PHNOM PENH: Kemboja bakal melancarkan skim kad ketibaan elektronik pada September buat penumpang udara yang tiba di negara Asia Tenggara itu, kata Perdana Menteri, Encik Hun Manet, pada 12 Ogos.
Kad digital itu akan menggantikan borang kertas bagi pengisytiharan kastam, kesihatan dan imigresen.
Ia boleh didapati di www.arrival.gov.kh atau menerusi aplikasi ‘Cambodia e-Arrival’ di App Store dan Play Store bagi telefon bimbit atau alat peranti mudah alih yang lain.
Sistem tersebut akan dilancarkan secara rasmi di tiga lapangan terbang Kemboja dari 1 September 2024 bagi memudahkan ketibaan penumpang nasional dan antarabangsa, kata Encik Hun di saluran rasmi Telegramnya.
Menurut Jabatan Am Imigresen, aplikasi kad ketibaan elektronik tersebut akan membuatkan ia lebih mudah buat penumpang untuk menyelesaikan prosedur kesihatan dan urusan imigresen dalam satu borang.
Menurutnya, penumpang asing masih perlu menunjukkan atau mendapatkan visa setelah ketibaan dan, dalam tempoh tujuh hari sebelum ketibaan mereka, memenuhi pengisytiharan imigresen, kesihatan dan kastam di kad ketibaan elektronik itu.
Encik Thourn Sinan, pengerusi Persatuan Perjalanan Asia Pasifik Kemboja, berkata skim kad ketibaan elektronik akan membantu menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke negara itu.
“Aplikasi kad ketibaan elektronik boleh menyelaraskan proses kemasukan pelancong, berpotensi menarik lebih ramai pengunjung ke Kemboja,” katanya kepada agensi berita, Xinhua.
“Dengan menawarkan kemudahan dan kecekapan, aplikasi itu boleh meningkatkan daya tarikan negara tersebut.”
Pelancongan merupakan salah satu daripada empat tonggak yang menyokong ekonomi Kemboja, selain eksport barangan perjalanan, kasut, dan pakaian; pertanian; dan pembinaan serta hartanah.
Kerajaan Kemboja menerima seramai 3.16 juta pelancong antarabangsa pada separuh pertama 2024, satu peningkatan daripada 2.57 juta dalam tempoh sama pada 2023, menurut Kementerian Pelancongan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg