Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemalangan dalam perjalanan pulang ke JB, rakyat M’sia dirawat di ICU

Oct 24, 2024 | 11:52 AM
Encik Akif-Zarr Ukasyah Shuhaimi, 28 tahun, dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru dari tempat kerjanya di Bencoolen Street apabila ditimpa kemalangan jalan raya di  Ekspreswe Ayer Rajah (AYE). Beliau kini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Universiti Nasional (NUH).
Encik Akif-Zarr Ukasyah Shuhaimi, 28 tahun, dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru dari tempat kerjanya di Bencoolen Street apabila ditimpa kemalangan jalan raya di  Ekspreswe Ayer Rajah (AYE). Beliau kini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Universiti Nasional (NUH). - Foto BERNAMA

Seorang rakyat Malaysia kini terlantar di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Universiti Nasional (NUH) Singapura selepas terbabit dalam satu kemalangan di Ekspreswe Ayer Rajah (AYE).

Encik Akif-Zarr Ukasyah Shuhaimi, 28 tahun, yang baru mendirikan rumah tangga tiga minggu lalu, dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru dari tempat kerja apabila digilis sebuah motosikal berkuasa tinggi setelah beliau terjatuh dari motosikalnya semasa cuba mengelak kemalangan lain.

Encik Akif-Zarr yang berasal dari Kelantan dan bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat makanan dan minuman (F&B) di Bencoolen Street, cedera serius pada tulang belakang, patah tangan kiri selain pendarahan dalaman akibat kecederaan paru-paru.

Isterinya, Cik Nur Syahirah Md Zohir yang bekerja di Kulim, Kedah berkata keluarga diminta membayar sekurang-kurangnya 50 peratus kos rawatan di NUH sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

“Sebelum ini suami memang dinasihatkan untuk tidak dipindahkan kerana belum stabil. Hospital baru sahaja maklumkan petang tadi bahawa Akif-Zarr sudah boleh dipindahkan,” katanya kepada BERNAMA ketika ditemui di NUH.

Menurut laporan Berita Harian Malaysia, bil setakat 23 Oktober berjumlah S$110,537.60.

Cik Nur Syahirah yang kelihatan sugul berkata mereka sekeluarga kini runsing memikirkan bil hospital yang perlu diselesaikan.

Ibu Encik Akif-Zarr, Cik Ku Amazon Tuan Yusof, yang bekerja sebagai guru di sebuah sekolah negeri di Kelantan berkata mereka sekeluarga kini berulang alik dari Johor Bahru setiap hari bagi melawat anak keduanya itu.

Beliau berkata mereka kini menumpang di rumah kawan Encik Akif-Zarr dan akan berada di hospital sehingga waktu melawat berakhir pada 8 malam setiap hari.

“Saya tengok keadaannya, Akif-Zarr memang perlukan sokongan kami sekeluarga. Jadi, walaupun dengan keadaan yang kurang sihat, kami akan tetap berulang alik sampai beliau boleh pindah ke HSA,” katanya yang menghidap hipertensi, selain bapa Encik Akif-Zarr yang mempunyai penyakit jantung.

Cik Ku Amazon berkata, beliau memohon jasa baik orang ramai untuk mendoakan semoga anak kedua daripada enam adik beradik itu yang selama ini menjadi harapan keluarga cepat sembuh dan tabah menghadapi proses penyembuhan yang panjang.

“Doktor beritahu masih ada beberapa pembedahan yang perlu dilakukan. Kami hasrat untuk buat di Johor nanti.

“Keutamaan kami, selesaikan bil di sini dan kemudiannya fikirkan langkah seterusnya.

“Doktor juga ada minta kami sediakan kerusi roda. Kami sekeluarga ada ikhtiar untuk jual apa yang ada namun semua itu perlukan masa, dan kami kesuntukan waktu,” katanya.

Cik Ku Amazon berkata buat masa ini walaupun dalam keadaan yang lemah,Encik Akif-Zarr sudah mampu berkomunikasi dengan menulis.

“Kami berterima kasih pada NUH sebab bagi rawatan selain prihatin. Pekerja sosial juga ada jumpa tanya keadaan kami.

“Kami juga berterima kasih pada yang telah dan akan menyumbang,” katanya. – Bernama

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg