Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kenang kehebatan fenomena disko pada Tahun Baru 2025

‘Konsert Diskorama!’ ubat rindu pada Francissca Peter dan Jatt Ali, bentang peluang artis S’pura saji nostalgia
Jan 4, 2025 | 5:30 AM
Datuk Francissca Peter mengubati kerinduan peminat di Singapura melalui tiga lagu, ‘Ku Ke Udara Lagi’, ‘Sekadar Di Pinggiran’ dan ‘Ku Menari Untukmu’.
Datuk Francissca Peter mengubati kerinduan peminat di Singapura melalui tiga lagu, ‘Ku Ke Udara Lagi’, ‘Sekadar Di Pinggiran’ dan ‘Ku Menari Untukmu’. - Foto DANIAL HALIM

Bagaikan menaiki mesin kembara masa untuk meniti semula zaman kanak-kanak yang cepat berlalu hampir 40 tahun lalu.

Apabila disajikan Orkestra Melayu Singapura (OMS) dengan medley lagu runut bunyi rasmi (OST) filem dan drama seperti, Saturday Night Fever, Dallas dan The Love Boat, saya langsung teringatkan kegiatan hujung minggu di flat Holland Drive, tempat saya dewasa dahulu.

Bapa saya akan memutar piring hitam OST instrumental itu. Saya akan mendengarnya sambil bermain blok Lego dan boneka plastik Playmobil dengan abang.

Begitulah keseronokan yang dirasakan dalam hati dan nostalgia yang menggamit memori ketika menghadiri konsert Tahun Baru 2025 Esplanade, Konsert Diskorama!, pada 1 Januari di Teater Esplanade.

Konsert itu menampilkan legenda muzik Nusantara, Datuk Francissca Peter dan Jatt Ali; dua anak muda, Izat Ibrahim dan Syaz Smooth; penyanyi Singapura yang lincah dan bertenaga, Alia D, serta aktivis teater menghiburkan, Siti Khalijah Zainal (Siti K).

Pada akhirnya, konsert itu membuatkan saya kepingin melihat dua perkara – konsert solo Francissca yang memang banyak lagu hit (baik solo atau duet) dan lebih banyak peluang untuk Siti K ditampilkan dalam acara yang memerlukannya menyanyi dan menghibur.

Konsert selama sejam setengah itu yang menampilkan Hafidz Rahman dan Era Farida sebagai pengacara yang saling mengenakan dan ‘membahan’ khususnya mengenai perbezaan usia dan jurang generasi tidak membosankan.

Dari awal konsert hingga penghujungnya, tenaga penghibur dapat saya rasakan menyemarakkan bermulanya kalendar baru dalam kehidupan setiap penonton.

Ditambah dengan kehadiran penonton yang ‘sporting’, melucukan dengan gelagat tersendiri seperti menyanyi bersama beberapa lagu malar segar, ia menjadi malam kenangan yang tidak akan dilupakan.

Syabas buat Esplanade yang setiap tahun akan mengetengahkan acara hiburan yang mempesona dan bagaikan satu hadiah bonus buat penonton dalam memulakan lembaran baru dan melupakan kisah silam 2024.

Bagi saya, perancangan teliti pihak penerbitan yang diterajui ikon televisyen, Najip Ali, memastikan saya bukan hanya pulang dengan hati ini dibuai hiburan malah, sarat terisi dengan pengetahuan.

Awal-awal lagi, saya telah diberi pengenalan pada sejarah muzik disko yang merupakan muzik dansa dan budaya sampingan yang muncul sekitar lewat 1960-an dari kota-kota sekitar Amerika yang ketika itu membangun dunia kelab malamnya.

Disko kaya dengan bunyian alat muzik tali, tiupan trompet, trombon dan saksofon, piano elektrik, papan nada dengan peranti pensintesis dan gitar rancak berirama elektrik.

Konsert Diskorama! juga membuatkan kita mengingati populariti artis Barat dalam budaya pop generasi era 1970-an dan 1980-an.

Yang namanya disebut-sebut adalah Abba, Bee Gees, Donna Summer, Gloria Gaynor, Michael Jackson, Boney M dan Earth, Wind & Fire.

Pada malam itu, kerinduan pada suara merdu Francissca terubat. Beliau membawa lagu Ku Ke Udara Lagi, Sekadar Di Pinggiran dan Ku Menari Untukmu.

Beliau menekankan tentang bagaimana muzik lama kembali lagi dalam era TikTok, dan disko dipanggil ‘city pop’ oleh Generasi Z.

Sebelum ini, dalam wawancara awal saya bersamanya, beliau menjelaskan bahawa lagu yang dimuatkan dalam album pertamanya, Komputer Muzik, kadangkala dianggap terlalu canggih untuk era 1980-an dan payah dihadam pendengar.

Namun, generasi kini sudah mula menerimanya bahkan memintanya membuat persembahan semua lagu dalam album tersebut.

Siti K mempesona dengan lagu yang membawa pada kemenangannya dalam rancangan realiti, Berani Nyanyi (Musim Kedua), Kudaku Lari (versi Datuk Sharifah Aini).

Dengan rambut keriting ‘Afro’ yang membuat saya teringatkan watak dalam filem Austin Powers, Foxxy Cleopatra, Siti K mendapat tepukan dan sorakan penonton yang pastinya akur beliau berbakat besar.

Selamba dan bersahaja, Siti K juga sekali lagi memikat perhatian dengan lagu Uji Rashid, Sani, yang merupakan saduran pada lagu Sunny (nyanyian asal Bobby Hebb yang kemudian menjadi lebih popular kerana versi disko, Boney M).

Syaz Smooth pula mempunyai suara merdu apabila menyanyikan lagu Datuk Sudirman Haji Arshad, Basikal Tua.

Meskipun masih kelihatan malu-malu, Syaz tetap memukau dengan vokal hebatnya dan juga penghayatannya pada lagu-lagu lama, bukan dari zamannya.

Izat pula ligat di pentas dengan mendendangkan lagu Aman Shah, Adikku Pandai Menari.

Alia berpadu suara dengan Jatt bagi lagu ikonik, Seiring Sejalan (nyanyian asal Sharifah Aini dan Broery Marantika) dalam segmen mengenang budi antara pejuang irama disko dalam kalangan karyawan muzik Melayu, Allahyarham Tan Sri Datuk Seri Dr Ahmad Nawab.

Jatt pula mewujudkan semangat disko true blue (nikmat asli muzik disko) apabila membawakan lagu Malam Kenangan, yang merupakan lagu saduran, In The Stone (nyanyian asal Earth, Wind & Fire).

Kemuncak konsert pula adalah lagu ikonik Khayalan, yang juga merupakan saduran pada lagu Fantasy, yang juga dipopularkan Earth, Wind & Fire.

Apakah erti disko buat saya yang dilahirkan pada 1973?

Ia adalah muzik bebas yang menggambarkan semangat untuk terus berjuang dan mencipta kejayaan.

Yang pasti, lagu disko memiliki pembukaan melodi yang unik dan mudah dikenal pasti.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg