Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kereta elektrik China ‘laju’ atasi jenama Eropah, AS

Pengeluar kenderaan elektrik (EV) China kian maju rapatkan jurang teknologi, reka bentuk dan hiasan dalaman
Aug 15, 2024 | 5:30 AM
Zeeker X
Kereta elektrik, ‘Zeekr X’, buatan China, yang dilancarkan di sini baru-baru ini, menawarkan keseimbangan reka bentuk, teknologi, dinamik pemanduan, prestasi dan keselamatan, seiring jarak perjalanan lebih jauh dan masa mengecas yang lebih pantas. - Foto ST

Ramai mungkin masih berpandangan kenderaan buatan Eropah dan Amerika Syarikat bermutu lebih tinggi daripada automobil China.

Namun, sejak kebelakangan ini, pengeluar automotif, khususnya kenderaan elektrik (EV), China mencapai kemajuan ketara dalam merapatkan jurang reka bentuk dan teknologi berbanding gergasi automobil di Eropah dan Amerika.

Perkembangan dilihat dalam industri telefon bimbit China, yang kelihatan semakin canggih. Pencapaian teknologi China bukan mengganggu industri automotif sejagat sahaja, malah meletak China di barisan hadapan dalam revolusi EV.

Pengeluar EV China semakin diiktiraf dari sudut reka bentuk moden, teknologi buatan sendiri canggih dan harga amat berdaya saing berbanding kereta buatan Eropah dan Amerika.

Perkembangan ini membantu jenama China bertapak dalam pasaran yang secara tradisional dikuasai gergasi automotif Eropah dan Amerika.

Sebelum ini, pembuat kereta China sering dilihat sebagai peniru, menghasilkan kenderaan kurang canggih atau halus dari sudut teknologi dan reka bentuk berbanding pesaing Barat.

Namun persepsi ini telah berubah secara dramatik sejak beberapa tahun lalu.

Pengeluar EV China banyak melabur dalam penyelidikan dan pembangunan, memanfaatkan sokongan pemerintah yang besar dan pasaran domestik yang berkembang pesat untuk memperbaiki produk mereka.

Pelaburan ini telah menghasilkan pengeluaran kenderaan elektrik yang maju bukan dari segi teknologi sahaja, bahkan bergaya dan direka dengan baik.

Peningkatan Pesat Sektor EV China

Menurut firma penyelidikan pasaran Rho Motion, EV di peringkat sejagat, termasuk jenis hibrid ‘plug-in’, pada Julai meningkat 21 peratus dari setahun lalu, ekoran pertumbuhan paling kukuh China pada 2024, biarpun permintaan merosot di Eropah.

Antara sebab industri EV China sedang berkembang pesat adalah sokongan pemerintah.

Industri EV China menerima sekurang-kurangnya AS$231 bilion ($312.9 bilion) dalam bentuk subsidi dan bantuan pemerintah dari 2009 hingga akhir 2023, walaupun jumlah sokongan bagi setiap kenderaan telah berkurangan, menurut satu penyelidikan baru.

Lebih separuh jumlah sokongan adalah dalam bentuk pengecualian cukai jualan, berdasarkan penyelidikan Dr Scott Kennedy, pakar China di Pusat Pemikir Kajian Strategik dan Antarabangsa Washington.

Baki bantuan itu terdiri daripada rebat pembeli yang diluluskan secara nasional, pembiayaan pemerintah untuk pembinaan prasarana seperti stesen pengecas, perolehan EV oleh pemerintah, dan program sokongan penyelidikan dan pembangunan, ujar Dr Kennedy.

Kemajuan Teknologi
Pengeluar EV China telah mencatat kemajuan ketara dalam teknologi bateri, pemanduan autonomi dan ketersambungan.

Sebagai contoh, syarikat seperti BYD berupaya menghasilkan kenderaan dengan jarak perjalanan lebih jauh, masa pengecas lebih pantas dan sistem bantuan pemandu lanjutan (Adas) yang menyaingi jenama Barat yang terkenal.

Pembuat kereta China juga giat menumpukan pada usaha penambahbaikan reka bentuk kenderaan mereka, beralih daripada falsafah ‘asal boleh jalan’ yang pernah mencirikan produk negara itu.

Kini EV China menawarkan reka bentuk moden anggun yang menarik minat pengguna di dalam dan luar negara.

Antara faktor yang mendorong trend itu adalah usaha China menarik bakat pereka antarabangsa.

Sebagai contoh, syarikat Zeekr, yang baru-baru ini melancarkan EV pertamanya di Singapura, mempunyai sebuah studio reka bentuk di Gothenburg, Sweden, selain di Ningbo, Hangzhou dan Shanghai di China.

Syarikat itu menggajikan bakat dari serata dunia. Sebagai contoh, ketua studio Shanghai ialah Encik Javier Garcia Gallardo, yang berasal dari Sepanyol.

Dari sudut rupa bentuk, sentuhan halus jenama China kian menyerlah. Hiasan dalaman kereta ‘Zeekr X’, misalnya, menawarkan sentuhan mewah dan moden mirip hiasan dalaman jenama Eropah.
Dari sudut rupa bentuk, sentuhan halus jenama China kian menyerlah. Hiasan dalaman kereta ‘Zeekr X’, misalnya, menawarkan sentuhan mewah dan moden mirip hiasan dalaman jenama Eropah. - Foto ST

Dari sudut rupa bentuk dan kehalusan pembuatan, jenama China kian menyerlah.

Model ‘Zeekr X’ yang dilancarkan di sini baru-baru ini menawarkan keseimbangan reka bentuk, teknologi, dinamik pemanduan, prestasi dan keselamatan, bersama jarak perjalanan lebih jauh dan masa mengecas lebih pantas.

Sekali pandang, ‘Zeekr X’ mempunyai sentuhan reka bentuk dan hiasan mirip kereta mewah Volvo.

‘BYD Seal’, sebuah sedan elektrik bersaiz sederhana buatan China,  mendapat perhatian dek ciri mampu miliknya dan reka bentuk menawan.
‘BYD Seal’, sebuah sedan elektrik bersaiz sederhana buatan China, mendapat perhatian dek ciri mampu miliknya dan reka bentuk menawan. - Foto ZAOBAO

Satu lagi model EV buatan China yang semakin menyerlah ialah ‘BYD Seal’, sebuah sedan elektrik bersaiz sederhana yang mendapat perhatian dek ciri mampu miliknya dan reka bentuk menawan.

Di Malaysia misalnya, ‘BYD Seal’ menduduki tempat pertama dengan 298 unit didaftarkan pada Julai melebihi 273 unit Tesla Model 3 yang didaftar dalam tempoh itu.

Menurut perangkaan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pula, 2,587 EV BYD didaftarkan sepanjang separuh pertama 2024, berbanding 969 EV Tesla baru dalam tempoh yang sama.

Pada separuh pertama 2024, pendaftaran EV baru membentuk hampir satu pertiga daripada semua pendaftaran kereta baru di sini, berbanding sekitar 18 peratus pada 2023 dan 12 peratus pada 2022.

Buat masa ini, kira-kira 18,000 kereta, atau 2.7 peratus, daripada jumlah kereta di sini adalah elektrik. Dalam pada itu, terdapat kira-kira 13,800 tempat pengecas EV berdaftar di seluruh negara.

Harga
Satu lagi tarikan jenama EV China adalah harganya yang dimampu milik berbanding jenama Eropah.

‘Zeekr X’, misalnya, bermula pada harga $199,999 sementara Audi ‘e-tron Q4’, yang hampir setanding dengannya, berharga $254,999 (semasa laporan ini diterbitkan).

Audi ‘e-tron Q4’ yang dilancarkan pada Julai, bermula pada harga $254,999.
Audi ‘e-tron Q4’ yang dilancarkan pada Julai, bermula pada harga $254,999. - Foto ST

Cabaran dan Tinjauan Masa Depan
Di sebalik kejayaan mereka, pengeluar EV China masih menghadapi cabaran, terutamanya dalam memasuki pasaran Eropah dan Amerika, yang amat kompetitif dan dikawal selia dengan ketat.

Kenderaan buatan China juga berhadapan cukai import tinggi di benua itu.

Namun dengan pendekatan pembuat kereta China mahu terus berinovasi dan menambah baik tawaran mereka, kereta buatan China berkemungkinan merapatkan lagi jurang dengan pesaing Barat.

Gabungan teknologi canggih, harga yang berdaya saing, serta kedudukan reka bentuk lebih baik, meletak EV China sebagai pesaing hebat dalam pasaran automotif sejagat.

Apabila dunia semakin beralih ke arah mobiliti elektrik, pengeluar China berada pada kedudukan baik untuk mendahului. Ia berpotensi membentuk semula masa depan industri automotif.

Namun, pembuat kereta Eropah dan Amerika tidak berpeluk tubuh dan kedua-duanya mempergiat usaha menambah nilai produk mereka.

Telsa mempamerkan pikap canggih lasak lagi berkuasa tinggi, ‘Cybertruck’, di Millenia Walk pada Ogos.
Telsa mempamerkan pikap canggih lasak lagi berkuasa tinggi, ‘Cybertruck’, di Millenia Walk pada Ogos. - Foto BH oleh ADLI YASHIR KUCHIT

Tesla baru-baru ini mempamerkan ‘Cybertruck’, kenderaan pikap canggih lasak lagi berkuasa tinggi.

Kenderaan itu terkenal dengan penampilan tidak konvensional dan futuristik, menampilkan reka bentuk sudut tajam yang diperbuat daripada panel kepingan keluli tahan karat yang rata.

Model peringkat teratas, misalnya, boleh memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam dalam 2.7 saat sahaja, mengatasi banyak kereta sport.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg