Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak titipan damba rasa selamat, disayangi

May 17, 2025 | 5:40 PM
Singapura, anak titipan, MSF, PPIS, Persatuan Muhammadiyah
Cik Nabila Weldanie Abdul Hamid (dua dari kanan) yang pernah dijaga ibu bapa titipan dari umur sembilan hingga 18 tahun berkongsi pengalamannya sebagai anak titipan dalam perkongsian panel di acara rumah terbuka Jom! Pesta Titipan pada 17 Mei. - Foto BM oleh KHALID BABA

Kanak-kanak yang diletak di bawah penjagaan keluarga titipan bukan sahaja memerlukan tempat tinggal, tetapi mereka memerlukan orang yang dapat membuat mereka rasa selamat dan disayangi.

Demikian luahan Cik Nabila Weldanie Abdul Hamid, 27 tahun, yang dijaga keluarga titipan sejak berumur sembilan hingga 18 tahun.

Adik perempuannya juga dijaga keluarga yang sama.

“Ibu bapa titipan saya membuat saya dan adik saya rasa selamat dan disayangi dengan kesabaran dan kebaikan hati mereka.

“Mereka menjaga saya dan adik saya hingga kami dewasa, walaupun kami pada mulanya memberontak dan mempunyai perwatakan yang mencabar. Mereka selalu ada,” kongsi ahli terapi tingkah laku bagi kanak-kanak autistik itu.

Cik Nabila juga berkata ibu bapa titipan boleh membantu mengubah kehidupan kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

“Ibu bapa titipan boleh menjadi sebab mereka berjaya dalam kehidupan mereka kelak,” ujar lulusan diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak itu.

Cik Nabila berkongsi pengalamannya sebagai anak titipan dalam perkongsian panel di acara rumah terbuka Jom! Pesta Titipan pada 17 Mei yang dihadiri 160 orang termasuk 26 yang merupakan ibu atau bapa titipan.

Acara itu dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan lima agensi titipan termasuk Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) Oasis dan Persatuan Muhammadiyah (Projek Sinar Ihsan).

Acara tahunan sejak 2020 itu bertujuan menggalak lebih banyak pasangan yang telah berumah tangga, terutama daripada keluarga Melayu/Islam, untuk tampil menjadi ibu bapa titipan.

Bilangan keluarga titipan telah naik lebih seganda dalam tempoh sedekad daripada 243 keluarga pada 2013 kepada 633 keluarga pada Disember 2024.

Selain Cik Nabila, panel itu turut terdiri daripada pasangan ibu bapa titipan yang telah menjaga anak titipan sejak 2013 dan pekerja kes titipan.

Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, pula merupakan penceramah jemputan dan telah berkongsi tentang titipan daripada sudut pandangan Islam.

Dalam tinjauan yang dilakukan ke atas hadirin acara itu tentang keprihatinan utama berkaitan pengambilan anak titipan, 63 peratus berkata mereka prihatin tentang menguruskan dinamik keluarga, dan 21 peratus prihatin tentang pemahaman had aurat.

Baki 15 peratus pula prihatin tentang tanggungjawab kewangan.

Menyentuh tentang isu aurat antara ibu bapa titipan dengan anak titipan, Ustaz Tarmizi, merujuk kepada irsyad tentang anak titipan, berkata terdapat keringanan pada batasan aurat antara anak dan ahli keluarga titipan sebelum atau setelah anak tersebut mencapai usia baligh.

Terdapat juga soalan apakah ibu titipan boleh menyusukan anak titipannya. Ustaz Tarmizi berkata keputusan itu memerlukan persetujuan ibu bapa kandung anak tersebut terlebih dahulu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg