Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerjasama SIA-Garuda tawar lebih pilihan penerbangan antara S’pura dengan Bali, Jakarta, Surabaya

Nov 14, 2024 | 10:43 AM
Singapore Airlines (SIA) dan Garuda Indonesia akan menaikkan jumlah penerbangan antara Singapura dengan Jakarta pada November 2024.
Singapore Airlines (SIA) dan Garuda Indonesia akan menaikkan jumlah penerbangan antara Singapura dengan Jakarta pada November 2024. - Foto GARUDA INDONESIA, SIA

Pengunjung yang mengambil penerbangan antara Singapura dengan tiga destinasi di Indonesia pada 2025 boleh menempah penerbangan bersama Singapore Airlines (SIA) dan Garuda Indonesia dalam satu jadual perjalanan, di bawah kerjasama yang terjalin antara kedua-dua syarikat penerbangan itu.

Ini akan memberi pengunjung lebih pilihan apabila melancong ke Bali, Jakarta dan Surabaya dari Singapura mulai suku pertama 2025, apabila produk tambang bersama itu diperkenalkan.

Syarikat penerbangan tersebut mengumumkan demikian dalam kenyataan bersama pada 12 November, dan menyatakan peningkatan dalam bilangan penerbangan yang akan dilakukan antara Singapura dengan Jakarta bagi kedua-dua syarikat penerbangan.

SIA akan mengendalikan lapan penerbangan ke ibu negara Indonesia mulai 22 November – naik daripada enam sekarang.

Garuda akan menaikkan jumlah penerbangan daripada empat kepada enam antara kedua-dua bandar mulai 1 Disember.

Kedua-dua syarikat penerbangan akan meluaskan aturan ‘codeshare’ atau susunan komersial antara syarikat untuk saling menjual tempat duduk bagi penerbangan masing-masing, bagi merangkumi perkhidmatan baru ini.

Menjelang 1 Disember, syarikat penerbangan itu akan mengendalikan 390 perkhidmatan ‘codeshare’ mingguan, termasuk 362 antara Singapura dengan Indonesia. Ini satu peningkatan daripada sebanyak 334 perkhidmatan sekarang, dengan 56 perkhidmatan baru ditambah oleh langkah tersebut.

Kedua-dua syarikat penerbangan itu juga akan membolehkan anggota program penerbang kerap atau ‘frequent flier’ masing-masing untuk meraih dan menebus jarak (miles) bagi laluan ‘codeshare’ sebagai sebahagian usaha untuk memperkukuh kerjasama program penerbang kerap mereka.

Syarikat penerbangan itu berkata mereka kekal komited untuk memperdalam kerjasama komersial ini agar dapat memberi pelanggan nilai lebih besar, dan menyokong kegiatan perniagaan serta pelancongan di Indonesia dan Singapura.

Kerjasama itu merujuk kepada usaha bersama antara kedua-dua syarikat penerbangan itu yang menerima kelulusan kawal selia di Singapura pada Julai.

“Kedua-dua syarikat penerbangan komited untuk terus memperkukuh hubungan saling menguntungkan yang penting ini dalam tahun-tahun akan datang,” kata ketua eksekutif SIA, Encik Goh Choon Phong.

“Kerjasama kami akan membantu merangsang ketersambungan perjalanan antara Indonesia dengan Singapura, mewujudkan kesan positif ke atas kegiatan ekonomi dan pelancongan di kedua-dua negara.”

Presiden dan ketua eksekutif Garuda Indonesia, Encik Irfan Setiaputra, berkata kenaikan dalam jumlah penerbangan Singapura-Jakarta merupakan sebahagian daripada usaha tindak balas syarikat penerbangan itu kepada permintaan pasaran, dengan “pertumbuhan trafik yang ketara” antara Singapura dengan Indonesia sepanjang tahun-tahun ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg