Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerjasama Skechers x Pop Mart Pucky tawar kasut rona pastel baharu, aksesori lain
Kerjasama Skechers x Pop Mart Pucky tawar kasut rona pastel baharu, aksesori lain
Peminat Pop Mart kini berpeluang melangkah masuk ke dunia fantasi dengan pelancaran produk baharu hasil kerjasama jenama kasut popular, Skechers, dengan watak kegemaran ramai, Pucky.
Dunia Pucky kini diberi nafas baharu menerusi rekaan kasut serta aksesori yang menampilkan watak elf (orang bunian) kesayangan ramai itu bersama padanan skema warna lembut namun tetap menyerlahkan kecomelan watak tersebut (serta pemakainya!).
Pucky merupakan dunia imaginasi yang menghimpunkan watak elf dan makhluk berinspirasikan alam semula jadi, hasil ciptaan artis berpangkalan di Hong Kong yang menggunakan nama sama – iaitu Pucky.
Produk mainan koleksi Pucky di bawah jenama Pop Mart telah berjaya menawan hati ramai peminat menerusi siri koleksi yang menampilkan rekaan unik dan comel.
Kini, patung kecil dalam siri kegemaran peminat, Pucky Poko’s Adventure Series, melangkaui sekadar karya seni koleksi apabila disuntik dalam rekaan kasut dan pakaian.
Kolaborasi ini memberikan sentuhan ceria kepada dua rekaan kasut wanita Skechers menerusi perincian watak Pucky serta pilihan warna baharu.
Setiap pilihan warna tersebut diinspirasikan daripada rekaan watak Pucky yang berbeza daripada siri koleksi berkenaan.
Bagi rekaan baharu Skechers Sport Court 2.0 ($129), watak Pucky dicetak pada bahagian sisi kasut, lengkap dengan tali kasut berwarna sedondon serta aksesori hiasan gantungan (charm) berinspirasikan Pucky yang digantungkan pada tali kasut berkenaan.
Jika anda menggemari rekaan lebih menyerlah dan gaya ‘sporty’, anda boleh mempertimbangkan kasut Skechers D’Lites ($139).
Rekaan kolaborasi ini menampilkan gabungan pelbagai warna pastel berserta corak cetakan bintik polka atau bintang.
Bagi menambah elemen fantasi lebih ceria, tali kasut jenis reben boleh diikat bagi membentuk riben bersaiz besar, manakala bahagian sisi kasut dilengkapkan dengan gantungan hiasan Pucky – seolah-olah watak tersebut mengekori anda ke mana sahaja anda melangkah.
Selain kasut, kolaborasi ini turut menawarkan rangkaian pakaian dan aksesori bagi membolehkan peminat menggayakan penampilan berinspirasikan Pucky dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
Terdapat empat rekaan Pucky berbeza yang dicetak pada bahagian depan atau belakang baju-T lengan pendek yang sesuai dipakai golongan lelaki dan wanita, Unisex Knit Short Sleeve Tees ($59), dengan setiap satu ditawarkan dalam pilihan warna hitam dan putih.
Beg silang Unisex Crossbody Bag ($59) pula menampilkan cetakan Pucky di bahagian sisi dan ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu biru gelap, warna kuning cair dan hitam – atau Navy Blazer, Sand Dollar dan Black Beauty.
Beg jinjing Unisex Tote Bag yang hanya ditawarkan dalam warna Black Beauty, turut dihiasi cetakan motif Pucky yang comel.
Jika anda ingin menyuntik lebih banyak elemen Pucky pada penampilan anda, stokin Unisex Crew Socks ($25) yang hadir dalam warna coklat dan biru merupakan pilihan tepat untuk dipadankan bersama kasut daripada koleksi ini.
Selain itu, bagi peminat Pucky yang sedang mula berjinak-jinak atau sudah mahir dengan sukan bola pikel, kolaborasi ini turut menampilkan set bola pikel eksklusif yang merangkumi pemukul pendek (paddle) bertemakan Pucky, dua biji bola pikel serta beg.
Anda hanya perlu berbelanja minimum $150 bagi produk Skechers x Pop Mart Pucky untuk menebusnya secara percuma, sementara stok masih ada.
Gabungan pakaian dan kelengkapan bola pikel Pucky yang sedondon pastinya menjadikan penampilan anda paling menyerlah di gelanggang.
Rangkaian kasut Skechers x Pop Mart Pucky boleh didapati di cawangan Skechers Concept Stores terpilih, manakala koleksi pakaian dan aksesori pula ditawarkan di beberapa cawangan Skechers tertentu.
Koleksi ini juga boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web rasmi Skechers di https://www.skechers.com.sg/