Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kembara ke Hong Kong dengan kemudahan mesra Muslim

Menggabungkan keindahan tradisi dengan pesona gaya hidup moden, Hong Kong membuka pintunya sebagai destinasi pilihan untuk pelancong Muslim. Dengan lebih 130 restoran halal, kemudahan solat di pelbagai lokasi, setiap detik di sini menjadi memori yang penuh makna. Dengan panduan ini, sediakan diri anda untuk pengembaraan yang menggamit hati dan jiwa.
Feb 2, 2025 | 5:30 AM
Kampung Nelayan Tai O, salah satu destinasi yang dikunjungi semasa lawatan ke Hong Kong baru-baru ini.
Kampung Nelayan Tai O, salah satu destinasi yang dikunjungi semasa lawatan ke Hong Kong baru-baru ini. - Foto HKTB

Dengan keunikan pasar jalanannya yang penuh warna-warni, pusat beli-belah mewah dan pelbagai pilihan makanan halal, Hong Kong menjadi destinasi idaman yang memenuhi kehendak ramai pelancong.

Bagi golongan Muslim, terdapat juga kemudahan makanan halal, jadi memang tiada batasan dalam menikmati juadah yang memuaskan hati.

Berita Harian/Minggu (BH/BM) meneroka tempat-tempat mesra Muslim yang meliputi lokasi bersejarah dengan budaya penting, serta restoran-restoran yang disahkan halal. Gunakan ini sebagai panduan perjalanan anda setibanya di Hong Kong.

View post on Instagram
 

Hari Pertama

MENJAMU SELERA DI PASTEAKO

Cef menyediakan hidangan daging stik dengan pasta di Restoran Pasteako.
Cef menyediakan hidangan daging stik dengan pasta di Restoran Pasteako. - Foto HKTB

Selepas penerbangan empat jam yang memenatkan, kami memulakan pengembaraan Hong Kong di Restoran Pasteako.

Walaupun restoran Italy ini baru disahkan halal pada Oktober 2024, ia sudah pun terkenal dengan keunikan pengalaman makan dengan pasta buatan sendiri, kepelbagaian dalam pilihan sos, dan terutama sekali dengan daging stik yang dikeringkan selama 21 hari.

Hidangan daging stik dengan jenis pasta yang dipilih di Restoran Pasteako.
Hidangan daging stik dengan jenis pasta yang dipilih di Restoran Pasteako. - Foto HKTB

Lebih unik lagi, anda juga dapat memilih corak pisau yang ingin digunakan!

Serupa dengan hiasan yang ada dalam restoran ini, konsepnya mencerminkan kreativiti yang melangkaui hidangan makanan sambil menawarkan pengalaman yang menyeronokkan dan istimewa.

Antara lapan jenis corak pisau yang pelanggan boleh pilih di Restoran Pasteako.
Antara lapan jenis corak pisau yang pelanggan boleh pilih di Restoran Pasteako. - Foto INSYIRAH MOHD SHUKOR

Alamat: HG01-HG05, G/F, Block B Hollywood, PMQ, 35 Aberdeen Street Central

PENGINAPAN DI HOTEL ALEXANDRA

Selain bilik-bilik yang moden dan mewah dengan pemandangan memukau, Hotel Alexandra di Hong Kong turut menyediakan makanan halal di sebahagian kafe A.
Selain bilik-bilik yang moden dan mewah dengan pemandangan memukau, Hotel Alexandra di Hong Kong turut menyediakan makanan halal di sebahagian kafe A. - Foto INSYIRAH MOHD SHUKOR

Hotel Alexandra di Hong Kong menawarkan pengalaman penginapan yang sempurna untuk pelancong Muslim yang mencari kemudahan dan keselesaan.

Dibuka pada 2020, hotel ini terletak di tengah-tengah bandar raya, memberikan akses mudah ke destinasi pelancongan utama, termasuk Victoria Harbour yang ikonik.

Selain bilik-bilik yang moden dan mewah dengan pemandangan memukau, hotel ini turut menyediakan makanan halal di sebahagian daripada Kafe A, menjadikannya pilihan yang sesuai untuk tetamu Muslim.

Selepas seharian berjalan-jalan, penginapan yang selesa seperti ini amat berbaloi untuk mendapatkan rehat yang diperlukan.

Alamat: 32 City Garden Rd, North Point

Hari Kedua

PAGI DAMAI DI KAMPUNG NELAYAN TAI O

Perkampungan Nelayan Tai O membawa pelancong mengimbas ke masa lalu disebabkan budaya yang dipaparkan serta kehidupan nelayan tempatan.
Perkampungan Nelayan Tai O membawa pelancong mengimbas ke masa lalu disebabkan budaya yang dipaparkan serta kehidupan nelayan tempatan. - Foto HKTB

Kami memulakan hari kedua dengan perjalanan ke Perkampungan Nelayan Tai O pada 9 pagi.

Lokasi ini, yang sering digelar sebagai “Venice Hong Kong”, adalah sebuah perkampungan dengan masa seolah-olah terhenti.

Terletak di Pulau Lantau, kampung ini terkenal dengan rumah-rumah panggung yang berdiri megah di atas air, mempamerkan kehidupan tradisional masyarakat Tanka yang telah mendiami kawasan ini turun-temurun.

Sambil meneroka lorongnya, anda akan temui pelbagai gerai unik – dari belacan buatan tangan hingga ke makanan laut kering. Semuanya kaya dengan tradisi.

Bagi saya, tempat ini tidak dibina khusus untuk pelancong kerana ruangnya agak sempit.

Tetapi, inilah daya tarikannya – suasana yang asli dan tidak direka untuk memikat pelancong.

Walau apapun, saya cadangkan supaya datang dalam kumpulan kecil.

PEMANDANGAN INDAH DARI KERETA KABEL 360

Kabin Kereta Kabel 360 kaca memberikan pemandangan luar biasa, seperti Pulau Lantau dan Laut China Selatan.
Kabin Kereta Kabel 360 kaca memberikan pemandangan luar biasa, seperti Pulau Lantau dan Laut China Selatan. - Foto HKTB

Destinasi seterusnya ialah Ngong Ping Village untuk makan tengah hari di Ebeneezer’s Kebab & Pizza, restoran bersijil halal yang menyajikan gabungan hidangan India, Timur Tengah dan Barat.

Di sini, terdapat juga ruang untuk mereka yang ingin menunaikan solat.

Namun, tarikan utama di Perkampungan Ngong Ping adalah Kereta Kabel 360.

Perjalanan 25 minit ini menawarkan pemandangan luar biasa seperti Pulau Lantau dan Laut China Selatan.

Kabin kaca turut menjadikan pengalaman ini lebih mendebarkan kerana anda dapat lihat pemandangan di bawah kaki!

Alamat: 11 Tat Tung Road, Tung Chung, Lantau, Hong Kong

MAKAN MALAM DI RESTORAN MAMTOM

Pho Bo Wagyu, antara yang dihidangkan di Restoran MAMTOM.
Pho Bo Wagyu, antara yang dihidangkan di Restoran MAMTOM. - Foto INSYIRAH MOHD SHUKOR

Hari kedua kami diakhiri dengan sesi makan malam di MAMTOM, sebuah restoran mesra Muslim yang terkenal dengan hidangan Vietnam seperti Grilled Beef Skewers, Pho Bo Wagyu, dan Pineapple Sorbet.

Alamat: Shop 1-6 & 45-46, G/F, Wing On Plaza, 62 Mody Road, Tsim Sha Tsui 

Hari Ketiga

LAWATAN KE DISNEYLAND HONG KONG

Ruang solat terletak berhampiran Restoran Explorer’s Club yang disediakan oleh pihak Disneyland.
Ruang solat terletak berhampiran Restoran Explorer’s Club yang disediakan oleh pihak Disneyland. - Foto INSYIRAH MOHD SHUKOR

Perjalanan ke Hong Kong memang tidak lengkap tanpa mengunjungi Disneyland.

Saya kagum dengan kemudahan mesra Muslim di taman-taman bertema ini, termasuk ruang solat yang terletak berhampiran Restoran Explorer’s Club.

Restoran Tahitian Terrace yang diiktiraf halal turut menawarkan menu istimewa untuk pelancong Muslim, menjadikan kunjungan ke sini lebih memuaskan.

Terdapat juga tempat ambil wuduk berhampiran Restoran Explorer’s Club yang disediakan oleh pihak Disneyland.
Terdapat juga tempat ambil wuduk berhampiran Restoran Explorer’s Club yang disediakan oleh pihak Disneyland. - Foto INSYIRAH MOHD SHUKOR

Alamat: Pulau Lantau, Hong Kong

HIDANGAN DIM SUM DI PSAT KANTIN ISLAM

Restoran ini terkenal dengan hidangan dim sum autentik, menjadikannya satu-satunya tempat di bandar ini dengan anda boleh menikmati hidangan klasik Kantonis yang halal. 
Restoran ini terkenal dengan hidangan dim sum autentik, menjadikannya satu-satunya tempat di bandar ini dengan anda boleh menikmati hidangan klasik Kantonis yang halal.  - Foto INSYIRAH MOHD SHUKOR

Terletak di tingkat lima Masjid Ammar, restoran ini terkenal dengan hidangan dim sum yang autentik dan lazat, menjadikannya satu-satunya tempat di bandar ini di mana anda boleh menikmati hidangan klasik Kantonis yang halal.

Suasana restoran ini sederhana tetapi ‘berjiwa’ – daripada bunyi piring yang berdenting hingga aroma harum makanan yang memenuhi udara, setiap sudut membawa pengalaman makan yang unik.

Antara pilihan kegemaran ramai termasuk dumpling udang segar, bun char siew yang lembut, dan chee cheong fun yang halus dengan sos istimewa.

Lebih menarik lagi, harga hidangan di sini sangat berpatutan, menjadikannya sesuai untuk pelancong Muslim yang mencari pengalaman kulinari tempatan tanpa melanggar bajet.

Melihat ada pelancong Islam lain di restoran itu juga membuatkan pengalaman itu lebih bermakna.

Alamat:  5/F, Masjid Ammar And Osman Ramju Sadick Islamic Centre, 40 Salvation Amy Street, Wan Chai 

PENEROKAAN HONG KONG YANG MEMUASKAN

Komitmen berterusan antara syarikat pemasaran pelancongan Muslim terkemuka antarabangsa, CrescentRating, dengan Perbadanan Pemegang Amanah Dana Komuniti Islam Hong Kong (BOT) dan Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) untuk menjadikan Hong Kong sebagai destinasi inklusif memang dapat dilihat semasa perjalanan ini.

Hong Kong telah ditempatkan Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2024 di tangga kedua dari segi keselamatan pelancong wanita Muslim dan di tangga keempat keseluruhannya dalam kalangan 20 destinasi negara bukan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam).

Setakat ini, sejumlah 37 hotel dan tiga pusat tarikan pelancong telah diberikan pengiktirafan Muslim Friendly Crescent.

Restoran halal yang disahkan oleh BOT turut telah meningkat jumlahnya kepada 132.

Nasihat terakhir saya: Untuk pelancong Muslim yang sedang merancang perjalanan ke Hong Kong, laman web Muslim-Friendly Tourism oleh HKTB menawarkan maklumat lengkap dan terkini.

Laman web ini mengandungi senarai restoran, perkhidmatan, dan kemudahan mesra Muslim yang sentiasa dikemas kini. Dengan panduan ini, pengalaman perjalanan anda di Hong Kong bukan sahaja menyenangkan malah bebas daripada kerisauan.

Dengan persediaan ini, setiap sudut Hong Kong sedia diterokai oleh pelancong Muslim, memberikan pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg