Peminat Pop Mart kini berpeluang melangkah masuk ke dunia fantasi dengan pelancaran produk baharu hasil kerjasama jenama kasut popular, Skechers, dengan watak kegemaran ramai, Pucky.

Dunia Pucky kini diberi nafas baharu menerusi rekaan kasut serta aksesori yang menampilkan watak elf kesayangan ramai itu bersama padanan skema warna lembut namun tetap menyerlahkan kecomelan watak tersebut (serta pemakainya!).

Pucky merupakan dunia imaginasi yang menghimpunkan watak elf dan makhluk berinspirasikan alam semula jadi, hasil ciptaan artis berpangkalan di Hong Kong yang menggunakan nama sama – iaitu Pucky.

Produk mainan koleksi Pucky di bawah jenama Pop Mart berjaya menawan hati ramai peminat menerusi siri koleksi yang menampilkan rekaan unik dan comel.

Kini, patung kecil dalam siri kegemaran peminat, Pucky Poko’s Adventure Series, melangkaui sekadar karya seni koleksi apabila disuntik dalam rekaan kasut dan pakaian.

Kerjasama ini memberikan sentuhan ceria kepada dua rekaan kasut wanita Skechers menerusi perincian watak Pucky serta pilihan warna baharu.

Setiap pilihan warna tersebut diinspirasikan daripada rekaan watak Pucky yang berbeza daripada siri koleksi berkenaan.

Bagi rekaan baharu, Skechers Sport Court 2.0 ($129), watak Pucky dicetak pada bahagian sisi kasut, lengkap dengan tali kasut berwarna sedondon serta aksesori hiasan berinspirasikan Pucky yang boleh digantung pada tali kasut berkenaan.

Jika anda menggemari rekaan lebih menyerlah dan gaya ‘sporty’, anda boleh mempertimbangkan kasut Skechers D’Lites ($139).

Rekaan kerjasama ini menampilkan gabungan pelbagai warna pastel berserta corak cetakan bintik polka atau bintang.

Bagi menambah ciri fantasi lebih ceria, tali kasut jenis reben boleh diikat bagi membentuk riben bersaiz besar, manakala bahagian sisi kasut dilengkapkan dengan aksesori hiasan Pucky – seolah-olah watak tersebut mengekori anda ke mana-mana sahaja anda melangkah.

Selain kasut, kerjasama ini turut menawarkan rangkaian pakaian dan aksesori bagi membolehkan peminat menggayakan penampilan berinspirasikan Pucky dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Terdapat empat rekaan Pucky berbeza yang dicetak pada bahagian depan atau belakang baju-T lengan pendek yang sesuai dipakai golongan lelaki dan wanita, Unisex Knit Short Sleeve Tees ($59), dengan setiap satu ditawarkan dalam pilihan warna hitam dan putih.

Beg silang, Unisex Crossbody Bag ($59), pula menampilkan cetakan Pucky di bahagian sisi dan ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu biru gelap, warna kuning cair dan hitam.

Beg jinjing, Unisex Tote Bag, yang hanya ditawarkan dalam warna hitam, turut dihiasi cetakan motif Pucky yang comel.

Jika anda ingin menyuntik lebih banyak ciri Pucky pada penampilan anda, stoking Unisex Crew Socks ($25), yang hadir dalam warna coklat dan biru merupakan pilihan tepat untuk dipadankan bersama kasut daripada koleksi ini.

Selain itu, bagi peminat Pucky yang sedang mula berjinak-jinak atau sudah mahir dengan sukan bola pikel, gabungan ini turut menampilkan set bola pikel eksklusif yang raket bertemakan Pucky, dua biji bola pikel serta beg.

Anda hanya perlu berbelanja minimum $150 bagi produk Skechers x Pop Mart Pucky untuk menebusnya secara percuma, sementara bekalan masih ada.

Gabungan pakaian dan kelengkapan bola pikel Pucky yang sedondon pastinya menjadikan penampilan anda paling menyerlah di gelanggang.

Rangkaian kasut Skechers x Pop Mart Pucky boleh didapati di cawangan Skechers Concept Stores terpilih, manakala koleksi pakaian dan aksesori pula ditawarkan di beberapa cawangan Skechers tertentu.

Koleksi ini juga boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web rasmi Skechers di https://www.skechers.com.sg/

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti