Balu kepada mangsa kemalangan jalan raya di kawasan Taman Pantai Changi pada 5 November merayu agar telefon bimbit suaminya yang hilang sewaktu kejadian, dikembalikan supaya urusan mereka dapat dilaksanakan segera.
Allahyarham Encik Muhammad Isma Azwa Md Salleh, 33 tahun, ialah warga Malaysia yang berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura, di mana beliau bekerja sebagai Hydrographic Surveyor dengan syarikat Boskalis International (Singapore) Pte Ltd.
Kemalangan yang meragut nyawanya itu terjadi di Taman Pantai Changi sekitar 8 pagi.
Beliau meninggalkan seorang isteri, Cik Norshahirah Nabihah Mohammad Azan, 33 tahun, dan seorang anak lelaki, Yusuf Muhammad Isma Azwa, yang baru berusia lapan bulan.
Tangkapan skrin yang dikongsikan di media sosial juga menyatakan pasangan ini telah menunggu tujuh tahun untuk menimang cahaya mata.
Menurut kakak ipar arwah, Cik Nurshahirah Nadiah Muhammad Azan, 37 tahun, pasangan yang berasal dari Kelantan ini dulu menetap di Kuala Lumpur dan mereka telah berpindah ke Johor Bahru sekitar dua tahun lepas untuk memudahkan Allahyarham berulang-alik untuk bersama dengan keluarganya setiap hari.
Keluarga arwah meminta bantuan orang ramai untuk mendapatkan semula telefon bimbit iPhone kepunyaan arwah, yang hilang sewaktu kemalangan berlaku.
Polis, ahli keluarga dan sahabat handai telah cuba mencari telefon itu, tetapi belum ditemui, kata Cik Nurshahirah Nadiah lagi.
“Arwah telah berkongsi dengan isterinya pada malam sebelum kejadian bahawa beliau telah menuliskan pesanan dalam telefon bimbitnya itu, termasuk niat nazar dan juga informasi tentang akaun bank yang telah dibukanya untuk anak mereka,” kata Cik Nurshahirah Nadiah ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Gambar terakhir arwah bersama anaknya diambil sehari sebelum itu sewaktu mereka di pantai. Cik Nurshahirah Nadiah juga berkongsi adik iparnya menunggang motosikal Vespa yang sedang berada di jalan lurus, dan telah dilanggar oleh sebuah kereta Honda yang sedang membelok.
“Kami tahu telefon bimbitnya telah diambil orang, kerana isterinya dapat menyemak lokasi yang dikongsikan oleh suaminya terdahulu. iPhone itu nampaknya telah dialihkan tapi kami belum dapat pastikan lokasinya,” tambah Cik Nurshahirah.
Allahyarham Encik Isma telah dibawa ke Hospital Besar Changi untuk mendapat rawatan segera tetapi malangnya tidak dapat diselamatkan akibat pelbagai kecederaan dalaman. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir sekitar 11.15 pagi.
Hingga 4 petang 6 November, wartawan difahamkan jenazah baru dibedah siasat dan telah diuruskan oleh syarikat dan kawan-kawan untuk dibawa pulang ke Kelantan.
Isterinya Cik Norshahirah Nabihah, dan dua adik-beradiknya, berada di Singapura untuk bersama Allahyarham.
Cik Nurshahirah Nadiah, yang telah diwakilkan oleh adiknya Cik Norshahirah Nabihah untuk bercakap dengan BH, berkata sewaktu mendapat panggilan dari adiknya itu beliau turut bersedih dan terkesan dengan apa yang telah ditakdirkan.
“Macam mana Yusuf nak tidur? Macam mana nak hidup?” merupakan rintihan pedih balu Allahyarham ketika memberitahu keluarganya tentang kematian suaminya di Singapura.
“Kalau ada niat untuk menjual telefon itu, lebih baik jual pada kami. Kami tak marah, kami cuma inginkan telefon itu,” tambah Cik Nurshahirah lagi.
Mereka yang ada butiran tentang telefon bimbit itu diminta menghubungi isteri atau keluarganya secepat mungkin.
Mereka boleh menghubungi Cik Norshahirah Nabihah di +60 19766 5773 atau Cik Nurshahirah Nadiah di +60 13969 6212


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg