Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

ALL STARS GEGAR VAGANZA

Kerana ‘Madah Berhelah’, Liza dipotong 5 markah: Ramli MS

Ketua Juri ‘All Stars Gegar Vaganza’ perjelas sebab persembahan bertenaga jatuh nombor dua
Oct 17, 2023 | 05:30 AM



Walau sudah memberikan yang terbaik saban minggu, mengapa penyanyi bersuara lemak merdu dan berdaya tenaga tinggi, Liza Hanim, asyik mendapat ‘Nombor 2’ sahaja?

Inilah soalan yang bermain di fikiran ramai penonton peraduan realiti All Stars Gegar Vaganza apabila Liza, yang memberi persembahan luar biasa dan bergandingan dengan idolanya Ziana Zain, berada di tangga kedua pertandingan pada konsert minggu keempat di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad malam. Lagu Madah Berhelah dipertaruhkan.


Minggu lalu, disangka Liza mendapat tempat pertama menerusi lenggok dendangan lagu dangdut, Pantun Janda. Ternyata rezeki tidak menyebelahinya lantas tempat pertama diperolehi saingan sengitnya, Jaclyn Victor, yang ibarat membawa satu kampung berpesta menerusi lagu Hindustan, Bole Chudiyan.


Tanda tanya mengapa Liza, 43 tahun, dapat tempat kedua terjawab di sidang media pada dinihari Isnin di MBSA yang disiarkan secara langsung menerusi YouTube media seberang.

Dalam konsert minggu keempat, Liza mendapat markah 85 peratus dan ketinggalan 0.25 peratus di belakang Noryn Aziz, 46 tahun, yang berpadu suara dengan vokalis veteran bersuara emas, Liza Aziz, 60 tahun, bagi lagu Chaka Khan dan Whitney Houston, I’m Every Woman.


Kata ketua juri, Datuk Ramli MS:

“Kalau Liza Hanim pilih lagu selain Madah Berhelah dan bukan lagu Ziana, markahnya dah jauh lebih tinggi daripada Noryn. Sebab kami mengambil keputusan potong lima markah bagi empat artis yang bawakan lagu dendangan asal rakan duet mereka.


“Kalau diberi lagu sendiri, makna macam tak bekerja. Ziana agaknya dah lebih 2,000 kali nyanyi Madah Berhelah. Dah selalu dan terbiasa nyanyi lagu tu. Kami perlu bersikap adil dengan peserta lain yang nyanyi lagu orang lain.”


Bagi Ramli, beliau melihat pada gandingan serasi antara Noryn dengan Liza Aziz, sesuatu yang payah dilihat dalam mana-mana situasi.

“Noryn bertuah dapat penyanyi eksklusif (keramaian diraja dan acara korporat eksklusif) macam Liza Aziz. Dia pun kerja keras untuk sampai ke tahap itu. Liza pula memang dah biasa jadi penyanyi latar yang baik pada awal kerjayanya. Jadi dia mahir dalam mencapai keharmonian suara dengan mana-mana penyanyi yang bergandingan dengannya.

“Saya lihat tiada yang cuba mengatasi satu sama lain. Sebab yang ramai penyanyi khuatir kalau berduet dengan Liza ni adalah dia memiliki suara yang baik... dia jalan terus dan tak teragak-agak nak lontar suara. Macam ‘bulldozer’... kalau awak lambat masuk, bahaya,” ujar Ramli.


Awal daripada itu, juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat, akui teruja melihat Noryn bergandingan dengan Liza.

“Awak tak takut ‘kena makan’ dengan Liza ke, Noryn? Ada rasa gementar? Saya tengok kadang awak macam teragak-agak nak masuk. Tapi secara keseluruhan, saya terhibur,” ujar Syafinaz setelah penonton memberikan Noryn dan Liza Aziz sorakan gemuruh sambil berdiri di tempat duduk mereka.

Sementara itu, Ramli memuji prestasi cemerlang Ayai Illusi, 62 tahun, ketika berpadu suara dengan ‘sifu’-nya, Datuk M. Nasir, yang mencungkil bakatnya dahulu.

“Mulanya, saya tak pasti Ayai boleh hidupkan lagu Raikan Cinta. Saya beritahu Ayai agar dia jangan pilih dua orang ni atau lagu mereka. Sudirman dan M. Nasir. Sebab kebanyakan lagu mereka dicipta sendiri. Penghadaman lagu lain dan lebih mendalam kalau lagu itu mereka cipta sendiri. Ayai takkan dapat menghayati macam mana Sudirman dan Nasir hayati.


“Tapi apabila tengok persembahan Ayai, saya terkejut. Lain benar daripada persembahannya sewaktu latihan. Ada peningkatan 50 peratus, 360 darjah,” tambah Ramli mengenai Ayai yang jatuh di tempat ketiga dengan markah 83.25 peratus.

Dalam persembahan pada Ahad, dua wakil Singapura, Hady Mirza, 43 tahun, dan Aliff Aziz, 32 tahun, masing-masing turun dari segi kedudukan dalam peraduan. Hady turun lima tangga dari tempat ketujuh ke tempat ke-12 susuli duet dengan Marsha Milan menerusi lagu Judika dan Shila Amzah, Tentang Rahsia. Beliau memperolehi markah 60.25 peratus.


Aliff yang berpadu suara dengan adiknya, Aisyah Aziz, bagi lagu Alicia Keys, If I Ain’t Got You, turun satu tangga ke tangga keenam dengan markah 66 peratus.


Mengenai pertanyaan Datuk Aishah di media sosial mengenai keserasian adik-beradik menyanyi bersama, Ramli berkata:

“Tak ada isu kalau nyanyi adik-beradik. Saya cuma tekankan tentang pemilihan lagu. Kalau Ayai nyanyi dengan Nasir lagu Jamal Abdillah, kita takkan potong markah. Ini pertandingan. Ramai yang masih nak berjaga-jaga dan pilih jalan selamat. Kalau begitulah keadaannya, kita akan lihat makin kurang dan makin kuranglah prestasi dan markah mereka. Lama-lama terpaksa terkeluar juga.”

All Stars Gegar Vaganza disiarkan di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV) pada 9 malam setiap Ahad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >