup 'hot' sebagai pilihan mempelai selebriti untuk mendirikan mahligai.



Pasangan lain yang diijabkabulkan termasuk pelakon Oktovia Manrose, 30 tahun, bersama bekas pemain bola sepak Felda United, Mohamad Khairul Efsan Mdisa.



Ini merupakan perkahwinan kedua Oktovia, ibu seorang anak lelaki.



Turut bernikah buat kali kedua adalah usahawan selebriti dan pempengaruh sosial, Intan Liana Saleh, 36 tahun, ibu dua anak, bersama pilihan hatinya, Mohd Aizam Yahya, 25 tahun.



Kematangan dan kesabaran Aizam menjadi sebab mengapa Intan, bekas isteri pemuzik Ude, tertarik dan yakin beliau dapat menjadi ayah yang baik buat anak-anaknya.



Di Singapura pula, pada 21 November lalu, telah terhidu nasi minyak pengacara dan pelakon, Fatin Amira, bersama pasangannya, Khairul Fadly.



"Saya mendirikan rumah tangga bersama seseorang yang saya tidak mampu hidup tanpanya - teman mengadu, sahabat baik dan jejaka idaman saya setiap hari. Setiap saat penuh barakah dan bagai dalam mimpi," catat Fatin di Instagramnya.



MUSIM GENDONG CAHAYA MATA



Alam rumah tangga dan bergelar isteri sudah dilalui dua pelakon dan pengacara setempat, Atyy Malek dan Farhana M. Noor.



Kini, kedua-duanya semakin berseri-seri wajah cerianya dek kesibukan menggalas amanah sebagai seorang ibu.



Pelakon Aduh... Bibikku, Atyy, 30 tahun; dan suami Muhammad Syahmi Kadir, 29 tahun, seorang pegawai polis, menyambut kelahiran bayi lelaki mereka, Tyzeer Shaayan, pada 22 September lalu.



Pelakon Bunga Tanjong, Farhana, 30 tahun, dan suami, Norshafiq Ridzwan, 32 tahun, seorang penyanyi, pula gembira bergelar ibu ayah kepada Muhammad Dayyan, dua bulan lalu.



Di seberang Tambak, 2021 juga tahun bermakna buat pelakon dan penyanyi Ayda Jebat, 29 tahun, dan suaminya, pengacara Nabil Mahir, 33 tahun.



Bayi perempuan yang dilahirkan Ayda pada 21 September lalu diberi nama Ana Nayla.



ERA BINTANG TULAR



Kalau sebut nama penyanyi muda Malaysia, Lia Aziz, mungkin tidak ramai yang tahu siapa bintang remaja berusia 18 tahun ini.



Namun, kalau diberikan judul lagu tularnya, Kucu Kuca, pasti ramai yang ingat akan runut bunyi drama Rindu Awak Separuh Nyawa ini.



Pada 2021, rezeki berpihak pada Lia apabila 'single' pertamanya itu meledak dan menjadi siulan ramai selebriti termasuk yang mapan.



Sehingga hari ini, Kucu Kuca sudah distrim lebih 1.66 juta kali di Spotify. Video muzik rasminya di YouTube pula sudah ditonton lebih 12 juta kali sejak dimuatnaikkan pada 24 Mac lalu.



Di Indonesia pula, wujud fenomena yang tercetus daripada peserta Indonesian Idol, Jemimah Cita, 22 tahun, meskipun beliau bukan juara pertandingan itu.



Satu cabaran di media sosial yang dipanggil 'Jemimah Challenge' diadakan dan turut disertai bintang ternama dari Nusantara.



Ini menyusuli kelakonan cemerlang Jemimah yang menyanyikan lagu Ungu, Cinta Dalam Hati, dengan lontaran suara lunaknya.



Bukti Jemimah satu fenomena pada 2021 adalah apabila klip video Separuh, 'single' pertamanya, sudah ditonton hampir 600,000 kali meskipun baru dimuatnaikkan pada 6 Disember lalu.



ARTIS VETERAN 'MELEDAK' DI YOUTUBE



Dalam tempoh pandemik ini, cukup menggalakkan apabila melihat lebih ramai artis veteran mula berjinak-jinak dengan teknologi.



Di Indonesia, wujud trend artis veteran era 1970-an dan 1980-an yang teruja menjadi 'YouTuber' dengan mengusahakan saluran YouTube mereka sendiri semasa ketiadaan projek seni dek penularan koronavirus.



Antara yang gigih membangun kandungan YouTube adalah pasangan penyanyi, Titiek Sandhora dan Muchsin Alatas, serta nama besar lain dalam industri hiburan Indonesia, Rano Karno, Roy Marten dan Jenny Rachman.



SEMANGAT MEMBANTU SELEBRITI MENCURAH



Daripada membantu mereka yang dibelenggu masalah kewangan sewaktu pandemik hinggalah tatkala melihat ramai yang terjejas dek banjir besar - inilah antara kerja kemasyarakatan yang menyatukan artis seberang Tambak dalam tempoh sukar. Ia membawa iktibar dengan mereka merasai nikmat berbakti buat golongan memerlukan.



Beberapa artis Budak Baru Nak Up (BBNU) seperti Nabila Razali, Wany Hasrita, Ismail Izzani serta pasangan Syamel dan Ernie Zakri yang turun padang bagi membantu mangsa banjir.



Sambil berkongsi video beliau membersihkan rumah mangsa banjir yang dimasuki air, Nabila, 29 tahun, mencoret di Instagram:



"Tiada yang glamor mengenai usaha artis memberikan bantuan. Ia hanyalah satu usaha seorang insan membantu insan yang lain. Jika anda berpeluang berbuat demikian, lakukanlah. Tak dapat bagi duit, bagi tenaga. Semoga kita semua dilindungi-Nya."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >