Kembara demi rawatan kecantikan kian popular, namun digesa waspada

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kembara demi rawatan kecantikan kian popular, namun digesa waspada

Pakar: Perlu berhati-hati, apabila timbul masalah sukar diurus dari luar negara
Feb 8, 2026 | 5:30 AM

Kembara demi rawatan kecantikan kian popular, namun digesa waspada

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Dr Elias Tam
Dr Elias Tam membuat rawatan kecantikan di EHA Clinic. - Foto EHA CLINIC

Memanjakan diri dengan rawatan kecantikan di Singapura telah menjadi satu keperluan bagi karyawan pemasaran, Cik Sofia Kim Marisa Mazlan, 29 tahun.

Namun, sejak 2022, beliau menemui destinasi alternatif yang dirasakan lebih berbaloi dan menawarkan pilihan rawatan yang lebih pelbagai: Korea Selatan.

Sejak itu, Cik Sofia sanggup berulang-alik ke Seoul dua hingga tiga kali setahun, semata-mata untuk rawatan estetik, termasuk pencerahan kulit, sokongan imuniti, pengurangan lemak serta suntikan lemak merah jambu atau pink fat injections.

“Saya memilih untuk menjalani rawatan di Seoul terutamanya kerana ia lebih mudah diakses dan menjimatkan berbanding Singapura.

“Selain itu, Korea Selatan mempunyai industri estetik yang sangat mantap dan maju. Memandangkan betapa menonjolnya budaya kecantikan di sana, saya secara peribadi mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi terhadap doktor serta klinik di situ,” kongsinya kepada Berita Minggu (BM).

Cik Sofia Kim Marisa Mazlan terbang ke Seoul dua hingga tiga kali setahun untuk menjalani rawatan estetik.
Cik Sofia Kim Marisa Mazlan terbang ke Seoul dua hingga tiga kali setahun untuk menjalani rawatan estetik. - Foto ihsan SOFIA KIM MARISA MAZLAN

Bagaimanapun, Cik Sofia bukanlah satu-satunya yang mengikuti arus ini.

Sebaliknya, beliau mencerminkan perubahan sikap dalam kalangan pelancong Singapura, yang kini semakin kerap merancang percutian demi rawatan kecantikan, malah menjadikan lawatan ke klinik estetik sebagai persinggahan wajib dalam jadual perjalanan.

Tinjauan menunjukkan bahawa peralihan ini didorong terutamanya oleh golongan pengembara muda.

Menurut laporan Trend Perjalanan 2026 oleh wadah tempahan perjalanan Skyscanner, 37 peratus pengembara Gen Z merancang untuk mendapatkan rawatan kecantikan dan mengunjungi kedai penjagaan kulit semasa melancong pada tahun 2026, berbanding hanya 16 peratus dalam kalangan pengembara generasi Boomer.

Gen Z merujuk kepada individu berusia antara 14 dengan 29 tahun, manakala golongan Boomer terdiri daripada mereka yang berumur dari 62 hingga 80 tahun.

Laporan tersebut turut mendedahkan bahawa antara pendorong utama aktiviti berkaitan kecantikan di luar negara ialah keinginan untuk mencuba sesuatu yang baru (46 peratus) serta akses kepada produk tempatan yang tidak boleh ditemui dalam negara asal (45 peratus).

Seiring itu, pengasas bersama dan ketua pegawai operasi perkhidmatan concierge pelancongan perubatan Himedi, Encik Will Ban, berkata demografik yang berkembang pesat dari segi permintaan ialah warga dewasan muda yang berusia 20an hingga awal 40an tahun, terutamanya dari Asia Tenggara termasuk Singapura.

Himedi berfungsi sebagai perkhidmatan ‘concierge’ yang menghubungkan pelanggan dengan hospital dan klinik yang telah disaring di Korea bagi pemeriksaan kesihatan, rawatan estetik, pergigian serta penjagaan penglihatan, berdasarkan jadual perubatan yang disesuaikan.

Menurut Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Korea, negara tersebut menyaksikan permintaan melonjak selepas 2022, dengan negara tersebut menerima lebih 1.17 juta pelanggan asing pada 2024, jumlah yang hampir berganda dari tahun ke tahun.

Dalam pada itu, Cik Ban berkongsi pemerhatian bahawa terdapat peralihan sikap daripada prosedur pembedahan besar ke arah rawatan yang tidak invasif atau kurang invasif.

“Pelanggan muda lebih tertumpu kepada pencegahan, penjagaan berterusan serta hasil yang kelihatan semula jadi, berbanding perubahan yang drastik,” ujarnya.

Korea Selatan popular sebagai salah satu destinasi antaranya kerana pengaruh media sosial dan standard kecantikan yang ditonjolkan di negara itu.

Pelancong lain yang merupakan sebahagian daripada ‘trend’ ini turut mengambil kira jarak sebagai faktor utama apabila ingin mendapatkan rawatan kecantikan.

Pelakon dan penyanyi tempatan, Cik Ikah Jamil, yang sering berkongsi rutin penjagaan kulit dan tip kecantikan di media sosial, berkata Batam tetap menjadi pilihan utamanya.

Ini terutamanya kerana jaraknya yang sangat dekat dengan Singapura tanpa perlu menaiki pesawat.

Dalam pada itu, beliau dapat menjimatkan antara 20 dengan 30 peratus daripada perbelanjaan untuk tujuan estetik.

Selain itu, tawaran rawatan perubatan di sana juga lebih pelbagai berdasarkan bajet masing-masing.

Contohnya, bagi rawatan penyegar kulit, anggaran kos adalah serendah $80 hingga ke $300 yang termahal, kongsinya, yang juga pengasas agensi pembantu rumah, Bibik2Go.

Cik Ikah Jamil menjalani rawatan di Napskin yang terletak di Batam, Indonesia.
Cik Ikah Jamil menjalani rawatan di Napskin yang terletak di Batam, Indonesia. - Foto ihsan IKAH JAMIL

“Sebut sahaja Batam, ada yang mungkin beranggapan ia sedikit meragukan atau membuatkan mereka kurang yakin. Namun, selepas mencubanya sekali, saya benar-benar yakin. Lagipun, rawatan dijalankan oleh doktor bertauliah, bukan jurusolek, dan mereka akan menunjukkan produk yang digunakan sebelum rawatan dilakukan,” katanya, sambil merujuk kepada klinik Napskin yang kerap dikunjunginya.

Beliau menekankan bahawa pelancong juga perlu membuat tinjauan dan kajian terlebih dahulu tentang proses atau produk kecantikan, dan bukannya menjalani rawatan sewenang-wenangnya tanpa pengetahuan.

Doktor kecantikan tempatan, Dr Elias Tam, akur bahawa golongan muda Gen Z mempunyai keinginan untuk memperbaiki ciri wajah mereka, didorong sebahagian besarnya oleh video yang ditonton dalam media sosial.

Namun beliau mengingatkan bahawa setiap prosedur tentunya datang dengan risiko.

“Ia mungkin kecil dan bersifat sementara, dan boleh pulih dengan sendiri.

“Masalah timbul apabila keadaan menjadi teruk, seperti halangan vaskular atau tentangan terhadap produk yang disuntik, menjadikan ia sukar untuk diurus dari luar negara.

“Hampir mustahil untuk mendapatkan huraian disebabkan jarak dan keperluan untuk melakukan perjalanan (jauh).

“Kami pernah merawat beberapa komplikasi sebegini, dan pesakit tersebut akhirnya menyedari bahawa ia sebenarnya tidak berbaloi untuk mendapatkan rawatan estetik di luar negara,” jelasnya, yang juga pengasas dan pengarah perubatan di EHA Clinic.

Pengasas dan pengarah perubatan di EHA Clinic, Dr Elias Tam menjalankan rawatan suntikan.
Pengasas dan pengarah perubatan di EHA Clinic, Dr Elias Tam menjalankan rawatan suntikan. - Foto EHA Clinic

Seiring itu, pelancong digesa agar tidak terpedaya dengan klinik popular atau apabila rawatan yang ditawarkan terlalu murah.

Popular tidak semestinya baik, tegas Dr Tam.

Encik Ban berkata pelanggan patut menganggap prosedur estetik sebagai keputusan perubatan dan bukan sekadar pembelian.

“Pertimbangan utama termasuk mengesahkan kelayakan doktor, memahami hasil yang realistik, memastikan perancangan penjagaan sebelum dan selepas rawatan dijalankan dengan betul, serta mengelak klinik yang terlalu agresif dalam penjualannya tanpa justifikasi perubatan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg